Bukan Sekadar Logo Biasa, Ini Cara Airbnb Manfaatkan Belo Untuk Tingkatkan Brand Awareness
Siapa tak kenal dengan Airbnb? Inovasi Airbnb untuk berkongsi ruang penginapan melalui satu platform mendapat sambutan jutaan pelancong serata dunia.
Airbnb menawarkan pengalaman menginap yang tersendiri dan berbeza daripada yang lain. Berbanding penginapan di hotel biasa, jenama ini menawarkan pilihan penginapan yang lebih bervariasi dan bertepatan dengan bajet pengguna.
Memandangkan penginapan ditawarkan oleh host sebagai pemilik rumah atau apartmen, pelanggan bebas untuk memilih penginapan dengan ruang serta suasana yang sesuai dengan citarasa serta keperluan mereka.
Selain konsep perniagaannya yang unik dan berinovasi, tidak dinafikan logo Airbnb juga memainkan peranan untuk mantapkan nilai serta identiti syarikat.
Dikenali sebagai Belo (disebut bay-low), logo Airbnb tampil sebagai wajah yang padu, simple namun cukup terkenal.
Mungkin ramai yang tak tahu maksud tersirat di sebalik logo yang berbentuk seakan klip kertas ini. Kalau anda perhatikan betul-betul, logo ini sebenarnya adalah gabungan huruf A, bentuk hati, simbol bagi lokasi dan orang. Ringkas, tetapi mempunyai makna yang mendalam dan cukup bijak!
Melalui logo ini, Airbnb berkongsikan visi kepada dunia bahawa semua pelanggan adalah sebahagian daripada komuniti Airbnb di mana pun mereka berada.
Belo Jadi Pemacu Brand Awareness Bagi Airbnb
Bukan sekadar logo, malah Airbnb telah gunakan Belo dalam pelbagai kaedah untuk memacu brand awareness dan mengembangkan customer base di ratusan negara.
Airbnb juga bijak bermain kombinasi warna merah dan putih di laman web, aplikasi dan platform media sosial secara konsisten bagi menguatkan lagi identiti mereka.
Tidak hanya itu, Airbnb turut memberi kebebasan kepada para host untuk gunakan logo Belo mengikut kreativiti di kediaman masing-masing menerusi laman ‘Create Airbnb’. Program ini membolehkan para host untuk manfaatkan logo dengan pelbagai gaya.
Nak buat kad untuk sambut tetamu? Nak hasilkan gelas atau pun t-shirt pun boleh! Secara tidak langsung, usaha ini menjadi satu taktik marketing yang dapat berikan impak positif untuk Airbnb sendiri.
Berbekalkan inovasi perhotelan dan luarbiasa serta logo unik yang sebati dengan pengembara serata dunia, Airbnb kini mampu tembusi industri hotel di lebih 34,000 bandar serata dunia!
Logo ringkas ini jugalah yang memberi kekuatan kepada Airbnb untuk menjadi antara syarikat terbaik dalam industri perhotelan di peringkat global. Walaupun ringkas, namun ia berjaya mengangkat jenama ini ke persada antarabangsa.
Kisah Belo ini menunjukkan betapa pentingnya bagi sesebuah syarikat untuk fokus kepada nilai utama bisnes dan terjemahkannya kepada satu logo yang kuat, unik dan mudah diingat.
Walaupun anda sudah memiliki logo yang bagus, namun tiada gunanya jika anda masih belum ada laman web untuk bina identiti jenama sambil perkenalkannya secara lebih meluas.
Jadi, mahu atau tidak anda perlu bina website sendiri untuk terus bersaing dan kukuhkan lagi jenama dalam dunia bisnes.