Jenama teh susu terkemuka Thailand, Cha Tra Mue kini bertapak di Malaysia menerusi pembukaan cawangan pertamanya di IOI City Mall, Putrajaya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Woodpeckers, Tan Kai Young berkata, selepas melihat kejayaan llaollao, pihaknya percaya potensi Cha Tra Mue untuk menjadi satu jenama minuman yang digemari dalam kalangan rakyat Malaysia.
Ini selari dengan matlamat Woodpeckers dalam sentiasa mencari produk makanan dan minuman dengan rasa yang unik.
“Melihatkan perkembangan llaollao yang positif dan penglibatan terbaharu kami dalam segmen ‘fine-dining’ melalui Restoran TBC, kini kami teruja untuk berkongsi kegembiraan dalam dunia teh susu Malaysia menerusi Cha Tra Mue,’ jelas Tan.
Pendekatan Yang Sama Dengan llaollao Untuk Kembangkan Jenama Cha Tra Mue
Dalam satu kenyataan, Tan berkata mereka bersedia untuk mengembangkan jenama teh susu ini mengikut proses dan sistem yang sama digunakan dalam mengembangkan jenama llaollao.
Sementara itu, Pengurus Operasi Jenama Woodpeckers, Ricky Tjandra pula berkata pihaknya akan menggunakan daun teh yang sama di Thailand bagi memberikan rasa minuman yang sama seperti cawangan Cha Tra Mue di Bangkok.
Setelah pelancaran cawangan pertamanya, jenama teh susu popular ini juga akan merancang untuk membuka kira-kira 40 cawangan lagi di negara ini menjelang akhir tahun hadapan.
Strategi perkembangan bisnes yang agresif ini juga menjadi bukti kesungguhan Woodpeckers dalam menawarkan produk minuman istimewa ini kepada penggemar teh susu di Malaysia.
Woodpeckers berkata mereka telah membuat tinjauan dan mengenal pasti beberapa lokasi yang strategi untuk mereka membuka sehingga 10 cawangan ChaTraMue pada tahun ini dan lima lagi cawangan pada suku pertama tahun hadapan.
“Kami akan tingkatkan lagi pembukaan cawangan kami kepada sembilan cawangan setiap suku tahun seterusnya. Ini bakal menjadikan jumlah keseluruhan kedai kepada lebih kurang 40 buah cawangan menjelang akhir tahun hadapan,” jelas pihak Woodpeckers.
Kemunculan jenama ChaTraMue sudah tentu bakal mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan rakyat Malaysia. Maklumlah, rasa teh yang wangi dan berkrim dari negara jiran ini memang cukup sebati dan sudah menjadi kegemaran orang kita.
Baca Juga : Dari Thailand ke Austria dan Seluruh Dunia, Ini Kisah Jenama Red Bull Yang Ramai Tak Tahu