Kerajaan Indonesia telah mengumumkan sekatan jualan di mana-mana paltform media sosial bagi mengelakkan penyalahgunaan data.

Menteri Perdagangan Indonesia, Zulkifli Hasan berkata media sosial hanya boleh digunakan untuk tujuan promosi perkhidmatan dan produk sahaja. Urusan jual beli dan transaksi tidak lagi dibenarkan.

Indonesia adalah negara Asia Tenggara pertama yang menyekat platform media sosial untuk beroperasi sebagai platform e-commerce.

Difahamkan bahawa tindakan ini diambil bagi melindungi usahawan mikro tempatan daripada persaingan sengit platform e-commerce tersebut.

Seperti yang kita tahu, TikTok Shop menjadi pilihan ramai pengguna kerana ia menawarkan aneka produk menarik dengan harga yang jauh lebih murah berbanding yang tersedia di pasaran. Pada masa yang sama, pelanggan juga dapat nikmati penjimatan lebih menerusi penggunaan baucar diskaun.

Berikutan sekatan ini, wakil daripada TikTok Indonesia berharap pihak kerajaan akan mempertimbangkan kesannya terhadap kira-kira 6 juta peniaga tempatan dan 7 juta content affiliator yang menjana pendapatan di menerusi platform tersebut.

Platform yang dimiliki oleh syarikat dari China iaitu ByteDance menyatakan bahawa mereka telah menerima banyak aduan daripada penjual tempatan dan telah memohon pencerahan mengenai undang-undang baharu ini.

Syarikat media sosial popular itu menegaskan bahawa TikTok Shop diperkenalkan untuk menyokong penyokong tempatan dan mendorong trafik yang tinggi kepada penghasil kandungan atas talian supaya dapat mempromosikan bisnes dengan lebih berkesan.

Meskipun berita ini telah menyebabkan ramai pengguna TikTok kecewa, namun sesetengah pemilik bisnes di kedai fizikal menyokong tindakan kerajaan.

Mereka berpendapat kebanyakan harga barangan di TikTok Shop tidak masuk akal sehingga membuatkan mereka sukar untuk bersaing dan mendapatkan pelanggan.

e-commerce

Sumber : CNN Indonesia

Berdasarkan tinjauan daripada CNN Indonesia, ramai penjual cukup terkesan sejak platform TikTok mula memperkenalkan kemudahan e-commerce sambil menjual barangan import pada harga yang sangat rendah.

“Penjual di TikTok menawarkan harga produk dengan murah kerana mereka menjual terus dari kilang tanpa melibatkan pengedar atau penjual lain,” jelas seorang usahawan yang berniaga di Jawa Barat.

“Sebelum adanya TikTok, kedai kami masih ramai pengunjung. Walaupun pada waktu itu Shopee dan Lazada sudah wujud, namun ia tidak memberi kesan yang terlalu besar jualan di kedai. Namun sekarang, kedai kami sepi dari pengunjung”, luah salah seorang penjual tekstil yang mencari rezeki di Pasar Tanah Abang, Jakarta.

 

Berdasarkan laporan daripada pembina usaha niaga Momentum Works, TikTok Shop kini muncul sebagai salah satu daripada lima pemain e-dagang terbaik di rantau ini walaupun dilancarkan lebih lambat berbanding platform membeli-belah atas talian yang lain.

Sumber : AP News, CNN Indonesia 

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top