Jika anda berkunjung ke kompleks membeli-belah 1 Utama baru-baru ini, anda pasti perasan satu kedai kopitiam yang baru dibuka iaitu Rich Kopitiam.

Kalau anda merasakan kopitiam ini ada suasana yang akan seakan mirip dengan restoran PappaRich, anda tidak salah kerana ia diasaskan oleh usahawan yang sama.

Meskipun telah menjual syer syarikat Papparich kepada rakan niaganya, pengasas jenama tersebut iaitu Rich Tan masih ingin meneruskan bisnes dalam bidang ini.

Tambahan pula, beliau sendiri merupakan peminat tegar restoran berkonsepkan kopitiam sejak dahulu. Semangat beliau juga masih membara untuk perkenalkan hidangan citarasa tempatan ke peringkat yang lebih tinggi.

rich kopitiam

Legasi PappaRich Bermula Lebih 15 Tahun Lalu

Usahawan yang berasal dari Negeri Sembilan ini akui sangat gemarkan kopi sehingga disahkan mengalami asid refluks. Beliau juga gemar meneroka jenis-jenis kopi tempatan dari pelbagai tempat sehingga terdetik di hatinya untuk membuka bisnes kopitiam sendiri pada tahun 2006.

Seingat Rich, beliau membuka restoran pertamanya di Selayang yang dinamakan Pappa Kopitiam dengan bermodalkan RM 100,000.

Pada bulan pertama operasi, beliau berjaya meraih jualan kira-kira RM 38,000. 6 bulan kemudian, hasil jualan meningkat kepada RM 80,000.

“Saya gembira kerana ramai yang sukakan makanan saya sehingga ramai mencadangkan bisnes saya dikembangkan menjadi francais”, jelas usahawan yang berusia 64 tahun itu.

Salah seorang daripadanya adalah teman Rich sendiri yang berhasrat untuk membuka perniagaan di Klang ketika itu. Bagi mengekalkan kualiti kopi serta hidangan, Rich mula menghasilkan tatacara pengendalian piawai (SOP) yang teliti.

Daripada situ, jenama PappaRich mula berkembang bukan sahaja di dalam Malaysia, malah di luar negara.

Meskipun kurang mendapat liputan, namun Vulcan Post melaporkan bahawa Rich telah pun menjual syer syarikatnya pada tahun 2019, iaitu sebelum PappaRich berhadapan dengan petisyen penggulungan syarikat (winding-up petition) pada tahun 2020.

Rich meluahkan bahawa beliau nekad untuk meninggalkan syarikat tersebut kerana ketidaksefahaman dengan rakan niaga dalam bab pengoperasian jenama.

“Saya tidak terburu-buru untuk menghasilkan juadah yang lazat dan bermutu tinggi. Jadi, apabila rakan niaga lain hanya mahu jadikan PappaRich sebagai lubuk untuk menjana duit, saya tidak mahu turut serta lagi.

Saya juga merasakan bisnes ini terburu-buru untuk berkembang. Daripada 40 cawangan, tiba-tiba kami sudah ada 137”, luah Rich.

Oleh sebab itulah beliau nekad untuk tinggalkan bisnes tersebut.

Sumber : Vulcan Post

Walaupun begitu, minat serta cita-cita Rich masih utuh untuk jadikan makanan Malaysia lebih dikenali ramai.

“Saya masih tidak mahu berhenti berniaga dan mahu jalani bisnes ini dengan lebih baik”, kata Rich.

Jadi, Rich pun meneruskan perjuangannya dengan membuka Rich Kopitiam. Ketika negara dibadai pandemik Covid-19, Rich telah menghabiskan banyak masa di dapur untuk mengolah menu. Ketika itu, Rich juga masih belum berani untuk mulakan bisnes baharu kerana keadaan ekonomi yang tidak stabil.

Mujurlah keadaan ekonomi sekarang semakin pulih. Tepat pada masanya, pusat membeli-belah 1 Utama telah menawarkan lokasi yang sesuai untuk Rich membuka lembaran baru dan mulakan operasi Rich Kopitiam.

Akui agak kesal ketika melepaskan jenama PappaRich, namun kini Rich Tan optimis untuk kembangkan Rich Kopitiam menjadi satu lagi legasi kebanggaan negara.

Bak kata Rich Tan, “PappaRich adalah saya, saya adalah PappaRich. Namun, saya boleh katakan yang Pappa ‘sudah bersara’. Kini tinggal Rich sahaja. Saya mahu teruskan perjuangan untuk bawa makanan Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi”.

rich kopitiam

Beza PappaRich Dengan Rich Kopitiam

Memandangkan Rich Kopitiam turut menawarkan hidangan gaya kopitiam seperti Papparich, ramai yang tertanya-tanya akan kualiti serta jenis menu yang ditawarkan.

Jelas Rich, walaupun mengekalkan konsep, font serta warna brand yang sama, namun menu dalam restoran baharunya ini semuanya ‘berbeza’.

Sebagai contoh, penghasilan kuah hari tidak bergantung kepada serbuk kari semata-mara. Sebaliknya, ia dihasilkan dengan santan, ayam serta pelbagai rempah ratus untuk mendapatkan aroma serta rasa yang lebih asli.

Rasa char kuey teow yang ditawarkan oleh Rich Kopitiam juga lebih sedap dan ‘kick’ membuatkan ia mirip dengan char kuey teow asli dari Pulau Pinang. Untuk mendapatkan rasa char kuey teow yang sempurna, Rich juga sanggup berguru dengan pakar dari negeri tersebut.

“Kebanyakan pemilik bisnes makanan hanya berfungsi sebagai ketua syarikat, tetapi tidak tahu selok belok dalam pembuatan makanan. Saya bukan sahaja suka makan, malah saya juga tahu cara untuk hasilkannya. Secara peribadinya, saya rasa ini adalah penting demi memastikan kelangsungan bisnes,” jelas Rich.

Tidak Gentar Dengan Saingan

Dengan kewujudan beberapa nama besar dalam industri restoran kopitiam seperti OldTown White Coffee dan Oriental Kopi, Rich yakin dengan kemampuan Rich Kopitiam untuk bersaing.

“Saya yakin dengan hidangan saya dan saya tahu tahap Rich Kopitiam,” ujar Rich.

Bila menyentuh soal tahap, Rich tidak hanya bercakap tentang kualiti makanan, malah harga hidangan yang lebih berpatutan berbanding bisnes terdahulu.

Tambahan pula, beliau sudah biasa bersaing dalam industri ini. Beliau juga masih ingat kenangan ketika awal penubuhan PappaRich yang mempunyai persaingat sengit dengan OldTown White Coffee.

“Kami mampu bertahan kerana kualiti makanan kami. Kini, Rich Kopitiam sedang berusaha lebih keras untuk kekal bersaing.

Saya telah menghasilkan setiap menu secara teliti. Saya berharap hidangan di Rich Kopitiam mampu memberi kejutan kepada pelanggan lama kami”, jelas Rich.

Rich melihat pengalaman beliau dalam bisnes francais sebagai satu kelebihan baginya. Oleh itu, beliau turut menyimpan hasrat untuk menawarkan jenama baharu ini sebagai francais suatu hari nanti.

Berbanding jenama terdahulu, beliau kini bermatlamat untuk lebih berhati-hati dalam memilih rakan niaga.

Pengalaman dahulu mengajar saya bahawa orang yang memegang prinsip yang sama sahaja dapat membantu dalam mengembangkan jenama,” kongsi Rich.

Beliau juga akui walau besar mana sekalipun suatu jenama itu, kualitinya boleh menurun sehingga menyebabkan perkembangan bisnes terjejas.

Menurut Rich, satu-satunya cara untuk mengatasi isu ini adalah dengan pemantauan operasi dapur serta kualiti makanan dan secara konsisten.

rich kopitiam

Rich Kopitiam Buktikan Kekuatan Jenama Tanpa Marketing Besar-Besaran

Kemungkinan, anda sendiri juga tidak tahu akan kewujudan Rich Kopitiam sebelum membaca artikel ini. Sedang bisnes lain rancak mempromosikan bisnes secara atas talian, jenama ini pula membuat majlis perasmian secara kecil-kecilan dan memilih untuk lebih low profile.

Rich Kopitiam juga terbuka untuk mendengar maklumbalas orang ramai demi menjaga kualiti jenama.

Walaupun hanya bergantung kepada khabar angin pelanggan yang berkongsikan pengalaman mereka, cara ini dilihat berkesan dalam mempromosikan kewujudan Rich Kopitiam kepada orang ramai.

Buktinya, hasil jualan restoran kopitiam ini pada hari kedua meningkat satu kali ganda berbanding hari pembukaan. Jika kita lihat sendiri perkembangan yang dikongsikan oleh kedai ini di media sosial, nampaknya pelanggan tidak putus-putus berkunjung untuk menjamu selera.

Kini, Rich Kopitiam berhasrat untuk membuka 2 atau 3 cawangan di pusat membeli-belah lain menjelang tahun ini. Ayuh kita sokong jenama tempatan ini dan sama-sama kita nantikan pembaharuan yang Rich Kopitiam bakal tawarkan pada masa akan datang.

Sumber : VulcanPost

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top