Pejam celik, bulan Ramadan sudah hampir menemui penghujungnya. Meskipun sedih hati ini untuk tinggalkan bulan Ramadan, namun pasti ramai yang tidak sabar menantikan kemeriahan Syawal.
Hanya di Hari Raya Aidilfitri sajalah kebanyakan daripada kita dapat berkumpul bersama rakan dan keluarga.
Selain ramai yang menanti waktu untuk diluangkan bersama, pasti ramai di antara kita yang gemar menonton iklan raya istimewa yang disajikan setiap tahun.
Jom kita semak beberapa iklan raya 2023 yang menarik dan wajib anda tonton!
10 Iklan Raya 2023 Paling Menarik Yang Wajib Anda Tonton
1. Petronas Raya : Dilema Irama
Iklan Petronas memang tak pernah mengecewakan dan sentiasa ditunggu rakyat Malaysia saban tahun.
Bertemakan ‘Akar Untuk Masa Depan’, filem sempena Aidilfitri tahun ini menampilkan konflik pertembungan irama dua generasi iaitu Man Gambus dan anaknya, Nadim iaitu seorang komposer muzik moden.
2. Bulan Bintang
Marketing padu dengan Bulan Bintang memang tak dapat dipisahkan. Raya kali ini, jenama baju tradisional popular ini juga tak terlepas untuk sajikan iklan raya yang menarik untuk semua.
Menampilkan ramai artis popular seperti Syukri Yahya, Hannah Delisha dan Sharnaaz Ahmad, Bulan Bintang juga membawa mesej yang baik untuk penonton. Tak perlu jadi popular untuk tarik minat orang, yang penting hati kena ikhlas!
3. MR DIY Raya 2023 : Raya Serba Baharu, Barulah Raya
Membawakan tema Raya Serba Baharu, Barulah Raya, MR DIY membawa mesej bahawa Hari Raya bukan sahaja mengenai diri kita dan orang tersayang, malah ia juga adalah kesempatan untuk kita membantu golongan yang kurang bernasib baik.
Menerusi iklan ini, Mr DIY juga berbangga untuk kongsikan program impak komuniti yang mereka jalankan sempena Hari Raya di PPR Laksamana, Jalan Peel Kuala Lumpur.
4. Etiqa Raya 2023 – Panorama Abah Den
Dengan berkongsi kegembiraan bersama, erti sebenar Raya dapat dikecapi dengan lebih bermakna.
Iklan daripada Etiqa ini mengisahkan tentang Jamal yang ingin membawa ayahnya beraya bersama di bandar.
Namun, si ayah bersungguh-sungguh mengambil gambar pemandangan di Kuala Lumpur sampai risau Jamal dibuatnya. Rupanya ada ‘seseorang’ yang sudah pesan pada Abah untuk ambil gambar banyak-banyak!
5. Takaful Malaysia 2023 Raya – Al Kisah Malam Raya
Berbanding iklan raya lain, Takaful Malaysia kali ini membawakan elemen seram dan kelakar.
Sambil berhibur dengan gelagat tak kering gusi Ropie dan Amy Mastura, Takaful juga menekankan perkhidmatan mereka yang beroperasi selama 24 jam di mana-mana sahaja walaupun pada musim perayaan.
6. Astro – Pertemuan Dua Hati
Raya tiada ertinya tanpa kehadiran orang yang tersayang disisi.
Sempena Aidilfitri kali ini, Astro membawakan kisah benar mengenai Chee Hoi Lan, 83 tahun, yang membesarkan Rohana Abdullah, 23 tahun, seawal usia lima bulan.
Chee Hoi Lan atau Laoshi, gelaran yang dipanggil oleh Rohana telah memberikan didikan agama yang secukupnya meskipun berbeza agama dan bangsa.
7. myTukar – Dipandu Rindu
Apabila anak-anak sudah meningkat dewasa dan sibuk bekerja, tanpa disedari ada ketika mereka mengabaikan perasaan ibu bapa.
Iklan bertajuk Dipandu Rindu daripada myTukar ini mengisahkan tentang hubungan seorang ayah dan anaknya yang sibuk bekerja. Mampukah anak ini memahami hasrat ayahnya yang ingin merayakan Aidilfitri bersama?
8. Julie’s Biscuits – Kisah Raya P.E.R.I.T
Berbeza dengan iklan raya yang lain, Julie’s Biscuits membawa kisah raya yang unik dimana Timah bekerjasama dengan kawan-kawannya untuk menghalang ahli falak mencerap anak bulan.
Disebabkan oleh pengalaman pahit Timah setiap kali pulang raya, berbagai-bagai cara dia lakukan untuk pulang lewat ke kampung.
9. Cosmoderm – Aina Takut Raya
Cosmoderm membawakan kisah tentang Aina iaitu seorang wanita yang berjaya. Tetapi, dia mempunyai kelemahan sering berasa takut untuk pulang ke kampung kerana soalan-soalan yang diajukan oleh mak cik bawang.
Dapatkah Aina melawan ketakutannya pada raya tahun ini dengan bantuan Cosmoderm?
10. Gamuda Land – Mak Kau Tak Hijau
Gamuda Land membawa tema Reduce, Reuse, Recycle yang jarang sekali orang gunakan untuk iklan raya.
Gelagat anak dan menantu Khatijah yang mengamalkan konsep kitar semula dalam kehidupan harian dianggap membuang masa oleh Khatijah.
Sehinggalah, dia berubah fikiran setelah mengetahui sikap itu adalah demi kepentingan masa hadapan, termasuklah untuk bakal cucunya.
Iklan-iklan raya yang disajikan pada tahun ini sememangnya cukup menarik dan berbeza berbanding biasa. Selain membawakan plot cerita yang menyentuh jiwa, ada juga yang berani membawa elemen yang lain seperti seram dan kelakar.
Yang paling penting, kesemua iklan raya 2023 ini dapat memberi mesej yang positif buat penonton mengenai kebersamaan bersama keluarga dan yang tersayang pada Hari Raya Aidilfitri.
Iklan raya manakah yang paling menarik bagi anda pada tahun ini? Jom kongsikan bersama kami!