Terpaksa Jadi Usahawan Pada Usia 16 Tahun, Ini Cara Unik Aaron Patel Jalankan Bisnes Keluarga
Cuba bayangkan ketika berusia 16 tahun, anda terpaksa ambil alih perniagaan keluarga disebabkan ayah sakit? Anda juga tiada pilihan lain kerana itulah satu-satunya sumber pendapatan keluarga.
Inilah cabaran besar yang dihadapi oleh usahawan muda, Aaron Patel.
Pada usia 16 tahun, beliau terpaksa meneruskan perniagaan kecil bapanya kerana si bapa diserang angin ahmar.
Ibunya pula tidak bekerja dan bisnes milik ayah merupakan satu-satunya punca pendapatan keluarga. Jadi, mahu atau tidak, Aaron perlu membahagikan masa antara pelajaran dan uruskan bisnes.
Walupun perniagaan bapanya berskala kecil, namun kini Aaron berjaya kembangkannya sehingga mampu tembusi pasaran luar negara!
Diasakan pada tahun 2009, iHandal Energy Solutions menawarkan solusi pemanasan dan kitar semula tenaga menerusi kaedah yang lebih mesra alam.
Tidak cukup dengan itu, usahawan muda ini juga merupakan antara usahawan tempatan yang pernah tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia List dan salah satu pemenang bagi Entrepreneurs of the Year 2018.
Apa yang Aaron lakukan untuk bawa bisnes bapanya ke peringkat antarabangsa? Ayuh kita ikuti beberapa strategi unik yang beliau lakukan.
Strategi Aaron Patel Untuk Kembangkan Bisnes Keluarga Pada Usia 16 Tahun
Tukar Produk Untuk Elak Pesaing
Bapa Aaron menjalankan bisnes pembekalan panel solar secara kecil-kecilan. Dia lakukan semuanya sendiri kerana ketiadaan pekerja.
Aaron dapati bisnes sebegini sudah terlalu ramai pesaing. Pada masa yang sama, Aaron juga melihat peluang yang besar pada sektor pemanasan haba (thermal heating) di Malaysia.
Jadi, Aaron beralih kepada bisnes pembekalan peralatan yang membolehkan tenaga dalam bentuk haba dikitar semula.
Produk baharu ini ternyata dapat mengurangkan penggunaan tenaga dan menjimatkan kos bisnes.
Setelah 2 tahun, akhirnya mereka berjaya mengikat kontrak bersama pelanggan pertama iHandal iaitu Tune Hotel Groups. Kini, syarikat ini menawarkan khidmat kepada lebih 90 pelanggan daripada pelbagai sektor termasuk hospitaliti, perhotelan dan F&B.
Guna Dulu, Bayar Kemudian
Sebagai pelanggan, dapatkah anda berikan kepercayaan kepada pemilik bisnes yang berusia 16 tahun? Itulah salah satu cabaran terbesar buat Aaron ketika baru mengambil alih bisnes bapanya.
Untuk membina kepercayaan pelanggan, Aaron menawarkan kepada pelanggannya pakej yang membolehkan mereka guna dahulu peralatan daripada iHandal dan hanya buat pembayaran sekiranya berpuas hati.
Buat Persepsi Bahawa Syarikat Ada Ramai Pekerja
Seperti bapanya, Aaron hanya mampu bekerja sendiri pada fasa awal. Tugas-tugas seperti membangunkan produk, memasangnya di premis pelanggan dan buat kerja-kerja penyelenggaran, semuanya perlu dibuat sendiri.
Namun, Aaron mahukan imej syarikatnya tampak lebih besar dan profesional. “Orang ramai menganggap syarikat kami besar kerana jumlah projek yang telah dilakukan. Apabila pelanggan telefon pejabat kami, mereka akan disambungkan ke Talian 1 untuk Jabatan A, kemudian disambungkan lagi ke Talian 2 untuk Jabatan B dan seterusnya. Namun, apa yang mereka tak tahu ialah semua talian itu akan disambungkan ke telefon saya”, jelas Aaron sambil ketawa.
Hanya pada tahun 2011 Aaron mula menggaji pekerja demi perkembangan bisnes. Sejak itu, beliau juga perlu bina kemahiran untuk berurusan dengan pekerja yang lebih tua dan berpengalaman daripadanya.
Kini, Aaron miliki lebih 25 orang pekerja di 6 buah negara termasuk Singapura dan Indoesnia.
Berguru Dengan Mentor
Sebagai usahawan muda, Aaron Patel akui bukan mudah untuk memotivasikan dirinya supaya konsisten dalam menguruskan bisnes. Beliau juga berasa sukar untuk menubuhkan pasukan tanpa visi syarikat yang jelas. Untuk mengatasi masalah ini, beliau telah berguru dengan seorang mentor iaitu Weilee.
Beliau telah membantu Aaron untuk fahami motivasi peribadi dan mencari nilai serta tujuan sebenarnya iHandal.
Sejak itu, barulah Aaron mampu melihat kekuatan yang dimiliki oleh iHandal demi memberikan impak besar terhadap kelestarian alam sekitar.
Syarikat iHandal kini menguasai kira-kira 60 % pasaran di Malaysia dan telah melebarkan sayap di beberapa negara termasuk Jerman, Denmark, Austria dan Australia.
Kini, iHandal bermatlamat untuk mengurangkan sehingga 200 juta tan pelepasan gas karbon dioksida menjelang 2030 dan kekal komited dalam penjimatan tenaga dan perlindungan alam sekitar.
Sumber : pressreader.com, Prestige, thepeak.com.my
Baca Juga : Jadi Jutawan Hanya Dengan Menjual Snek Rumpai Laut, Ini Kisah Menarik Pengasas Taokaenoi