Richard Branson adalah seorang usahawan dari London yang cukup terkenal. Usahawan berusia 73 tahun ini dikenali sebagai pemilik Virgin Group dan mempunyai lebih 400 syarikat di seluruh dunia!

Syarikatnya juga aktif dalam pelbagai sektor termasuk penerbangan, pelancongan, hiburan, penerbitan dan teknologi. Hasil kekayaannya yang bernilai US$2.9 bilion juga membuatkan beliau tersenarai dalam Forbes The Real-Time Billionaires.

Richard juga pernah tersenarai sebagai salah satu daripada 100 individu paling berpengaruh di dunia dalam majalah Time pada 2007.

Di sebalik kejayaan Richard, pasti ramai yang tidak menyangka beliau dahulu tidak tamat sekolah disebabkan disleksia. Beliau juga mulakan bisnes sejak belasan tahun sebelum bergelar jutawan yang kita kenali pada hari ini.

Jadi, bagaimana Richard Branson mampu menjadi seorang jutawan? Ayuh kita ikuti kisah kejayaan pengasas Virgin Group ini.

Disleksia Bukan Penghalang, Richard Branson Kini Jadi Jutawan dan Pemilik Ratusan Syarikat

Mula Bisnes Terbitan Majalah

Berbanding murid lain, guru di sekolah mendapati Richard sukar untuk ikuti sistem pembelajaran akibat masalah disleksia yang dialami.

Disebabkan itu, Richard nekad untuk berhenti sekolah pada usia 15 tahun. Walaupun sedih tidak dapat menghabiskan persekolahan, namun halangan ini justeru telah membuahkan idea untuk beliau mulakan bisnes sendiri.

Richard berasakan kurikulum di sekolah tidak sesuai dengannya dan percaya terdapat banyak perkara yang tidak diajar di dalam kelas.

Ini telah mendorong Richard untuk mulakan Student Magazine, iaitu majalah yang padat dengan pengetahuan bermanfaat bagi para remaja seusianya.

Isu pertama majalah ini telah diterbitkan pada Januari 1968 dengan pelbagai kandungan menarik termasuk muzik, pop culture sehinggalah mengenai peperangan Vietnam.

Majalah ini juga menjadi pencetus kepada suara anak muda di Kota London dan mendapat sambutan yang cukup hangat. Setelah setahun di pasaran, Richard berjaya mengumpul kekayaan bernilai £50,000. Nama beliau juga mula mendapat perhatian media sebagai seorang editor majalah terkemuka.

richard branson

Jualan Rekod Mendapat Sambutan Tak Dijangka

Untuk mengukuhkan bisnes, Richard pun mula menjual piring hitam melalui kiriman pos pada tahun 1971. Tanpa disangka-sangka, jualan piring hitam ini mendapat sambutan luarbiasa sehingga mampu berubah menjadi bisnes besar.

Sejak itu, Richard dapati bisnes ini dapat membuka haluan baginya untuk menjana keuntungan sehingga jutaan dollar. Beliau juga mampu membuka banyak cawangan kedai piring hitam di United Kingdom.

Atas rasa minat pada bidang rakaman muzik, Richard pun membuka sebuah syarikat rakaman di bawah nama Virgin Records.

Pada tahun 1986, syarikat tersebut berjaya melebarkan sayap ke Amerika Syarikat. Janet Jackson, The Smashing Pumpkins dan The Rolling Stones merupakan antara artis ternama yang pernah merakam muzik di studio milik Richard.

Kembangkan Bisnes Melalui Virgin Atlantic Airways

Dua tahun sebelum Virgin Records menembusi pasaran Amerika Syarikat, Richard telah memberi kejutan kepada semua pihak dengan menubuhkan syarikat penerbangan yang dinamakan Virgin Atlantic Airways.

Meskipun bisnes baharunya ini sarat dengan kontroversi sehingga membuatkan ramai ragu, risiko yang diambil oleh Richard ternyata berbaloi.

Syarikat penerbangan ini mendapat kepercayaan orang ramai dan masih beroperasi sehingga ke hari ini. Beberapa tahun lalu, Virgin Atlantic Airways juga membuka tawaran kepada orang ramai untuk pergi ke angkasa lepas!

Tak cukup dengan itu, Richard kemudiannya mengembangkan lagi jenama Virgin ke pelbagai sektor bisnes termasuk telekomunikasi, hiburan, penerbitan dan kosmetik.

Setakat ini, terdapat kira-kira 400 syarikat dan subsidiari di 35 buah negara yang beroperasi di bawah jenama Virgin dengan 60,000 orang pekerja.

richard branson

Kisah Richard ini membuktikan betapa pentingnya bagi seorang usahawan untuk berani mengambil risiko. Richard juga sering berpegang kepada kata-kata neneknya iaitu : “Dalam hidup ini, kau mungkin boleh capai pelbagai perkara, tetapi kau pasti akan menyesal kalau tak lakukan lebih daripada itu.”

Meskipun mempunyai kekurangan dari segi akademik, namun ini tidak menghalang Richard untuk membangunkan empayar bisnesnya sendiri.

Sifat Richard Branson yang tidak berputus asa  juga telah menjadikan beliau sebagai jutawan yang terkenal di mata dunia.

Sumber : virgin.com, bigaplha.id

Baca Juga : Kenali Joe Girard, Salesman Paling Hebat Sepanjang Zaman dan Diiktiraf Guiness World Record!

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top