Alam pekerjaan memang banyak dugaannya. Dari melayan karenahmajikan sehinggalah ke masalah dalaman syarikat, pasti ada sahaja isu yang boleh menjejaskan operasi bisnes.

Apabila perniagaan sudah menuai hasil jutaan ringgit, pasti ada majikan yang beriya-iya membelanjakan wang tersebut sebagai self-reward sambil mengabaikan perasaan pekerja dan keperluan syarikat ketika itu.

Meskipun pahit ditelan, namun itulah realitinya. Staf yang selama ini bertungkus lumus mendapatkan hasil yang lumayan untuk syarikat hanya mampu makan hati sahaja dengan gelagat bos sebegini.

Walaupun tidak salah sekiranya majikan ingin bermewah-mewah, namun ia boleh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan staf.

Seorang usahawan yang berpengalaman dalam perniagaan bekalan produk-produk segar dan pemasaran digital iaitu Tuan Que akui bukanlah mudah untuk pekerja hadapi majikan yang tidak bertimbang rasa.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau telah berkongsikan beberapa dilema yang dialami oleh pekerja apabila majikan atau bos mempunyai tabiat suka bermewah tanpa memikirkan keadaan syarikat dan staf.

Ayuh kita semak sebab mengapa staf tak puas hati sekiranya bos suka menayangkan kekayaan di hadapan mereka.

5 Sebab Mengapa Staf Tidak Suka Melayan Karenah Bos Suka Bermewah

1. Duit Company Sedkit, Tapi Digunakan Untuk Perkara Tak Berfaedah

Pekerja sedar bahawa keuntungan syarikat sedikit. Daripada angka kosong, pekerja sanggup berusaha habis-habisan untuk naikkan hasil jualan sehingga boleh mencapai 6 ke 7 angka. Ada juga yang bersungguh-sungguh mengejar target jualan sampai tak tidur malam!

Namun, bila syarikat sudah berduit, susah pula pekerja untuk minta bajet untuk naiktaraf perkara-perkara yang boleh tingkatkan operasi bisnes seperti sistem atau pemasaran.

Makin naik angin pekerja bila dapat tahu yang keuntungan syarikat sebaliknya digunakan oleh majikan untuk membiayai percutian mewah atau membeli beg berjenama untuk isteri.

Bos Suka Bermewah

2. Claim Semua Lambat

Pekerja bukan main susah untuk dapat claim, sedangkan majikan bersenang-senang pergi melancong ke Eropah sambil menayang kereta mewahnya.

Lebih memedihkan, apabila pekerja minta claim jumlah RM 100 sekali pun, ada majikan yang suka bertangguh dan memperkecilkan jumlah RM 100 tersebut.

Walaupun jumlahnya tidak terlalu besar, tetapi wang tersebut sangat bermakna bagi staf yang makan gaji setiap bulan.

3. Lantik Orang Tak Berpengalaman Buat Kerja

Demi kepentingan peribadi, ada juga majikan yang melantik pekerja yang tak berpengalaman atau tidak bersungguh untuk jawatan penting. Yang biasa kita lihat, majikan cenderung untuk meletakkan anak mereka yang baru habis belajar di jawatan yang tinggi dalam syarikat.

Pekerja sebenarnya tak kisah pun siapa yang nak menjadi ketua mereka, tetapi sekurang-kurangnya biarlah orang tersebut ada kepakaran dan kompeten untuk menguruskan jabatan tersebut. Barulah operasi di tempat kerja dapat berjalan dengan lancar.

Bos Suka Bermewah

4. Janjikan Bonus Bila Capai KPI. Namun, Akhirnya Staf Tak Dapat Apa-Apa

Asalnya, majikan menjanjikan bonus lumayan kepada staf yang berjaya capai target jualan atau KPI. Namun, bila mereka sudah bertungkus-lumus siang malam bekerja sehingga capai jualan 6 ke 7 angka, tiba-tiba majikan diam membisu.

Makin naik angin staf bila melihat majikan bermewah-mewah dengan titik peluh pekerja. Staf pula dilupakan. Kalau dapat bonus pun, sekadar cukup makan sahaja.

5. Bila Idea Majikan Gagal, Disalahkan Staf. Bila Menjadi, Claim Idea Dia Seorang

Memang benar keputusan besar terletak di tangan majikan. Namun, apa yang menjadi isu ialah apabila sebuah projek atau idea tidak menjadi, pekerja pula yang dimaki sehabis-habisnya. Sedangkan pekerja sudah pun bagi pandangan dan turuti permintaan majikan.

Yang lebih menyakitkan hati, majikan tergamak untuk lupakan pekerja dan tidak berterima kasih kepada pekerja apabila sesebuah projek berjaya.

Tanpa rasa bersalah, majikan pula yang beriya meraikan kejayaan seorang diri padahal kejayaan tersebut takkan tercapai tanpa usaha keras para pekerja.

Bos Suka Bermewah

Sebagai majikan yang prihatin, mereka sepatutnya menjadi ketua yang baik dan mampu memimpin pekerja agar dapat maju seiring dengan perkembangan bisnes.

Tak salah kalau majikan nak beli kereta mewah sekalipun. Itu memang hak dia. Namun, majikan yang hendak bermewah kenalah sesuai pada tempatnya.

Memang tak patut sekiranya bos asyik menayang kereta sport atau iPhone model terbaharu sedangkan syarikat sedang terumbang ambing tanpa sistem operasi yang baik atau kebajikan pekerja tidak terjaga.

Walaupun pekerja tidak mengeluarkan modal dalam bisnes, bos suka bermewah ini juga harus ingat bahawa tanpa usaha para pekerja, syarikat tidak mungkin dapat berkembang dengan baik.

Oleh itu, majikan perlulah lebih bertimbang rasa terhadap mereka. Sekiranya ada rezeki lebih, tak salah untuk berkongsikannya dengan para pekerja. Apabila majikan rajin memberi ganjaran, pekerja akan lebih bermotivasi untuk bekerja dengan lebih baik. Majikan juga yang beruntung nanti apabila bisnes semakin stabil dan maju!

Jadi, tak usahlah terlalu berkira atau lupakan para pekerja yang sudah bersusah payah. InsyaAllah tak berkurang rezeki, malah Allah akan gandakan lagi pada masa hadapan.

Sumber : Facebook Tuan Que

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top