Jenama burger jalanan tempatan terkemuka, GTR Burger menyasarkan jualan bernilai RM 30 juta pada tahun 2024.

Pengasas GTR Burger iaitu Nordin Mat berkata pihaknya sedang merancang untuk membuka sebanyak 30 hingga 50 buah kios pada bulan Mac ini bermula di Melaka.

Pada masa yang sama, jenama burger ini turut menyasarkan pembukaan 10 cawangan restoran berkonsepkan kontena pada suku ketiga 2024 di pusat membeli-belah sekitar Lembah Klang.

“Kemudahan kios dan restoran ini kami tawarkan kepada usahawan sedia ada yang berkelayakan atau telah mencapai sasaran jualan yang telah ditetapkan.

Selain itu, kami turut mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan stadium di beberapa buah negeri di mana kami akan gunakan tempat tersebut untuk persatuan atau kelab bola sepak bertemu peminat,” jelas Nordin ketika ditemui dalam satu majlis meraikan media dia ibu kota baru-baru ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah pengasas bersama GTR Burger, Najib Jalil dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azli Saat.

Pada tahun ini, jenama burger jalanan yang berpangkalan di Kuala Lumpur ini difahamkan sedang merangka kolaborasi bersama beberapa pasukan bolasepak yang bermain di Liga Super.

Sebagai jenama gerai jalanan, GTR Burger turut mencatatkan satu lagi perkembangan membanggakan menerusi pembukaan gerai baharu mereka di Mercato, The Exchange TRX.

Ini juga menjadi satu permulaan kepada GTR Burger untuk menyajikan burger jalanan premium kepada pelanggan setia mereka melalui pelbagai premis dan tidak hanya terhad di gerai tepi jalan sahaja.

Dalam majlis yang sama, jenama burger ini turut melancarkan menu terbaharunya iaitu Sliders. Menu baharu ini turut diperkenalkan sempena meraikan ulang tahun ketiga GTR Burger dalam industri.

gtr burger

Mengulas lanjut mengenai perancangan jenamanya pada tahun ini, Nordin turut menyasarkan penyertaan sebanyak 300 usahawan baharu yang berminat untuk menceburi perniagaan jualan burger premium.

“Sekarang kami ada 300 usahawan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Daripada jumlah tersebut, kita tengok atas minat mereka sama ada untuk menaik taraf dari gerai jalanan ke kios atau restoran”, katanya.

Ditubuhkan pada tahun 2021, GTR Burger kini memiliki lebih 300 buah premis gerai burger jalanan di samping menyediakan peluang perniagaan yang menarik buat usahawan yang berminat.

Sumber : DagangNews, suaramerdeka.com

Baca Juga : Industri Burger di Malaysia Makin Rancak, Pengasas Chicken Royale Kongsi Realiti Sebenar Yang Perlu Dihadapi Peniaga

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top