Syarikat telekomunikasi tempatan, CelcomDigi bakal membina ekosistem bandar pintar di Hulu Kelang dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Melibatkan jangka masa selama 10 tahun, CelcomDigi akan meneroka serta melaksanakan penyelesaian teknologi 5G serta infrastruktur gentian yang mantap di DUN Hulu Kelang. Lokasi tersebut juga merupakan kawasan projek perintis bagi pembangunan Bandar Pintar Ampang Jaya.

Sebuah majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara CelcomDigi dengan MPAJ juga telah dilangsungkan di ibu negara baru-baru ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Datuk Idham selaku wakil CelcomDigi dan Yang Dipertua MPAJ, Dr Ani Ahmad.

hulu kelang

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata kerjasama bersama MPAJ ini merupakan pakatan strategik yang dibina dengan wawasan bersama bagi membina infrastruktur bandar pintar dan model ekosistem yang boleh direalisasikan.

“CelcomDigi dan MPAJ bekerjasama menilai dan mengenalpasti penyelesaian bandar pintar yang terbaik dan mampu mengubah Hulu Kelang menjadi satu daerah digital bersepadu, lengkap dengan persekitaran moden dan mampan yang boleh mempromosikan pertumbuhan ekonomi di samping meningkatkan kebajikan penduduk.

Kami bertekad untuk memanfaatkan usaha sama ini dengan perkongsian tempatan serta global dalam membangunkan ekosistem yang diharapkan” jelas Idham.

Mengulas lanjut, beliau berharap usaha ini bermanfaat serta dapat menjadi contoh kepada rakan kongsi lain seperti majlis perbandaran dengan rangkaian penyelesaian bandar pintar yang boleh diguna pakai di lebih banyak bandar di seluruh negara.

“Bagi sebahagian daripada kerjasama ini, CelcomDigi juga akan menerajui ‘sandbox’ yang bakal menghimpunkan semua pihak berkaitan dengan penyelesaian bandar pintar seperti pembekal teknologi, usahawan, pembekal teknologi, pencipta dan pengeluar peranti bagi menguji produk dan perkhidmatan mereka dalam persekitaran sebenar, yang berpotensi dilaksanakan dalam inisiatif bandar pintar Hulu Kelang”, ujarnya.

Sementara itu, Amirudin dalam ucapan berharap segala usaha di bawah inisiatif Bandar Pintar ini bakal menjana impak positif terhadap ekosistem secara inkusif untuk masyarakat, pembangunan ekonomi serta kelestarian alam sekitar.

hulu kelang

Sumber : Malaysia Aktif

Beliau berkata kerjasama MPAJ dan CelcomDigi ini juga merupakan bukti kesungguhan MPAJ dalam membina sebuah bandar pintar, selaras dengan matlamat Kerajaan Negeri untuk mentrasformasikan Selangor kepada Negeri Pintar menjelang tahun 2025.

Kerjasama ini juga sekaligus menyokong ‘Rangka Kerja Bandar Pintar’ MPAJ, iaitu satu pelan berwawasan yang dibangunkan bagi merubah Ampang Jaya kepada bandar pintar dengan menumpukan kepada Infrastruktur Pintar, Ekonomi pIntar, Komuniti Pintar, Persekitaran Pintar dan Tadbir Urus Pintar.

Sumber : DagangNews, SelangorKini

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top