Peningkatan harga barang dan kos sara hidup telah memberikan impak kepada masyarakat khususnya dari segi corak pembelian.
Namun, ia tidaklah memberi impak yang buruk semata-mata. Sebaliknya, ia dilihat telah mendorong masyarakat untuk berbelanja secara lebih berhemah.
Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof Madya Ahmed Razman berpendapat bahawa peningkatan harga barang mentah termasuk barangan untuk membuat hidangan berbuka puasa telah menjadikan pengguna lebih bijak berbelanja.
“Dengan adanya kemudahan teknologi digital sekarang ini, terdapat banyak platform yang boleh digunakan untuk membeli-belah. Peniaga juga lebih mudah untuk lakukan perniagaan secara atas talian.
Oleh itu, kita juga boleh lihat yang sejak setahun dua ini, bazar Ramadan tidak lagi bercambah kerana ada peniaga yang sudah mula menggunakan kaedah penghantaran terus ke rumah,” ulas Prof Ahmed dalam satu temubual bersama Astro Awani baru-baru ini.
Menurut beliau, penggunaan aplikasi pemesanan makanan dalam talian juga telah mendorong pengguna untuk mengawal perbelanjaan kerana mereka tidak mudah terpesona dengan pelbagai juadah di bazar Ramadan.
Selain itu, beliau juga melihat pengguna turut memilih untuk mengurangkan kos perbelanjaan pada bulan Ramadan ini dengan memasak sendiri di rumah.
Meskipun kos barangan semakin meningkat, Prof Ahmed turut menyeru pengguna supaya terus berhati-hati ketika membeli sesuatu barangan.
Ini disebabkan oleh sikap sesetengah peniaga yang sesuka hati meletakkan sesuatu produk pada harga yang tinggi berbanding di pasaran.
“Kerajaan menyediakan pelbagai aplikasi seperti price checker untuk membolehkan pengguna semak sama ada barangan itu diletakkan pada harga yang tinggi atau tidak.
Kita juga ada akta kawalan harta dan pencatutan yang turut memberi perlindungan kepada pengguna sekiranya mereka dapat ada barang yang dijual pada harga yang tidak munasabah.”
Susulan itu, beliau turut berkata, pelanggan masa kini semakin peka dan bijak berbelanja.
Oleh itu, peniaga kena faham walaupun keadaan memaksa mereka untuk naikkan harga, namun jika pesaing kekal meletakkan pada harga yang sama, peniaga sendiri yang akan rugi kerana pembeli boleh membandingkan harga dengan pesaing mereka.
Sumber : Astro Awani
Baca Juga : 7 Tips Naikkan Sales Pada Bulan Ramadan, Rugi Kalau Tak Cuba!