Baru-baru ini, syarikat penghantaran makanan yang berpangkalan di Berlin, Jerman iaitu Delivery Hero mengesahkan bahawa pihak mereka sukar untuk mulakan perbincangan mengenai penjualan jenama Foodpanda.

Pihak Delivery Hero memaklumkan bahawa rundingan sedang diadakan dalam peringkat awal rundingan dengan beberapa pihak di pasaran Asia Tenggara terpilih.

“Perbincangan ini masih dalam peringkat awal dan tidak pasti serta ia tertakluk kepada pelbagai perkara yang terbuka sama ada ini akan membawa kepada perjanjian yang muktamad. Pertimbangan pembelian untuk seluruh transaksi masih dalam perbincangan.

Jika ditandatangani, transaksi ini dijangka akan tertakluk kepada beberapa syarat termasuk mendapatkan kelulusan-kelulusan regulasi yang diperlukan dalam bidang kuasa yang berkaitan,” ulas Delivery Hero.

Mengulas lanjut, apa sahaja keputusan dicapai oleh pihak mereka tetap tertakluk pada kelulusan Supervisory Board sebelum dimuktamadkan.

Syarikat tersebut dilaporkan merancang untuk menjual operasinya di bawah jenama Foodpanda di Singapura, Malaysia, Kemboja, Laos, Myanmar, Thailand dan Filipina.

Grab dikatakan bakal mengambil alih Foodpanda

Pelabur dalam syarikat penghantaran makanan dalam talian itu mengalu-alukan laporan tersebut kerana ia telah menyumbang kepada peningkatan saham sebanyak 13.5 peratus.

Portal perniagaan Jerman iaitu Wirthschaftwoche melaporkan bahawa Grab mungkin akan membayar lebih 1 bilion euro (anggaran RM 4.99 bilion) untuk membeli unit tersebut.

Pada masa yang sama, pihak Grab ketika ini juga belum memberikan sebarang komen berkaitan pengambilalihan perniagaan tersebut daripada syarikat Jerman itu.

Mengimbau kembali sejarah industri p-hailing di Malaysia, Grab sebelum ini telah mengambil alih operasi Uber Eats pada tahun 2018.

Sekiranya khabar ini menjadi kenyataan, Grab nampaknya bakal mengukuhkan lagi kedudukannya dalam industri ini danberpeluang untuk menembus pasaran Laos yang belum pernah diterokai sebelum ini.

Delivery Hero pula dilaporkan telah memberi tumpuan untuk meraih keuntungan sambil mengekalkan pertumbuhan yang didapati semakin rancak selepas dunia dibadai pandemik.

Untuk makluman, Foodpanda telah ditubuhkan pada 2012 dan beribu pejabat di Singapura. Syarikat perkhidmatan penghantaran makanan ini mendapat permintaan yang tinggi sehingga mampu melebarkan sayap ke 12 pasaran di Asia Pasifik. Ia telah diambil alih oleh Delivery Hero pada tahun 2016.

Sama-sama kita nantikan maklumbalas rasmi dari pihak Grab serta perkembangan mengenai berita ini.

Sumber : Channel News Asia

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top