Syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) mengumumkan penggantungan operasi berkuat kuasa serta merta bermula 12 Oktober 2023 sehingga satu tempoh yang belum ditetapkan.

Perkara ini juga telah diumumkan di semua platform media sosial syarikat ini.

myairline

Dalam sebuah kenyataan, Ahli Lembaga Pengarah syarikat tersebut memaklumkan keputusan penggantungan tersebut dilakukan akibat tekanan kewangan. Ini seterusnya menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat.

“Tekanan kewangan menjadi punca keputusan sukar itu terpaksa dibuat selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat itu.

“Kami amat kesal dan memohon maaf kerana terpaksa membuat keputusan ini kerana kami memahami kesannya terhadap penumpang setia kami, pekerja yang berdedikasi dan rakan kongsi.

Kami telah bekerja tanpa jemu untuk meneroka pelbagai pilihan perkongsian dan penjanaan modal untuk mengelakkan penggantungan ini.

“Malangnya, kekangan masa menyebabkan kami tiada pilihan selain mengambil keputusan ini,” katanya.

myairline

Susulan pengumuman ini, MYAirline turut menasihat penumpang yang terkesan agar tidak ke lapangan terbang dan perlu mencari alternatif lain untuk ke destinasi mereka.

“Lembaga Pengarah, pemegang saham dan semua kakitangan MYAirline akan bekerja tanpa jemu untuk menyambung semula operasi secepat mungkin tetapi pada peringkat ini kami tidak dapat komited pada sebarang garis masa.

“Kami sekali lagi mengulangi permohonan maaf atas sebarang kesulitan yang timbul daripada penggantungan ini dan akan melakukan yang terbaik untuk memaklumkan sebarang kemas kini sekiranya ada,” menurut kenyataan itu.

Pelanggan yang berdepan sebarang masalah boleh berhubung dengan bahagian khidmat pelanggan MYAirline di customercare@myairline.my untuk mendapatkan bantuan.

Pada masa yang sama, Menteri Pengangkutan Anthony Loke enggan mengulas ketika ditanya mengenai khabar angin peralihan pemilikan membabitkan MYAirline Sdn Bhd.

“Saya tidak tahu sama ada mereka (MYAirline) mahu jual atau apa pun kerana mereka belum lapor pada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

“Mereka harus datang kepada kita (jika ada masalah) baru kita lihat apa masalah dan kita akan cuba bantu.

“Kalau ada pertukaran pemegang saham atau sebagainya mereka perlu lapor pada Mavcom tetapi setakat ini tiada, jadi saya tak mahu komen,” katanya pada sidang media Mesyuarat Majlis Konsultasi Penerbangan Negara (NACC) semalam.

Terdahulu, media melaporkan bahawa syarikat penerbangan berkos rendah itu dipercayai akan menerima pelabur baharu yang berpotensi menyelesaikan masalah kewangan yang dialami MYAirline.

Ini juga merupakan susulan kepada peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline Rayner Teo yang berkuat kuasa 7 Oktober 2023 atas faktor kesihatan.

Sama-sama kita nantikan perkembangan daripada syarikat penerbangan ini pada masa akan datang.

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top