Bila sebut tentang jenama sos, pasti yang mula-mula terlintas di fikiran adalah jenama terkenal seperti Kimball, Maggi atau Life.
Berbanding produk kicap, tidak banyak jenama tempatan yang terkenal dengan pembuatan sos. Sebenarnya, terdapat satu jenama sos tempatan yang tidak ramai orang tahu tetapi cukup terkenal di luar negara terutamanya United Kingdom.
Lebih mengejutkan, ia sudah berada di pasaran selama lebih 115 tahun! Jenama yang dimaksudkan adalah Lingham yang berasal dari Butterworth, Pulau Pinang.
Ini kisah bagaimana jenama Lingham berkembang dari perniagaan kecil sehingga berjaya menembusi pasaran 20 buah negara.
Asal-Usul Sos Lingham
Memetik History Channel Asia, sos Lingham diasaskan oleh seorang imigran dari India yang bernama Lingam.
Beliau terdetik untuk menghasilkan sos sendiri untuk mengubati kerinduannya pada negara asal. Jadi, Lingham pun mula membuat sos pada 1908 dengan menggunakan 4 ramuan sahaja iaitu cili hidup, cuka, gula dan garam.
Jenama ini turut mendakwa yang mereka tidak menggunakan sebarang pewarna atau bahan pengawet. Resepinya juga dikatakan tidak diolah walaupun sudah berusia lebih 100 tahun.
Digemari Oleh Orang British
Keenakan sos ini lama kelamaan tersebar dalam kalangan warga tempatan. Tanpa disangka, ia juga menepati citarasa golongan ekspatriat British yang menetap di Pulau Pinang ketika itu.
Atas sambutan yang menggalakkan, Lingam dikatakan telah berunding dengan ekspatriat British untuk kembangkan lagi jenamanya.
Menjelang Perang Dunia Kedua, sos Lingham telah menjadi satu keperluan bagi warga British sehingga ia telah menjadi barang wajib dalam bekalan untuk pegawai British pergi berperang.
Bisnes Lingham Bertukar Tangan
Setelah tamat Perang Dunia Kedua iaitu pada 1945, seorang kerani berbangsa Cina iaitu Ooi Chuang Hoong yang bekerja dengan British ketika itu telah membuat tawaran kepada Lingam untuk membeli bisnesnya.
Sebagai balasan, Ooi akan menyediakan kemudahan kepada Lingam untuk pulang ke India. Disebabkan rindu pada kampung halaman, Lingam pun bersetuju dengan tawaran tersebut.
Setelah syarikat sos ini diambil alih oleh Ooi, tiada siapa yang tahu apa yang berlaku kepada Lingam. Namun yang pasti, jenama serta resepi sos ini tetap dikekalkan meskipun ia telah melalui beberapa pertukaran tangan.
Mula Kembangkan Pasaran Ke Luar Negara
Pada tahun 1971, kilang operasi Lingham & Sons Sdn Bhd telah berpindah dari Mak Mandin, Butterworth ke Selangor.
Pada tahun berikutnya, Ratu Elizabeth telah menghadiri sebuah pameran dagangan di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang di mana produk Lingham turut dipamerkan.
Ketika melawati pameran tersebut, Ratu Elizabeth telah dihadiahkan dengan sebuah kotak yang mengandungi produk sos Lingham.
Setelah baginda kembali ke United Kingdom, sepucuk surat penghargaan telah dikirimkan kepada Lingham dari Buckingham Palace. Ini telah menjadi satu detik yang cukup bersejarah buat jenama ini.
Ini sekaligus membuatkan jenama Lingham lebih yakin untuk memasarkan produk di luar negara. Ternyata, ia menjadi produk yang cukup laris di United Kingdom sehingga mengatasi hasil jualan di Malaysia sendiri.
Kini, produk Lingham terjual di lebih 27 buah negara termasuk Jepun, Kanada, Afrika Selatan, Australia, Estonia, Sweden dan Amerika Syarikat.
Produk Lingham turut dikembangkan kepada lebih pelbagai variasi seperti sos Worcestershire, sos Sriracha, sos Extra Hot dan Lingham’s with Ginger untuk menepati citarasa global.
Kesemua produk Lingham juga disahkan bebas GMO dan dijamin halal.
Kekayaan Sejarah dan Pengekalan Kualiti Jadi Kekuatan Lingham
Pengarah Urusan Lingham & Sons (M) Yeoh Jin Beng berkata kejayaan jenama ini terletak pada integriti, keaslian, kekayaan sejarah dan pengekalan kualiti selama bertahun-tahun.
Beliau percaya bahawa sejarah unik Lingham sendiri telah membezakan jenama ini dengan pesaing lain di pasaran.
“Jika bukan disebabkan nilai sejarah sos ini, saya tidak rasa Lingham mampu sampai ke tahap sekarang. Saya percaya jenama yang dibuat oleh ‘orang lama’ ini mempunyai kualiti yang berbeza berbanding jenama sekarang yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata,” jelas Yeoh dalam satu temubual bersama BERNAMA.
Yeoh juga berkata yang mereka membuat produk ‘bukan dari poket, tetap dari hati’.
Sepert jenama sos lain, Lingham turut juga tidak lepas daripada pesaing serta kenaikan harga barangan mentah.
Namun, mereka sanggup untuk terus kekalkan kualiti ramuan demi menghasilkan produk yang bermutu tinggi buat semua pelanggan. Ini juga penting bagi mengekalkan reputasi Lingham sebagai sos yang digemari ramai pelanggan sejak awal 1900an.