Jenama Nike tak perlu diperkenalkan lagi. Sinonim dengan logo tanda right, kejayaan yang diperoleh sebagai jenama pakaian sukan global tidak akan tercapai tanpa strategi branding yang mantap. Pelbagai pendekatan telah diambil oleh Nike untuk memenangi hati penggemar sukan serata dunia.
Walaupun lebih terkenal dengan produk kasut sukan dan sneakers, namun jenama ini menawarkan rangkaian produk kelengkapan sukan yang meluas termasuklah akesori sukan, pakaian sukan dan kasual untuk wanita dan kanak-kanak, beg dan sebagainya. Dianggarkan, jenama ini mampu menjual sebanyak 900 juta produk dalam masa setahun!
Jom kita semak beberapa strategi penjenamaan menarik yang dipraktikkan oleh Nike untuk menjadi jenama bertaraf dunia.
6 Perkara Yang Anda Boleh Pelajari Daripada Strategi Penjenamaan Nike
1. Hasilkan Slogan Terbaik Untuk Jenama
Bila sebut sahaja tentang Nike, sudah tentu tagline mereka Just Do it akan timbul di fikiran. Tahukah anda yang slogan ini sudah menjadi sebahagian daripada Nike sejak tahun 1988?
Pada tahun tersebut, slogan ini telah berjaya meningkatkan pasaran Nike dari 18% ke 43%. 10 tahun selepas itu, slogan bertuah ini juga telah membantu melipatgandakan hasil jualan Nike sehingga 1000%!
Nike membuktikan yang usaha untuk mencipta slogan padat dan catchy mampu memberikan impak yang cukup besar bagi sesebuah jenama.
Bukan sahaja menarik, malah slogan Nike ini juga mempunyai nilai yang positif dan memberikan inspirasi kepada semua untuk menghadapi cabaran dan percaya pada kemampuan diri. Just Do It!
2. Kenalpasti Keperluan Audiens
Untuk menghasilkan kandungan yang berkesan, Nike mengambil langkah untuk kenalpasti keperluan asas serta minat pelanggan sasaran. Apa yang mereka lakukan adalah mengenalpasti keyword yang audiens sering cari di internet berkenaan sukan.
Kemudian, mereka manfaatkan maklumat tersebut untuk perkenalkan produk atau perkhidmatan dengan lebih baik.
Berdasarkan strategi pemasaran Nike, mereka dapati bahawa ramai audiens yang mahu jadi lebih cergas mengikut trend suka terkini. Untuk meraih kepercayaan pelanggan, mereka mula hasilkan kandungan mengenai sukan yang popular dengan gaya hidup masa kini seperti jogging dan yoga.
Seterusnya, mereka akan perkenalkan kelebihan jenama Nike sebagai salah satu keperluan untuk kekal gaya hidup sihat.
3. Pemasaran Yang Pandai Bermain Emosi
Salah satu kekuatan strategi branding Nike ialah kecekapan mereka dalam bermain emosi audiens. Memang sukar untuk dinafikan bahawa kebanyakan video iklan yang dihasilkan sememangnya menyentuh hati.
Jika diamati dengan baik, taktik pemasaran Nike menekankan empat emosi yang pasti dilalui semua iaitu :
Kesakitan : Iklan Nike sering memaparkan kesengsaraan yang setiap atlet lalui untuk menjadi yang terbaik dalam sukan yang diceburi.
Kekuatan : Jenama ini juga akan tonjolkan kekuatan atlet yang tidak berputus asa untuk membaiki prestasi diri.
Ragu : Iklan Nike turut menyelitkan unsur ragu-ragu dalam diri seseorang. Walaupun ia bukan satu emosi yang posiif, namun keraguan tidak dapat ditepis tatkala kita berdepan dengan cabaran dalam hidup. Dalam fasa ini, Nike juga akan menyelitkan sedikit unsur kegagalan sebagai satu proses bagi seseorang berkembang.
Keterujaan : Selepas mengharungi segala kepayahan, Nike mencerminkan kejayaan yang cukup manis dalam setiap kemenangan.
Kalau anda ingin rasai emosi yang disalurkan oleh Nike, anda boleh tonton iklan The Last Game di pautan berikut :
4. Raikan Kepelbagaian
Nike terkenal sebagai jenama global yang tidak terikat kepada satu jenis sukan. Tak hanya menyentuh emosi audiens, malah Nike juga menanam strategi branding yang berkesan dengan meraikan kepelbagaian etnik,demografi. jantina dan usia dalam iklan mereka.
Ini juga merupakan salah satu matlamat Nike dalam menarik lebih ramai pengguna daripada pelbagai latarbelakang untuk sertai komuniti jenama mereka.
Iklan Nike You Can’t Stop Sport memaparkan kepelbagaian sukan, warna kulit, kepercayaan dengan cukup padat dan berkesan.
Selain meraikan kepelbagaian etnik, sukan dan gaya hidup, iklan ini juga membawa mesej bahawa tiada siapa boleh menghalang sukan, termasuklah pandemik global.
5. Kolaborasi Bersama Selebriti dan Atlet Terkemuka
Tajaan serta kolaborasi juga merupakan salah satu kekuatan branding Nike sebagai jenama pakaian sukan bertaraf dunia. Selain selebriti, jenama ini turut menyokong atlet dalam pasukan, organisasi dan liga sukan.
Untuk maksimakan lagi capaian, jenama ini juga banyak melabur untuk bekerjasama dengan atlet berprofil tinggi seperti Tiger Woods, Maria Sharapova, Rafael Nadal dan LeBron James.
Kerjasama Nike bersama pemain bola keranjang NBA terkemuka, Michael Jordan boleh dikatakan sebagai kolaborasi terbesar jenama ini. Kolaborasi kedua-dua pihak ini telah bermula hampir 40 tahun lalu iaitu pada 1984. Ketika itu, Michael Jordan telah menandatangani kontrak dengan jenama ini berjumlah US$2.5 juta, iaitu nilai 3 kali ganda lebih besar daripada jumlah kontrak yang pernah ditandatangani oleh pemain NBA pada ketika itu. Kolaborasi ini juga mencetuskan rangkaian model kasut Air Jordan, salah satu model yang menjadi rebutan penggemar jenama ini sehingga ke hari ini.
Antara personaliti popular lain yang turut berkolaborasi untuk menghasilkan sneakers dengan jenama ini adalah Travis Scott, Justin Timberlake dan Kendrick Lamar.
6. Aktif Mendengar Pendapat Pelanggan
Walaupun jenama ini sudah bertapak selama lebih 50 tahun dalam industri, namun mereka juga tidak ketinggalan untuk mencapai pelanggan menerusi jualan atas talian. Jenama ini melaporkan mereka kini mempunyai 150 juta ahli aktif di pelbagai platform digital.
Menerusi aplikasi serta jualan atas talian mereka, jenama ini juga berjaya meningkatkan jualan digital sebanyak 3 kali ganda pada tahun 2023 dengan peningkatan 27 peratus berbanding 9 peratus pada 2019.
Lebih menarik lagi, jenama ini telah memanfaatkan platform online untuk tawarkan pengalaman unik dan lebih peribadi buat pelanggan.
Sebagai contoh, mereka baru sahaja melancarkan sneakers yang diberi nama Design by Japan Air Max 1 ’87 pada awal tahun ini. Apa yang menarik mengenai rekaan kasut ini ialah ia direka secara ekslusif berpandukan data survey daripada aplikasi mereka iaitu SNKRS.
Dalam pelancaran sneakers tersebut, pelanggan yang mengambil bahagian dalam survey kemudiannya akan menjadi yang terawal memiliki keluaran terbaharu tersebut.
Di samping mampu mengenalpasti keperluan pelanggan serta trend terkini, gaya pemasaran unik Nike ini dapat memberi peluang kepada mereka untuk menawarkan pengalaman yang serba baharu dan hyper-personalised. Usaha sebegini sudah tentu akan membuatkan pelanggan rasa lebih dihargai dan lebih setia menyokong jenama ini pada jangka masa yang lebih panjang.
Nike adalah jenama yang baik untuk anda jadikan rujukan bagi mengembangkan bisnes. Untuk tawan hati pelanggan, anda perlu rangka strategi yang mantap dan berkesan bagi menyaingi pesaing. Demi menjadi jenama yang relevan dengan trend semasa, anda juga perlu mengambil kira pendapat pelanggan dan perlu bijak hasilkan kandungan yang mampu menyentuh hati mereka.
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan mampu memberi inspirasi buat anda untuk menyusun strategi branding yang baik untuk perniagaan anda. Selamat mencuba!