Jenama rangkaian peralatan dan pakaian sukan Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd (Al-Ikhsan) kini sudah memasuki tahun ke 30 dalam pasaran.

Ditubuhkan pada tahun 1993 oleh pengasas Ali Hassan Mohd Hassan, Al-Ikhsan merupakan jenama kebanggaan negara yang mampu berkembang dan menjadi peruncit sukan ke-64 terbesar di dunia dengan memiliki lebih 170 cawangan di Semenanjung Malaysia.

Memiliki 30 jenama aktif di bawah payungnya seperti Adidas, Puma dan Nike, Al-Ikhsan terus menjadi pilihan penggemar sukan aktif bagi mendapatkan kelengkapan sukan yang seiring dengan trend semasa.

Demi mengekalkan kedudukan sebagai peneraju produk peralatan dan pakaian sukan terkemuka negara, Al-Ikhsan baru-baru ini telah mengumumkan perkongsian strategik dengan ComeBy, sebuah platform analitik runcit terkemuka.

Inisiatif ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada komitmen mereka untuk merevolusikan pengalaman pelanggan di samping meningkatkan prestasi setiap cawangannya di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Sports, Encik Vach Pillutla berkata, “Di Al-Ikhsan Sports, kami sentiasa mengkaji dan mengenalpasti langkah-langkah untuk meningkatkan kepuasan pelanggan secara holistik.

Melalui kolaborasi bersama ComeBy, kami benar-benar dapat memanfaatkan teknologi untuk memahami metrik utama trafik, menilai penukaran di kedai dan boleh meningkatkan prestasi kedai individu dengan meletakkan inisiatif untuk mendorong trafik, meningkatkan visual imej bahagian hadapan kedai (store front image and visual) dalam jejak lebih tinggi, memastikan dagangan visual lebih kukuh atau malah membawa masuk produk paling sesuai untuk jualan.

al-ikhsan

Brian Ooi selaku pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Comeby berkata kolaborasi ini bertujuan untuk menggabungkan semua titik data cookie offline dan memberikan Al-Ikhsan pemahaman intensif ke atas setiap cawangannya.

Secara tidak langsung, kolaborasi ini turut menyerlahkan visi bersama Al-Ikhsan Sports dan ComeBy bagi membentuk masa depan kedai fizikal dengan gabungan teknologi canggih serta khidmat pelanggan yang luar biasa.

Dengan perancangan bagi pembukaan lebih banyak cawangan serta perkembangan jenama in-house, syarikat yang sebahagiannya dimiliki oleh Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) ini turut menyasarkan jualan sebanyak RM 90 juta ke RM 100 juta pada tahun ini.

Memetik laporan dari News Straits Time, jenama pakaian dan peralatan sukan terkenal ini dijangka akan membuka 40 lagi cawangan baharu di Semenanjung Malaysia pada tahun ini di samping turut menghidu peluang untuk menembus pasaran di rantau Asia Tenggara.

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top