Ketika makan di restoran, mungkin anda sendiri tidak sedar yang sebenarnya menu yang disediakan ketika ingin memesan makanan memberi pengaruh besar terhadap keputusan pelanggan.
Ia juga merupakan satu alat marketing yang boleh mendorong pelanggan untuk memilih makanan tertentu.
Menurut Charles Spence iaitu pakar psikologi eksperimental berkata setiap elemen di dalam menu termasuk penjelasan makanan, pemilihan perkataan dalam deskripsi dan warna yang digunakan boleh mempengaruhi pilihan pengguna.
Pasti ramai yang tak tahu sebenarnya terdapat satu industri iaitu menu engineering yang dikhaskan untuk membuat rekaan menu sesuai dengan matlamat restoran untuk maksimakan hasil jualan.
Pendek kata, segala yang terpapar dalam menu telah direka untuk membuatkan pelanggan berbelanja lebih.
Ayuh kita lihat beberapa taktik yang banyak restoran gunakan untuk pancing pelanggan menerusi menu.
5 Taktik Paparan Menu Yang Restoran Gunakan Untuk Maksimakan Jualan
1. Kata Adjektif Yang Unik dan Membangkitkan Selera
Penjelasan yang padat dengan kata adjektif sebegini merupakan salah satu taktik yang cukup popular dalam industri F&B.
Statistik membuktikan bahawa dengan memberikan nama menu yang diselitkan dengan adjektif bagi menjelaskan keunikan makanan mampu tingkatkan hasil sehingga 27%.
Sebagai contoh, ‘Tart Nyonya Warisan Bonda’ nampak lebih menarik berbanding ‘Tart Nanas’.
Pada masa yang sama, deskripsi yang menggambarkan keenakan sesebuah makanan pula boleh membuatkan seseorang lebih tertarik untuk mencubanya sendiri.
Perkara ini telah dibuktikan oleh satu kajian dari Stanford University, California. Mereka dapati menu kafeteria yang meletakkan deskripsi seperti ‘ayam goreng pedas dan rangup’ atau ‘puding coklat lemak berkrim’ akan dipilih 23% lebih kerap.
2. Semakin Panjang Deskripsi, Semakin Mahal Harga Makanan
Bukan sahaja adjektif, malah panjang deskripsi makanan dalam paparan menu juga boleh mempengaruhi harga makanan.
Satu lagi kajian daripada Standford University mendapati semakin banyak perkataan yang digunakan untuk menggambarkan hidangan, harganya akan menjadi semakin mahal.
Menurut seorang menu engineer iaitu Gregg Rapp, pemilihan perkataan yang boleh menyerlahkan keistimewaan hidangan tertentu juga boleh membuatkan pelanggan tak kisah untuk mencubanya pada harga yang mahal.
“Sekiranya anda cuma tulis ‘New York Steak’ dan meletakkan pada harga $43, pelanggan akan rasakan harga hidangan itu mahal. Namun, jika anda menekankan bahawa potongan daging tersebut diimport khas sambil menjelaskan ramuan yang digunakan, maka pelanggan akan rasa lebih berbaloi untuk mencuba”, jelas Rapp.
3. Menu Bestseller Dalam Kotak
Statistik mendapati menu yang tertulis di dalam kotak boleh terjual sebanyak lebih 30% berbanding menu lain. Ini adalah disebabkan sifat pelanggan yang biasanya sering memesan menu pertama dan terakhir yang mereka nampak dalam menu.
Seperkara lagi, mata pelanggan akan terdorong untuk melihat menu di bahagian atas kanan menu. Di situlah pihak restoran akan sering meletakkan menu mereka yang paling popular dan menguntungkan.
Dengan meletakkan kotak, ia akan menyerlahkan lagi tersebut dan membuatkan menu lain kurang menarik.
Ini akan diikuti dengan menu dengan harga yang murah serta penjelasan pendek di bawahnya.
Sekiranya pelanggan yang datang kekurangan bajet, mereka akan melihat menu sebegini lebih murah berbanding menu dengan penjelasan panjang atau berada di dalam kotak.
4. Pemilihan Warna Pada Paparan Menu
Pemilihan kata bukanlah satu-satunya faktor yang mempengaruhi pilihan pelanggan. sebaliknya, penggunaan warna pada menu juga memainkan peranan.
Seperti contoh, Subway sendiri banyak bermain dengan warna hijau bagi mencerminkan kesegaran ramuan yang digunakan dalam sandwicnya.
Warna jingga pula difahamkan dapat merangsang selera seseorang. Warna merah juga sering menjadi pilihan banyak restoran kerana ia adalah satu warna yang menarik dan daripada sudut psikologi, ia mampu membuatkan seseorang rasa lapar.
5. Buang Simbol Matawang
Biasanya kita melihat penjual sering meletak harga kurang satu sen (contoh RM 8.99) berbanding genapkannya kepada RM 9.00.
Ini adalah salah satu taktik harga yang banyak syarikat gunakan untuk buatkan produk nampak lebih murah.
Namun, restoran juga ada satu lagi taktik yang mereka sering gunakan dalam menu iaitu membuang simbol matawang dalam paparan menu. (Contoh : 20.99 berbanding RM 20.99)
Menurut Aaron Allen iaitu seorang perunding restoran berpengalaman, simbol matawang boleh mengingatkan pelanggan yang mereka sedang berbelanja.
Oleh sebab itulah sesetengah restoran memilih untuk meletakkan harga sahaja tanpa simbol matawang.
Industri F&B telah melalui pelbagai kajian untuk mendapatkan rekaan menu yang mampu memenangi hati pelanggan.
Paparan menu bukan sahaja dapat mempengaruhi pilihan pelanggan, malah ia juga boleh menjadi tanggapan pertama yang penting buat sesebuah restoran.
Tidak salah untuk sesebuah restoran meletakkan penjelasan yang menarik pada menu. Yang penting, penjelasan mestilah benar dan sesuai dengan yang ditawarkan kepada pelanggan.
Sebagai pelanggan, adalah tanggungjawab anda untuk membuat pilihan yang terbaik dan berbaloi dengan harga yang ditawarkan.
Sumber : bbc.com