Sasaran Honda Malaysia untuk 2023 tercapai apabila berjaya merekodkan jumlah jualan lebih daripada 80,000 unit.

Pencapaian cemerlang ini sekaligus membolehkan Honda Malaysia untuk mengekalkan kedudukannya sebagai kereta penumpang bukan nasional nombor satu di Malaysia selama 10 tahun berturut-turut sejak 2014.

Tahun 2023 dilihat sebagai tahun pemulihan beransur-ansur bagi Honda Malaysia dengan pelanaran empat model baharu pada suku kedua iaitu WR-V, City, Type R dan CR-V serba baharu.

Pada masa yang sama, tiga model yang paling laris pada 2023 iaitu City, HR-V dan City Hatchback juga masing-masing menyumbang kepada 30 peratus, 25 peratus dan 13 Peratus kepada jualan keseluruhan syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata empat buah modelnya iaitu WR-V, HR-V, CR-V dan Civic pula muncul sebagai nombor satu dalam segmen masing-masing.

“2023 terbukti sebagai tahun yang mencabar di mana kami menghadapi pasaran yang kompetitif. Walau bagaimanapun, kami berjaya mengatasinya dan mencapai sasaran jualan pada 2023 dengan sokongan padu daripada pengedar dan kerajaan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Yoshimura turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pelanggan atas kepercayaan mereka terhadap Honda Malaysia yang sekaligus menjadi penyumbang utama kepada pencapaian jenama tersebut.

Beliau menyatakan bahawa pencapaian cemerlang Honda Malaysia pada tahun ini sebahagian besarnya turut disumbangkan oleh pelancaran model WR-V pada bulan Julai dan SUV bersaiz kecil yang mendapat sambutan hangat daripada pasaran.

Varian RS merupakan penyumbang terbesar iaitu 60 peratus daripada jumlah jualan setakat ini.

Syarikat Honda Malaysia juga telah menjual lebih daripada 7,800 unit WR-V dalam tempoh enam bulan pertama pelancaran. Ini sekaligus membuktikan populariti WR-V di Malaysia.

honda

Selain itu katanya, jualan bagi model hibrid Honda Malaysia (e:HEV) juga meningkat daripada lebih 4,100 unit pada 2022 kepada lebih 7,700 unit pada 2023.

“Ini mewakili pertumbuhan 187% yang mengagumkan bagi model e:HEV yang diterima baik dalam pasaran”, jelas Yoshimura.

Pada 2023, model e:HEV Honda menyumbang 28% kepada keseluruhan jualan hibrid di Malaysia, yang merupakan sumbangan penting kepada pertumbuhan EV di negara ini.

Mengulas lanjut, Yoshimura berkata Honda Malaysia komited dalam menyediakan kualiti kenderaan terbaik dari pelbagai aspek termasuk jualan, penawaran produk dan perkhidmatan selepas jualan kepada pelanggannya.

“Kami juga optimis mengenai perkembangan sektor automotif pada 2024 yang dijangka bakal menjadi satu lagi tahun menarik bagi industri,” jelas Yoshimura.

Sumber : Berita Harian, Astro Awani

Baca Juga : Kisah Yamaha Mendominasi Industri Penghasilan Alat Muzik dan Motorsikal

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top