Kerjasama antara Measat Global Bhd dan Space Exploration Technologies Corps (SpaceX) bakal membuka peluang untuk ketersambungan yang lebih baik dalam kalangan komuniti yang kurang mendapat tumpuan.

Pada masa yang sama, usaha ini juga didapati berpotensi untuk menggalakkan produktiviti tenaga kerja dan ekonomi negara.

Sebelum ini, Measat dilaporkan telah menandatangi perkongsian secara rasmi bersama SpaceX untuk menjadi penjual semula sah rasmi bagi perkakasan serta perkhidmatan Starlink.

Kerjasama ini memberi peluang kepada Measat bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia sehenti untuk pelanggan dalam perkhidmatan dan penyelesaian satelit.

Starlink pula akan mendapat manfaat dari segi pasaran Measat yang sedia ada kukuh serta tawaran perkhidmatan pelanggan dan sokongan teknikal kukuh di lapangan.

measat

Ketua Pegawai Eksekutif Kartel Digital Sdn Bhd Hafiz Azman berkata, manfaat utama dalam perkongsian ini adalah lebih kepada kualiti serta kebolehpercayaan sambungan internet yang melengkapkan kepakaran setiap entiti.

“Measat tidak menyediakan sambungan satelit jenis low earth orbit (LEO) seperti Starlink yang memberikan capaian internet lebih stabil dan lebih pantas.

Walau bagaimanapun, mereka mempunyai kepakaran dan infrastruktur sokongan teknologi bagi menawarkan perkhidmatan untuk pelanggan tempatan.

Measat juga sudah mempunyai ramai pelanggan daripada pelbagai industri. Justeru, ini bakal menjadi perkongsian simbiotik yang sudah tentu akan meningkatkan produktiviti tenaga kerja dan ekonomi negara dalam tempoh jangka masa panjang”, jelas Hafiz dalam satu temubual bersama Bernama.

Beliau juga yakin perkongsian ini dapat mempercepat aspirasi negara untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi yang menumpukan kepada teknologi digital dan ekonomi kerana kerajaan secara agresif memacu inisiatif Malaysia Digital.

Tambahan pula, perkhidmatan sambungan internet yang baik dan dipercayai adalah sangat penting bagi menggalakkan produktiviti dalam perniagaan, menggalakkan keusahawanan dan jua membantu mewujudkan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi pada masa akan datang.

Menurutnya, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga boleh memanfaatkan peralatan digital bagi membantu dari segi pengurusan serta pemasaran perniagaan mereka.

“Menerusi perkongsian antara Measat dan SpaceX ini, saya percaya lebih ramai usahawan tempatan yang akan berjaya bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi di peringkat antarabangsa,” kata Hafiz.

Sumber : BERNAMA

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top