Pada zaman perkembangan media sosial yang pesat ini, makin ramai individu yang berjaya mendapat tempat di hati warganet dan mampu menghasilkan content yang menarik untuk menjadi influencer.

Atas usaha mereka membina nama sendiri, ada sesetengah influencer yang turut memberanikan diri untuk terjun ke bidang bisnes. Walaupun populariti mereka sudah terbukti, namun ia tidak mampu menjamin pembangunan bisnes yang berjaya. Bagi jenama yang dibangunkan oleh influencer, terdapat beberapa faktor yang boleh menentukan kejayaan perniagaan yang dibangunkan.

Influencer Fahami Kesesuaian Produk Dengan Pasaran

Influencer boleh manfaatkan populariti mereka untuk promosikan jenama kepada ribuan atau jutaan followers, namun tidak semua influencer yang miliki bisnes fahami kesesuaian produk yang ditawarkan serta audiens sasaran mereka.

Satu faktor yang boleh menyumbang kepada kejayaan bisnes yang dibangunkan oleh influencer ialah jenis kandungan yang sering dihasilkan serta jenis produk yang ditawarkan.

Kita ambil contoh Khairul Aming. Beliau memang sangat popular dengan video masakan yang menarik dan mudah untuk diikuti. Jadi, bila beliau lancarkan Sambal Nyet, memang tak hairanlah mengapa produk tersebut laku keras. Walaupun sudah dilancarkan lebih daripada 2 tahun lepas, namun Sambal Nyet tetap menjadi rebutan ribuan penggemarnya.

Influencer

Salah satu jenama yang mungkin tidak mencapai kesesuaian produk dan pasaran menerusi content di media sosial adalah MSPUIYI COSMETICS dan Kiseki Skincare yang dimiliki oleh Ms Pui Yi.

Walaupun pemiliknya tidak pernah menjelaskan mengapa kedua-dua jenama tersebut tidak dipasarkan lagi, namun kemungkinan besar ia berlaku disebabkan ketidaksesuaian jenis produk dengan sasaran pelanggannya.

Berdasarkan tinjauan di media sosial, jenis kandungan yang Ms Pui Yi sering hasilkan mungkin lebih relevan untuk audiens lelaki berbanding wanita. Jadi, apabila beliau mengeluarkan produk kecantikan, agak sukar untuk influencer ini tarik minat pengikutnya.

Jana Kepercayaan Daripada Followers

Antara sebab lain mengapa jenama oleh influencer boleh berjaya ialah kerana kemampuan mereka untuk membina kepercayaan pengikut di media sosial.

Ini berlaku apabila seorang influencer dapat berkongsi pendapat secara jujur namun masih kekal profesional dalam content yang dihasilkan.

Antara influencer yang berjaya menjana kepercayaan followers adalah Ceddy yang rajin berkongsi pengalamannya mencuba pelbagai perkara dan tidak kisah berkongsikan pandangan secara straight-forward.

Seperti yang kita tahu, Ceddy juga telah mengeluarkan produk sendiri iaitu rangkaian minyak wangi di bawah jenama Owlet.

Meskipun produk ini jauh dengan kebiasaan Ceddy yang suka mencuba makanan, ramai yang ingin mencuba minyak wangi Owlet kerana beliau terkenal dengan rekomendasi yang baik serta cita rasa yang jelas.

Dalam satu temubual, Ceddy juga berkongsi bahawa sikap jujur dan telus yang sering diterapkan menjadikan beliau lebih yakin untuk melancarkan Owlet kepada umum.

Influencer

Penglibatan Dalam Penghasilan Produk

Faktor lain yang mungkin boleh menyumbang kepada kejayaan atau kegagalan sesebuah bisnes oleh influencer adalah penglibatan mereka sendiri dalam penghasilan produk.

Berbanding lepas tangan untuk hasilkan sesebuah produk, sesetengah influencer telah memilih untuk luangkan masa dan libatkan diri dari permulaan demi merealisasikan satu produk yang tepat dengan visi mereka.

Mereka juga komited untuk terlibat dalam proses kajian dan pembangunan (R&D), memperbaik kualiti, mengenalpasti keperluan pengguna dan mendengar maklumbalas daripada pelanggan.

Antara influencer yang banyak libatkan diri dalam pembangunan jenamanya adalah Jane Lau, pemilik jenama Chuck’s dan Motherchuckers. Dalam satu temu bual, Jane akui beliau gemar untuk bertemu dengan pasukan dan berbincang mengenai hala tuju bisnes. Beliau juga sangat berpuas hati apabila sesebuah rancangan berjaya direalisasikan.

Apabila pengasasnya sendiri ambil tahu tentang latar belakang produk, secara automatik pelanggan juga akan lebih yakin untuk membeli dan menyokong bisnes tersebut.

Influencer

Berdasarkan faktor-faktor yang kita bincangkan, pembangunan bisnes daripada jenama biasa dan jenama oleh influencer mungkin tidak banyak bezanya. Namun, dengan populariti yang terbina, influencer mungkin ada kelebihan dari segi publisiti dan jumlah pengikut di media sosial.

Namun, mereka juga harus bekerja keras untuk menjamin kelangsungan bisnes seperti peniaga lain. Jika tersilap langkah, bisnes mereka boleh menemui jalan buntu.

Sumber : vulcanpost

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top