Apabila berkunjung ke Kajang, pasti ramai yang takkan lepaskan peluang untuk nikmati sate. Ia juga merupakan hidangan yang digemari rakyat Malaysia tanpa mengira usia dan bangsa.
Selain jenama Sate Kajang Haji Samuri, terdapat juga jenama sate lain yang cukup popular iaitu Sate Rono.
Namun, ada pelanggan yang keliru kerana terdapat banyak kedai yang menggunakan nama Rono seperti Sate Warisan Haji Rono dan Mohd Salleh bin Haji Rono. Sehinggakan, ada yang menganggap perniagaan ini dijalankan berasingan kerana ‘bergaduh’.
Sebenarnya Sate Haji Samuri dan kedai sate yang ada nama Rono ada kaitannya dan mungkin masih ramai lagi yang tak tahu tentangnya.
Ia juga bersangkut paut dengan sejarah terciptanya legasi Sate Kajang di kawasan tersebut. Kalau nak tahu, ayuh kita semak sejarah Sate Kajang yang menjadi warisan serta kebanggaan warga Kajang, Selangor.
Sejarah Sate Kajang Yang Ramai Tak Tahu
Antara orang terawal yang menjual sate di pekan Kajang adalah Tasmin bin Sakiban iaitu, seorang pemuda yang berasal dari Tanah Jawa.
Beliau memulakan bisnes tersebut pada tahun 1917 dan dibantu oleh adiknya iaitu Rono.
Sate yang dijual dibuat segar setiap hari kerana ketiadaan peti sejuk untuk menyimpan stok sate. Antara jenis sate yang dijual adalah sate daging dan sate ayam kampung dan sate perut. Berbanding dengan sate yang dicucuk dengan buluh seperti sekarang, adik-beradik ini dahulu menggunakan lidi untuk mencucuk sate.
Meskipun berasal dari Jawa, sate mereka dikatan cukup berbeza kerana saiznya yang lebih besar. Kuah kacangnya pula dikatakan mempunyai lebih banyak kacang dan rasa lebih manis.
Selain sate, Tasmin dan Rono turut menjual hidangan sampingan seperti makanan berasaskan sup, nasi kepal dan ketupat. Pada asalnya, pelanggan disajikan dengan sate mangkuk besar berisi kuah. Lama-kelamaan, sate mangkuk kecil pula diperkenalkan supaya pelanggan tidak perlu berkongsi mangkuk untuk mencelup sate.
Mula Menjual Sate Menggunakan Kandar
Pada fasa awal perniagaan, dua beradik ini menjual sate dengan cara berkandar, iaitu menggunakan dua bakul khas yang dikandar. Sebuah bakul digunakan sebagai tempat membakar, sementara satu bakul lagi untuk meletakkan kuah untuk dihidangkan bersama sate.
Mereka menjual sate di sekitar pekan Kajang dengan melalui kampung-kampung dan kedai kopi Cina iaitu Kedai Kopi Ban Seng di Jalan Sulaiman.
Lama kelamaan, Tasmin dan Rono mula menjual sate menggunakan kereta tolak. Tempat mereka berjualan adalah di hadapan kedai kopi yang sama. Sate biasanya dihantar kepada pelanggan di kedai kopi atau di tempat makan yang disediakan di sekeliling kereta tolak.
Setelah beberapa tahun berniaga, barulah mereka mula menjual di Medan Sate Lama yang terletak di pekan Kajang.
Setelah kedua beradik ini meninggal dunia, perniagaan sate itu diteruskan oleh anak atau keturunan mereka.
Perniagaan Haji Tasmin diteruskan oleh anaknya iaitu Haji Amir. Setelah Haji Amir meninggal dunia, perniagaannya diteruskan oleh menantunya Haji Samuri bin Juraimi.
Perniagaan Haji Rono pula diteruskan oleh dua orang anaknya iaitu Haji Sidek dan Mohamad Salleh.
Sate Haji Samuri Lebih Terkenal
Secara jujurnya, Sate Haji Samuri lebih sinonim dengan Sate Kajang walaupun keenakan Sate Rono tidak kurang hebatnya.
Perniagaan yang dijalankan oleh Haji Samuri dilihat lebih profesional dan menggunakan modal yang besar. Perniagaannya juga dilihat berkembang dengan lebih jauh sehingga mengatasi perniagaan saudara maranya.
Haji Samuri mempunyai kedai yang besar di Bangunan Dato’ Nazir Kajang. Jenama ini juga membuka cawangan di pelbagai lokasi termasuklah di Medan Sate Kajang, Kawasan R&R yang terletak di Kinrara, Sungai Buloh Dengkil dan Shah Alam. Kini, Sate Kajang Haji Samuri mempunyai lebih 20 cawangan di sekitar Kajang, Lembah Klang, Putrajaya dan Negeri Sembilan.
Turut memiliki tiga buah kilang untuk memproses sate dan kuah, jenama ini juga menjadi pembekal sate utama kepada beberapa rangkaian hotel dan kafe terkemuka di Kuala Lumpur.
Perniagaan yang dipelopori oleh Haji Tasmin dan Haji Rono jelas memberikan impak yang besar kepada warga Kajang dan jelas mempunyai keistimewaanya tersendiri. Sehinggakan, sate yang dijual di pelbagai tempat lain juga diberikan nama Sate Kajang walaupun penjualnya tiada kaitan dengan pengasas.
Mungkin banyak kedai yang menjual sate di Kajang, namun tidak dapat kita nafikan bahawa Sate Haji Samuri yang membuatkan Kajang terkenal dengan sate sehingga ke hari ini.
Sumber : Sate Rono-Prima Saujana, Chef Amer
Baca Juga : Dulu Home Baker Kini Bergelar Jutawan, Ini 6 Strategi Bisnes Mamasab Dalam Membina Jenama Kek Popular