Walaupun memiliki 2,500 cawangan di 80 buah negara dan jualan atas talian di 60 buah negara, namun ia masih tidak menjamin keutuhan sesebuah bisnes.

Jenama penjagaan peribadi terkenal, The Body Shop kini diduga dengan masalah terbesarnya sepanjang berada dalam industri selama 48 tahun.

CNN melaporkan bahawa The Body Shop telah menutup ratusan cawangan di Amerika Syarikat. Sementara itu, 33 daripada 105 cawangan mereka di Kanada pula terpaksa dijual.

Berita ini telah mengejutkan ramai pihak terutamanya penggemar produk kosmetik. Apakah faktor yang telah membuatkan jenama ini mengalami kerugian dalam skala besar?

Mengapa The Body Shop Terpaksa Tutup Ratusan Cawangan?

Inflasi

Antara punca utama bagi penutupan ratusan cawangan jenama ini adalah disebabkan inflasi yang tinggi sejak beberapa tahun ini.

Disebabkan inflasi yang semakin menekan, pelanggan terpaksa berjimat dan hanya akan membeli produk yang mereka rasakan berbaloi.

Ini sekaligus menyebabkan kerugian kepada jenama seperti The Body Shop yang mempunyai banyak cawangan di luar pusat membeli belah dan menyasarkan golongan pertengahan.

Nilai Jenama Tidak Sekuat Dulu

Sinonim dengan warna hijau, The Body Shop merupakan antara jenama yang setia membawa mesej kelestarian alam dalam pemasaran mereka.

Diasaskan oleh seorang aktivis alam sekitar dan hak asasi manusia iaitu Anita Roddick pada tahun 1976, nilai yang dibawakan oleh jenama ini mendapat sambutan yang hangat pada zamannya.

Hal ini kerana belum ada lagi jenama produk penjagaan peribadi yang menekankan isu kelestarian alam semulajadi ketika itu.

Jenama ini juga terkenal dengan pemasaran produk komestik yang didakwa mesra alam dan hanya berasaskan bahan semulajadi.

Selain itu, jenama yang berasal dari England ini juga merupakan antara yang terawal melarang ujian produk kosmetik ke atas haiwan.

Untuk menguatkan jenama, The Body Shop turut aktif mengetengahkan isu berkaitan alam sekitar seperti kitar semula dan penebangan hutan hujan.

Namun, kesedaran yang semakin tinggi terhadap isu sebegini saban tahun membuatkan jenama ini sukar untuk tarik perhatian pelanggan.

Tambahan pula, terdapat banyak jenama lain mula mengadaptasi nilai yang sama seperti The Body Shop seperti Evolve, Ren atau Neal’s Yard.

the body shop

Di samping itu, isu seperti ujian kosmetik terhadap haiwan tidak lagi menjadi fokus kepada orang awam kerana ia telah pun diharamkan secara rasminya pada tahun 1998.

Ini membuatkan nilai utama The Body Shop semakin pudar dari tahun ke tahun.

Banyak Kali Bertukar Tangan

Mungkin ada yang tidak tahu bahawa The Body Shop telah beberapa kali berpindah tangan.

Pada tahun 2006, jenama ini telah dijual kepada L’Oréal Group dengan harga lebih daripada US$ 1 bilion.

Ia kemudiannya telah diambil alih oleh syarikat dari Brazil iaitu Natura & Co dengan harga yang sama pada tahun 2017. Namun, pemilikan Natura & Co tidak kekal lama.

Pada tahun lalu, syarikat tersebut telah menjual The Body Shop kepada Aurelius iaitu syarikat pengurusan aset dengan harga US$ 266 juta setelah laporan kewangannya mencatatkan penurunan perniagaan tahunan sebanyak 13.5% pada 2022.

Pegawai Eksekutif Natura & Co iaitu Fábio Barbosa turut mengakui bahawa pihaknya gagal untuk mengembalikan kegemilangan jenama ini kerana kurang kepakaran dalam bidang peruncitan.

“Kami kurang arif tentang lanskap peruncitan jenama ini terutamanya di negara seperti United Kingdom, New Zealand dan Australia.

Selain itu, kami gagal untuk gerakkan semula dinamik jenama ini selepas kejatuhannya ketika wabak pandemik Covid-19.” jelas Barbosa dalam satu temubual.

Menurut Sarah Montano iaitu pensyarah Pemasaran dari University of Birmingham, pertukaran tangan sebanyak beberapa kali ini boleh membuatkan pelanggan hilang kepercayaan terhadap jenama ini.

Sesetengah pelanggan juga mungkin tidak mahu lagi berbelanja di The Body Shop memandangkan ia tidak lagi dimiliki oleh syarikat asal yang membawa mesej sebenar jenama.

the body shop

Isu yang dialami The Body Shop membuktikan bahawa jenama yang sudah terkenal juga tidak terlepas daripada ancaman muflis.

Hakikatnya, pemilik bisnes perlu beradaptasi dengan perubahan trend dan saingan daripada jenama lain untuk terus kekal dalam industri.

Sumber : CNN, University of Birmingham, ft.com

Baca Juga : Kunjungan Pelanggan Starbucks Diramalkan Merosot 40 Peratus – RHB Investment Bank

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top