Siapa tak kenal dengan usahawan kosmetik yang terkenal dengan tagline ‘Terlajak Laris’ ini? Baru-baru ini, Dato Aliff Syukri teruja untuk berkongsikan pengalaman pertamanya menjual durian yang diusahakan sendiri di kebunnya yang terletak di Perak dan Pahang.

Bukan sahaja menjual durian premium seperti Musang King, Duri Hitam (Black Thorn) dan Udang Merah, malah beliau turut menjual durian kampung dengan harga serendah RM 5 sekilo. Jelas Dato Aliff, beliau mahu beri peluang kepada semua orang untuk merasa keenakan raja buah pada musim durian kali ini.

Dato Aliff juga berkongsi yang beliau perlu menjual mengikut harga pasaran terutamanya durian berbaka premium kerana ia sukar untuk dijaga. Meskipun begitu, beliau berbesar hati untuk berikan sebiji durian percuma bagi pembelian lima biji durian premium ke atas.

Aliff Syukri

Dalam sebuah hantaran di laman Facebook, usahawan kosmetik terkenal ini sangat bersyukur atas sambutan jualan durian yang sangat menggalakkan. Menurutnya, dalam masa 3 hari berniaga di Wisma D Herbs yang terletak di Kota Damansara, beliau mampu mencapai hasil jualan sebanyak RM 100,000.

Pada hari pertama jualan, beliau juga tidak menyangka bahawa durian yang diusahakan di kebun sendiri ini mendapat sambutan yang luar biasa. Mana tidaknya, 2,000 biji durian habis terjual dalam masa 2 jam sahaja!

“Saya jual main-main saja, tak sangka ramai yang beli. Terima kasih semua”, coret beliau dalam satu hantaran di media sosial.

Dato Aliff Syukri Akui Banyak Dugaan Menjaga Pokok Durian

Walaupun usahawan ini mempunyai banyak pengalaman dalam berniaga, namun beliau akui bukan senang untuk menjadi pengusaha durian. Beliau didapati mula berjinak-jinak menimba ilmu pengetahuan dalam bidang pertanian sekitar penghujung tahun 2021.

Tiada pengalaman dalam bidang pertanian bukanlah penghalang untuk Dato Aliff Syukri mencuba perkara baharu. Untuk mendapatkan hasil durian yang baik, beliau telah banyak mempelajari selok belok tanaman durian daripada ‘cikgu’ yang lebih berpengalaman.

“Bukan senang nak jaga pokok durian ni, ada 1001 masalah. Walaupun banyak dugaan dan cabaran, akan tetap saya tempuhi demi impian di hari tua”, luah beliau.

Aliff Syukri

Walaupun 400 anak pokok durian jenis Musang King miliknya mati selepas 5 bulan, namun beliau tidak cepat melatah. Sebaliknya, bapa kepada enam orang anak ini menjadikan peristiwa tersebut sebagai pengalaman agar beliau menjadi petani yang lebih matang pada masa akan datang.

Peristiwa pahit itu juga membuatkan Dato Aliff Syukri sedar mengapa harga durian Musang King lebih mahal berbanding durian biasa.

Usaha Dato Aliff untuk keluar dari zon selesa dan mencuba bidang baharu dalam bisnes perlu dipuji. Bukan mudah untuk mengusahakan pokok durian terutamanya yang berbaka mahal.

Untuk berjaya dalam bisnes durian, beliau juga tidak kisah untuk bermula dari bawah dan belajar daripada yang lebih pakar. Selamat maju jaya diucapkan kepada Dato Aliff Syukri dan semoga kisah ini dapat menjadi suntikan inspirasi buat semua yang ingin memulakan bisnes dalam bidang pertanian.

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top