Berjaya menyambut sehingga 12,000 kelahiran bayi sejak tahun 2017, Andorra kini komited untuk tawarkan perkhidmatan yang lebih meluas dan komprehensif bagi memenuhi keperluan kesihatan ibu bersalin serta kanak-kanak.

Andorra Healthcare Berhad (Andorra) baru-baru ini berkongsikan bahawa mereka bakal membuka tujuh cawangan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Andorra dengan konsep mesra syariah di Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan dan dijangka akan siap dalam masa enam tahun bermula tahun depan.

Pengasas Hospital Andorra, Dr Khamsiah Muda berkata ia adalah berikutan meningkatnya permintaan yang tinggi daripada golongan pesakit wanita yang berada di luar Lembah Klang yang turut mahu mendapatkan perkhidmatan Andorra di kawasan mereka, selain menumpukan kawasan berkepadatan tinggi.

“Setelah enam tahun beroperasi, kami di Andorra juga telah melalui beberapa waktu sukar yang mematangkan kami terutamanya pada zaman pandemik Covid-19. Kini, kami bersedia untuk kembangkan jenama serta perkhidmatan perubatan secara lebih agresif,” ulas Dr Khamsiah.

Andorra Bakal Perkenalkan Multi-Disiplin Baharu

Dalam perancangan mereka meluaskan perkhidmatan ke negeri lain, Dr Khamsiah berkata hospital-hospital baharu ini juga bakal melibatkan pertambahan 10 multi-disiplin melibatkan wanita serta kanak-kanak seperti ortopedik, pembedahan oftalmologi dan lain-lain berbanding tiga multi-disiplin yang ditawarkan ketika ini iaitu perbidanan dan sakit puan, pediatrik dan anestesiologi.

“Pada masa yang sama, ia juga akan melibatkan pertambahan katil iaitu 60 hingga 80 katil berbanding 34 katil di hospital sedia ada”, jelas Dr Khamsiah dalam Majlis Hi-Tea Bersama Media, Pemblog dan Pempengaruh Sempena Ulang Tahun Keenam Andorra, di sini hari ini.

andorra

Mengulas lanjut, Dr Khamsiah yang juga merupakan doktor pakar dalam bidang obstetrik dan ginekologi (O&G) berkata pihaknya bakal mengembangkan lagi perkhidmatan penjagaan kesihatannya dengan membangunkan Hotel ‘Confinement and Spa’ dan Kompleks Klinik Pakar berdekatan hospitalnya yang terletak di Seri Kembangan dalam masa terdekat.

“Di hotel ini, kami akan sediakan beberapa perkhidmatan seperti pakar psikiatri untuk menilai tahap kesihatan para ibu yang baru melahirkan anak, di samping menawarkan sokongan serta pendidikan keibubapaan kepada pasangan suami isteri,” jelas Dr Khamsiah.

Sumber  : Bernama

Baca Juga : Pelukis Jadi Perintis Industri Herba Tradisi, Ini Kisah Bagaimana Pengasas Nona Roguy Bangunkan Produk Berpantang Paling Laris di Malaysia

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top