Pada awal tahun ini, syarikat e-commerce terkenal milik Alibaba iaitu Lazada telah mengejutkan ramai pihak apabila mengumumkan pengecilan staff di Lazada Singapura.

Memetik laporan The Edge Malaysia pada 3 Januari lalu, ibu pejabat Lazada yang berpangkalan di Singapura dilaporkan telah memecat kira-kira 100 orang pekerja daripada pelbagai bahagian.

Beberapa ahli pegawai eksekutif cawangan tersebut termasuk Ketua Pegawai Khidmat Pelanggan, Brigitte Daubry turut terkesan.

Menurut laporan CNA, tindakan mengejut ini bermula sebaik sahaja para pekerja kembali daripada cuti Tahun Baru.

Berikutan pemecatan mengejut secara beramai-ramai ini, para pekerja yang terkesan di Lazada Singapura telah membuat laporan kepada badan perlindungan pekerja di negara tersebut iaitu National Trades Union Congress (NTUC) dan Food Drinks and Alled Workers Union (FDAWU).

Dalam sebuah kenyataan bertarikh 6 Januari, kedua-dua pihak ini telah menerima permohonan maaf daripada Lazada Singapura dan sedang berunding dengan syarikat tersebut demi memberikan pampasan setimpal kepada pekerja terkesan yang berkelayakan.

lazada malaysia

Lazada Malaysia Turut Berhentikan Pekerja

Setelah berlegar isu mengenai pemecatan staff Lazada Singapura, difahamkan bahawa satu perlima daripada staff Lazada Malaysia turut diberhentikan termasuk Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Pegawai Logistik.

Berita ini juga telah mengejutkan ramai pekerja Lazada Malaysia memandangkan syarikat tersebut baru membuka satu lagi pejabat untuk menambah jumlah tenaga kerja.

Tambahan pula, Alibaba Group Holding Ltd iaitu pemilik Lazada baru sahaja melabur sebanyak US$634 juta (anggaran RM 2.9 bilion) pada bulan lepas meskipun sedang bersaing secara sengit dengan platform e-commerce lain seperti Shopee dan TikTok.

Ia juga merupakan pelaburan besar ketiga yang dilakukan oleh Alibaba sejak 2022 dengan nilai terkumpul sebanyak US$1.8 bilion (anggaran RM 8.3 bilion).

Susulan berita mengejut ini, beberapa pihak termasuk bekas pegawai tinggi yang pernah berkhidmat di Lazada Malaysia telah menawarkan bantuan serta sokongan secara terbuka untuk para pekerja yang terkesan.

Antaranya ialah Luca Suino, Ketua Pegawai Komersial bagi firma IT, Momentum Commerce yang sebelum ini pernah berkhidmat dalam jawatan tinggi Lazada Malaysia beberapa tahun lalu.

Lazada yang memiliki 10,000 pekerja di Filipina, Indonesia, Thailand, Vietnam, Malaysia dan SIngapura juga dilaporkan telah melepaskan beberapa Ketua Pegawai Pemasaran di beberapa negara.

Tech in Asia sebelum ini turut meramal bahawa Lazada akan memecat sehingga 30 peratus pekerja di beberapa di rantau Asia Tenggara.

Pada masa yang sama, LazMall di Vietnam juga sudah ditutup.

Namun, buat masa ini Lazada masih belum keluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai isu ini. Sama-sama kita nantikan perkembangannya pada waktu terdekat.

Sumber : CNA, The Edge Malaysia

Baca Juga : Setelah Mengatasi Alibaba, Kini Pinduoduo Jadi Pesaing Dalam Pasaran USA

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top