Syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan Brahim’s Food Services Sdn Bhd (BFS) akan menamatkan kontrak bersama pada hujung bulan ini. Ini sekaligus jadi pengakhir bagi kerjasama yang telah terbina sejak 26 tahun yang lalu.

Malaysia Aviation Group (MAG) berkata semua perkhidmatan dalam pesawat yang disediakan oleh Brahim’s akan dihentikan serta merta pada 30 Jun 2023.

Malaysia Airlines

Pihak MAG mengatakan bahawa proses pembaharuan kontrak telah berlangsung bersama BFS pada November lalu apabila syarikat penyedia makanan tersebut mendapatkan semula lesen daripada Malaysian Aviation Commission (Mavcom).

Sebelum itu, Mavcom telah menolak permohonan daripada syarikat tersebut antara 2020 dan 2021 disebabkan oleh situasi kewangan yang menimpa BFS pada ketika itu.

“Setelah melalui beberapa proses rundingan, dukacita dimaklumkan bahawa kami telah menerima notis secara mendadak daripada BFS tanpa mencapai kata putus daripada dua-dua belah pihak,” kongsi pihak MAG.

Susulan penerimaan notis tersebut, MAG segera melancarkan pelan kelangsungan bisnes bagi menawarkan makanan serta minuman (F&B) alternatif di pesawat demi menawarkan keselesaan dan pengalaman baik buat pelanggan bermula 1 Julai.

Syarikat tersebut juga sedang meneliti pembekal khidmat F&B yang berkongsi matlamat yang sama bagi menggantikan Brahim’s.

“Kami memohon maaf atas kesulitan yang mungkin dihadapi oleh pelanggan pada tempoh ini. Kami terus komited untuk menawarkan pengalaman terbaik buat semua para penumpang,” jelas pihak MAG.

 

Pada masa yang sama, MAG kini sedang melihat peluang untuk menubuhkan perkhidmatan F&B menerusi anak syarikat mereka pada masa akan datang.

Sebelum ini, NST melaporkan bahawa Malaysia Airlines akan menguruskan perkhidmatan katering menerusi salah satu syarikat daripada induk yang sama iaitu MAS Awana sekiranya BFS gagal mencapai persetujuan sebelum 30 Jun.

Menurut beberapa sumber, tugas dalaman seperti penghantaran makanan kepada pesawat akan diberikan kepada vendor baharu memandangkan MAS Awana tidak mempunyai kapasiti yang optimum untuk melakukan semua tugas dalam satu masa.

Dahulunya dikenali sebagai MAS Catering (Sarawak) Sdn Bhd, MAS Awana telah menyediakan hidangan dalam pesawat untuk Malaysia Airlines, MASwings dan beberapa pesawat luar negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, BFS juga telah merancang untuk meneruskan perkhidmatan bagi 35 syarikat penerbangan antarabangsa yang serta meneroka peluang baharu setelah kontrak tamat bersama Malaysia Airlines.

Antara syarikat penerbangan antarabangsa lain yang mendapatkan perkhidmatan daripada Brahim’s adalah Qatar Airways, Emirates dan All Nippon Airways.

Sumber : News Straits Time

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top