Pakar ekonomi, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali mendedahkan data semasa yang menunjukkan jurang antara sembilan negeri berpendapatan rendah dengan tahap pertumbuhan yang perlahan semakin luas dan membimbangkan berbanding lima negeri lain.

Beliau yang juga merupakan pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM) berkata kira-kira 49 peratus penduduk Malaysia menetap di sembilan negeri iaitu Negeri Sembilan, Terengganu, Sarawak, Pahang, Perlis, Sabah, Perak, Kelantan dan Kedah.

“Data pendapatan mengikuti tahun juga menunjukkan jurang yang semakin melebar. Jurang pendapatan negeri terkaya (Selangor) berbanding negeri termiskin (Kelantan) semakin besar, RM2,593 pada 2009 kepada RM6,369 pada 2022. Peningkatan pendapatan perlahan dan kekal rendah di sembilan negeri terkebelakang,” katanya.

Mengikut data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dikeluarkan bulan lalu, pendapatan penengah isi rumah di Malaysia ketika ini adalah RM6,338, manakala purata pendapatan isi rumah pula adalah RM8,479.

Pendapatan isi rumah merangkumi pendapatan daripada gaji, bekerja sendiri dan pendapatan daripada pelaburan.

Ulas Noor Azlan lagi, jurang pembangunan dan pendapatan antara negeri terkemuka yang sering dilabel sebagai negeri lokomotif dan sembilan negeri lain membimbangkan.

Lima negeri lokomotif yang dimaksudkan adalah Kuala Lumpur Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Melaka yang mencatatkan tahap pertumbuhan serta pendapatan yang lebih tinggi daripada purata nasional.

“Pertumbuhan dan pembangunan ekonomi mesti inklusif. Setiap negeri, setiap rakyat perlu menikmatinya. Saya yakin ini antara teras ekonomi Madani.

Rancangan khas pembangunan negeri perlu, bajet tahunan negeri tidak mencukupi. Selain rancangan induk negara dan pembangunan sektor, kita mesti memberi perhatian khusus kepada setiap negeri terutama negeri yang perlu mengejar negeri lokomotif.

Negeri dan wilayah lokomotif tidak boleh leka dan perlu terus berkembang. Pastikan sifat lokomotif itu mampan dan semua orang boleh mendapat manfaat,” katanya.

Berdasarkan data, kira-kira 62 peratus daripada keluaran dalam negara kasar Malaysia telah disumbangkan oleh lima negeri yang berada dalam zon pertumbuhan pendapatan tinggi.

 Jurang Antara Negeri

Noor Azlan mencadangkan sasaran khas pertumbuhan dan pembangunan negeri perlu diumumkan kepada rakyat. Pada masa yang sama, perlaksanaan dan kemajuan perlu dipantau serta dilaporkan.

“Pimpinan negeri mesti memimpin dan bertanggungjawab. Tidak semestinya sepadan dengan negeri atau wilayah lokomotif tetapi cukup sekadar mengurangkan jurang mengikut perancangan dan menyamainya satu hari nanti,” katanya.

Mengulas lanjut, Noor Azlan berkata pelan pembangunan strategik mesti diwujudkan bagi setiap negeri. Kerjasama antara persekutuan dan negeri-negeri pula perlu diperkukuh dan Kementerian Ekonomi tidak boleh bertumpu kepada Putrajaya sahaja.

“Sebagai pakar ekonomi, saya menyeru semua orang untuk bekerjasama untuk pembangunan ekonomi, perbezaan politik tidak boleh menjadi penghalang kepada pembangunan ekonomi kerana rakyat akan menderita,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top