Aeon Bank (M) baru-baru ini telah menerima kelulusan rasmi daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan (MOF) bagi memulakan operasi sebagai bank digital, berkuat kuasa pada 15 Januari 2024.

Dengan kelulusan ini, Aeon Bank yang merupakan syarikat bersekutu Aeon Credit Service (M) Bhd dan anak syarikat AEON Financial Service Co Ltd (AFS Jepun) menyasarkan untuk menyediakan penyelesaian perbankan digital yang boleh diakses, inklusif serta patuh syariah kepada pelanggan Aeon dan semua rakyat Malaysia.

Ini sekaligus meletakkan Aeon Bank sebagai bank digital pertama di Malaysia di antara lima bank digital tempatan. Kelulusan ini turut diberikan berdasarkan pengesahan BNM mengenai kesediaan operasi bank tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Aeon Bank, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata mereka akan memperkenalkan pelancaran digital secara berperingkat pada separuh pertama tahun ini.

aeon bank

“Untuk pelancaran digital, Aeon Bank merancang untuk melakukan pelancaran berperingkat aplikasi terbaharunya, bermula dengan fasa ujian beta eksklusif dengan pekerja syarikat terlebih dahulu,” ulas Raja Teh.

Pengarah Urusan Aeon Credit, Daisuke Maeda pula berkata detik bersejarah ini merupakan langkah yang besar dalam memberi nafas baharu kepada perkhidmatan kewangan yang disediakan oleh Kumpulan Aeon.

Dengan adanya Aeon Bank, Aeon sebagai sebahagian daripada jenama isi rumah runcit paling diiktiraf di Malaysia ini berharap untuk memperluas serta meningkatkan mutu perkhidmatan Aeon dengan lebih menyeluruh merangkumi pelanggan runcit dan borongnya serta rakan ekosistem seperti penyewa, pembekal, pengedar auto dan lain-lain.

Pada masa yang sama, Boost Bank Bhd yang dimiliki oleh Konsortium Bank Digital Boost-RHB dengan pemilikan ekuiti sebanyak 60% daripada Boost Holdings Sdn Bhd dan 40% oleh RHB Bank Bhd turut menerima kelulusan perbankan daripada MOF.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, RHB Bank juga berkata konsortium tersebut menerima kelulusan kawal selia sebelum garis masa yang dijadualkan. Ini berikutan semakan kesediaan operasi menyeluruh yang disahkan oleh BNM.

RHB Bank dan Boost juga perlu menyediakan dana yang mencukupi berkadar dengan pegangan sahamnya dalam Boost Bank.

“Ini bagi memastikan Boost Bank mempunyai dana yang mencukupi bagi memenuhi semua baki obligasi serta liability yang perlu dibayar, termasuk deposit pelanggan. Ia juga sebagai persediaan bagi bank tersebut sekiranya operasi Boost Bank terpaksa dihentikan,’ jelas RHB Bank.

Sumber : Free Malaysia Today, Berita Harian 

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top