Non-fungible token atau NFT pernah menjadi fenomena beberapa tahun lalu. Pernah bernilai sehingga jutaan dollar setiap satu, NFT adalah sejenis aset kripto yang digunakan untuk mengesahkan pemilikan seseorang terhadap fail digital seperti imej, karya seni dan sebagainya.

Trend NFT juga turut mendapat perhatian ramai orang ternama termasuk selebriti, artis dan penggiat seni.

Memetik laporan daripada satu platform kripto iaitu dappGambl yang berjudul Dead NFTs: The Evolving Landscape of the NFT Market, kira-kira 69,795 daripada 73,257 koleksi NFT yang dapat dikenalpasti mempunyai nilai pasar 0 Ether (ETH). Sekaligus, ini membuatkan 95 peratus pemegang koleksi NFT yang terdiri daripada 23 juta orang kini memegang aset yang tiada nilai.

Laporan ini muncul setelah fenomena NFT menjadi trend global dua tahun lalu. Pada waktu itu, ramai yang tidak ketinggalan untuk memiliki NFT terutamanya yang koleksi popular daripada Bored Ape Yacht Club dan avatar Matrix.

aset digital nft

Pada Mac 2021, usahawan kripto, Sina Estavi turut mencuri perhatian media apabila membayar US$2.9 juta untuk memiliki NFT berbentuk ciapan pertama daripada pengasas Twitter, Jack Dorsey.

Pada tahun yang sama, Melanie Trump juga menunjukkan penglibatan secara serius dalam dunia NFT apabila melancarkan koleksi NFT sendiri yang dinamakan Melanie’s Vision, karya seni digital yang memaparkan lukisan matanya sendiri.

Laporan yang sama turut mendedahkan bahawa 79 peratus koleksi NFT masih tidak laku sehingga ke hari ini. Perkara ini dipercayai berlaku disebabkan kurangnya permintaan berbanding pembekal. Pada masa yang sama, pakar turut menyebut NFT mempunyai pasaran yang tidak menentu serta berspekulasi tinggi.

Untuk memberi gambaran yang lebih jelas mengenai harga semasa aset NFT, pengkaji dari dappGambl turut meneliti koleksi NFT paling popular berdasarkan CoinMarketCap. Mereka dapati 18 peratus daripada koleksi paling popular hampir tiada nilai. 41 peratus daripadanya pula mempunyai harga pasaran antara US$5 hingga US$100.

Hanya 1 peratus koleksi NFT yang dipercayai mempunyai nilai yang agak tinggi berbanding yang lain dengan nilai lebih daripada US$6,000.

Walau bagaimana pun, ia merupakan nilai rendah yang sangat ketara jika dibandingkan dengan zaman kegemilangan NFT yang mendominasi pasaran sehingga US$22 billion pada 2021.

Melihatkan nilai kripto yang merosot teruk hanya selepas dua tahun dilancarkan, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada dalam membeli aset digital, terutamanya yang melibatkan harga yang mahal.

“Meskipun terdapat banyak kisah kejayaan tentang keuntungan jualan aset digital sehingga jutaan dollar pada waktu yang singkat, ramai yang terlepas pandang bahawa sebenarnya pasaran NFT ini ada banyak risikonya,” ulas penulis laporan tersebut.

Sumber : theguardian.com, CNBC Indonesia

Baca Juga : Selepas Ditipu Pelaburan Digital, Ariff Peter Cekal Tinggal Dalam Kereta Untuk Bayar Hutang RM 1 Juta

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top