Sekiranya anda sering melayari platform media sosial seperti TikTok dan Instagram, anda pasti mengenai seorang influencer yang rajin mengembara dan mencuba pelbagai benda baharu.

Daripada makanan, percutian sehinggalah ke aktiviti unik, Ivor Xian Z bukanlah seorang pempengaruh yang asing lagi di Malaysia.

Terkenal dengan slogan “Trying … so you don’t have to”, gadis berkelulusan ijazah dalam bidang Undang-Undang ini bukan sahaja rajin berkongsi pengalamannya di media sosial, malah kini dia juga telah membina sebuah jenama kosmetik sendiri yang berasaskan bahan organik iaitu HYGR.

Dalam sebuah video yang dimuatnaik baru-baru ini, Ivor telah berkongsikan saat apabila iklan mengenai produknya terpapar di skrin billboard yang terletak di Times Square, New York.

Video tersebut memaparkan Ivor yang sedang berdiri di hadapan billboard dengan video iklan jenamanya sambil memegang produk. Dia juga tidak melepaskan peluang untuk memperagakan produknya sambil video iklan berdurasi 15 saat itu dimainkan di belakang.

Menerusi ruangan komen, selain mengucapkan tahniah kepada Ivor, namun ramai juga yang tertanya-tanya jumlah yang perlu dibayar untuk paparkan iklan tersebut.

Oleh itu, jom ikuti perkongsian kami untuk ketahui bagaimana Ivor dapat tayangkan iklan produknya di billboard di New York.

Bagaimana Ivor Tayangkan Iklan Produk di Billboard New York?

Berdasarkan perkongsian video daripada Ivor, video berdurasi 15 saat itu dipaparkan menerusi salah satu syarikat pengiklanan di Amerika Syarikat yang dinamakan TSX Entertainment. Walaupun ramai menyangka paparan video sebegitu boleh memakan modal sebanyak ribuan ringgit, sebenarnya Ivor hanya perlu mengeluarkan modal sebanyak US$ 40 (RM 183) sahaja!

Menurut Ivor, iklan billboard sememangnya mahal dan boleh menelan kos bermula US$5,000 (RM 23,120) sehari bergantung kepada lokasi dan format video sama ada dalam bentuk imej atau video.

Namun, sesetengah syarikat bijak memanfaatkan billboard ini dengan menyewakan secara bulanan dan membuka peluang kepada mana-mana jenama tak kira kecil atau besar untuk paparkan iklan produk atau perkhidmatan mereka pada harga yang sangat berpatutan.

Untuk menjelaskan perkara ini, dia membuat andaian berdasarkan satu kira-kira mudah. Misalnya, sebuah syarikat perlu membayar sebanyak US$20,000 sebulan untuk sewaan billboard.

Sekiranya mereka menjual slot iklan yang berharga US$40 untuk iklan 15 saat, mereka mampu menjana keuntungan sehingga US$7,000,000 dalam sebulan!

Jadi, iklan sebegini cukup sesuai buat Ivor yang juga merupakan usahawan yang baru mula menjual produk dan tidak mempunyai modal pengiklanan yang besar.

Iklan Produk di Billboard

Dia yang tidak mempunyai kesempatan untuk membuat iklan produknya pada ketika itu hanya merakam video ringkas yang memaparkan dirinya menggunakan produk lip balm serta deodorant.

Jelasnya lagi, TSX juga telah meletakkan beberapa garis panduan untuk paparan sesebuah iklan antaranya video yang perlu dimuatnaik dalam square ratio, dan kandungan yang sesuai untuk tatapan umum.

Dia juga memaklumkan yang videonya pernah ditolak sebanyak tiga kali setelah dimuatnaik di aplikasi TSX akibat terdapatnya pautan atau link dalam video tersebut.

Akhir sekali, dia juga sempat memberi tips kepada semua supaya berada 15 minit lebih awal di billboard sekiranya mahu menonton paparan iklan secara langsung.

Iklan Produk di Billboard

Walaupun ringkas, namun dia tetap berpuas hati yang produknya dapat dipaparkan di skrin besar. Dia juga merasakan bahawa jumlah yang perlu dibayar untuk iklan ini sangat berbaloi walaupun berdurasi pendek.

Berdasarkan perkongsian daripada The Rakyat Post, TSX Entertainment merupakan sebuah syarikat utama dalam bidang pengiklanan billboard di Times Square, New York. Syarikat yang biasa menggunakan billboard untuk mempromosikan program hiburan ini baru sahaja menawarkan slot iklan berdurasi 15 saat kepada umum.

Bukan setakat iklan untuk pemasaran, malah sesiapa sahaja boleh memaparkan video mereka berbuat apa -apa sekalipun pada billboard tersebut. Asalkan bertepatan dengan garis panduan, video yang dipaparkan berpeluang untuk ditonton oleh kira-kira 400,000 orang dalam masa sehari.

Semata-mata untuk tampil di skrin besar, ada yang sekadar berkongsi video percutian, ada juga yang berkongsi video mengenai hobi mereka.

Apa yang perlu dilakukan ialah hanya muat turun aplikasi TSX, tempah slot iklan dan bayar US$40 untuk paparkan video berdurasi 15 saat. Semudah itu sahaja rupanya!

Menurut pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif TSX Entertainment, Nick Holmstén mereka ingin keluar daripada zon selesa dan mahu menyokong bisnes kecil dan sederhana serta pempengaruh menerusi skrin LED 25 kaki tinggi yang mereka miliki. Dengan adanya inisiatif ini, TSX berharap ia mampu memberi peluang kepada orang biasa atau jenama baharu untuk semakin dikenali ramai.

Sumber : The Rakyat Post

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top