Sembilan syarikat dari Malaysia telah disenaraikan dalam Forbes Asia’s Best Under A Billion 2023. Dalam senarai tersebut, terdapat 200 syarikat awam Asia Pasifik dengan pendapatan kurang daripada US$1 billion (RM 4.57 bilion) serta rekod perkembangan bisnes yang konsisten.

Berdasarkan perkongsian The Edge, sembilan syarikat yang tersenarai adalah Frontken Corp Bhd, Greatech Technology Bhd, Harbour-Link Group Bhd, Kim Loong Resources Corp Bhd, QES Group Bhd, Scicom (MSC) Bhd, Thong Guan Industries Bhd, Uchi Technologies Bhd dan ViTrox Corp Bhd.

Forbes Asia’s Best Under A Billion

Dalam sembilan syarikat ini, didapati hanya ViTrox Corp Bhd pernah mengungguli carta tahun 2022 sementara 8 lagi merupakan syarikat yang baru disenaraikan.

Secara keseluruhan, senarai Forbes Asia’s Best Under A Billion 2023 turut menyertakan 58 syarikat yang sama seperti tahun lepas.

Forbes Asia memberitahu bahawa senarai tahunan Best Under A Billion ini merupakan pengiktirafan kepada 200 syarikat dagangan awam bersaiz kecil dan sederhana dengan pencapaian yang mengagumkan meskipun ekonomi masa kini berhadapan dengan tekanan global seperti inflasi dan peningkatan kos pendanaan.

Berdasarkan senarai tersebut, didapati kebanyakan syarikat Malaysia yang tersenarai menjalankan perniagaan pembuatan cip dan industri berkaitan dengannya.

Menurut pemerhatian Forbes Asia, permintaan bagi semikonduktor yang terkandung dalam barangan harian seperti peralatan elektrik, kereta dan telefon pintar semakin melonjak sejak tiga tahun lalu.

Ditambah pula dengan kepesatan teknologi kecerdasan buatan (AI), ia tidak menggugat industri tersebut meskipun pasaran dijangka sedikit berkurangan tahun ini akibat masalah kekurangan bekalan.

Di samping itu, sektor lain yang tersenarai turut merangkumi industri bisnes yang menyediakan solusi IT yang menyokong transformasi digital bagi penjagaan kesihatan, logistik, pembuatan dan sebagainya.

Berikutan sekatan yang semakin longgar pasca pandemik, perniagaan yang bergantung kepada perbelanjaan pengguna seperti restoran, hiburan serta sukan turut menunjukkan peningkatan jualan yang positif.

Pencapaian ini sekaligus menjadi petanda bagi pembangunan ekonomi yang cukup menggalakkan buat Malaysia untuk bersaing dalam pasaran global.

Sumber : The Edge Malaysia 

Baca Juga :Walaupun Bisnes Sedikit Terjejas, Adik Beradik Pemilik Mr DIY Kekal Dalam Senarai 10 Hartawan Terkaya di Malaysia

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top