Syarikat automotif bertenaga bersih, Tesla Inc difahamkan hanya berjaya menjual satu kenderaan elektrik (EV) sahaja di Korea selatan pada Januari lalu.

Berita ini mengejutkan ramai pihak memandangkan syarikat tersebut boleh dikatakan sebagai antara pengeluar kenderaan EV paling terkemuka di dunia.

Tambahan pula, syarikat automotif ini juga telah mendapat permintaan tinggi ketika baru meluaskan pasaran di negara tersebut. Ketika Tesla membuka cawangan pertamanya di Korea Selatan, pengguna perlu memasuki senarai menunggu sehingga 6 bulan lamanya akibat permintaan yang terlalu tinggi.

Elon Musk sendiri juga menganggap Korea Selatan sebagai negara yang berpotensi tinggi bagi syarikatnya untuk membuat pelaburan.

Jadi, di mana silapnya?

Memetik laporan daripada Bloomberg, perkara ini berlaku akibat daripada pelbagai faktor antaranya harga, kekurangan infrastruktur pengecasan dan kebimbangan tahap keselamatan.

tesla

Berdasarkan data daripada penyelidik di Seoul Carisyou dan Kementerian Perdagangan Korea, ini sekaligus mencatatkan penjualan SUV Model Y yang terburuk sejak Julai 2022, apabila pembuat kereta yang berkalan di Austin, Texas itu tidak menjual kenderaan sama sekali.

Dari seluruh pengeluar kereta, jumlah kenderaan EV yang baru didaftar juga menjunam sehingga 80% pada Januari dari Disember.

Pembuat kereta didapati terpaksa berhadapan dengan kelembapan dalam jualan EV di Korea Selatan apabila kadar faedah serta inflasi yang lebih tinggi mendorong pengguna untuk mengekang perbelanjaan.

Pada masa yang sama, permintaan bagi kenderaan ini dilihat turut berkurang disebabkan kebinbangan pengguna mengenai kebakaran bateri serta kekurangan fasiliti pengecas pantas.

Jualan rendah Tesla pada Januari ini sekaligus menandakan peralihan besar bagi jenama tersebut kerana Model Y yang dihasilkan di China itu adalah salah satu jualan teratas tahun lalu.

“Kebanyakan penggemar EV sudah pun membeli kenderaan ini pada fasa awal. Namun, pengguna dalam pasaran besar masih belum bersedia untuk membeli.

Ramai rakyat Korea juga didapati mengelak untuk membeli kenderaan pada bulan Januari kerana mereka mahu menunggu pengumuman subsidi daripada kerajaan,” jelas Lee Kang-Ho, iaitu ketua Institut Teknologi Konvergensi Automotif Jeonbuk.

Perkara ini turut dipersetujui oleh jurucakap Tesla di Korea dalam satu kenyataan kepada Bloomberg News yang berkata rata-rata pengguna kini menangguhkan pembelian EV sebelum pengesahan subsidi.

Selain dipengaruhi oleh perubahan permintaan bermusim, mereka turut bimbang dengan tahap kualiti pembuatan kenderaan tersebut.

Menurut Lee, sesetengah pelanggan juga kurang berminat dengan Tesla baru-baru ini apabila mendapat tahu sebahagian daripada kenderaan tersebut dibuat di negara China.

Sumber : Bloomberg

Baca Juga : Teka-Teki Terjawab, Anwar Ibrahim Dedahkan Cara Untuk Yakinkan Elon Musk Melabur di Malaysia

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top