Grab Malaysia dengan kerjasama KLEAN, MRANTI dan F&N telah melancarkan projek Reverse Vending Machines (RVM) dengan kecerdasan buatan (AI). Menerusi projek ini, sebanyak 18 buah RVM telah ditempatkan di seluruh Lembah Klang.
Projek ini merupakan sebahagian daripada komitmen Grab dalam mencapai sisa pembungkusan sifar secara semula jadi menjelang tahun 2040.
“Kami menyedari bahawa sisa pembungkusan makanan adalah produk sampingan yang wujud dari platform penghantaran makanan kami. Perubahan perlu berlaku di seluruh rantaian nilai, dan kami komited untuk mencari dan membangunkan jawapan yang mampan dan inklusif secara proaktif,” kata Adelene Foo, pengarah urusan, Grab Malaysia.
Turut hadir dalam majlis pelancaran RVM ini adalah Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
Menurut beliau, kementerian sedang berusaha dalam pelbagai bidang bagi menghapuskan plastik sekali pakai yang tidak boleh terbiodgradasi secara berperingkat.
“RVM yang diperkenalkan melalui usaha kolaboratif ini bukan sahaja sejajar dengan matlamat pelan hala tuju kami tetapi juga menyediakan ruang untuk kedua-dua perniagaan dan pengguna merealisasikan perubahan yang diingini,” jelas Nik Nazmi.
RVM yang dipacu dengan kuasa AI ini bakal memudahkan pengguna mengitar semula pembungkus makanan yang telah dibasuh seperti botol polietilena tereftalat (PET), bekas makanan plastik dan tin aliminium.
Bekas buangan yang terkumpul seterusnya akan diproses oleh pengeluar resin plastik, Asasrama untuk dikitar semula menjadi bahan mentah seperti PET baharu dan palet PP. seterusnya, bahan ini dapat digunakan bagi mencipta produk baharu seperti kotak plastik, material bagi tampalan perabot dan pakaian.
Pengguna boleh menyumbang bahan buangan plastik dengan mudah dengan adanya mesin yang dipacu kuasa AI ini. Mereka hanya perlu masukkan bekas makanan plastik yang telah dibasuh, kemudian imbas kod QR RVM dan tebus baucar menggunakan mata KLEAN yang dikumpul untuk membeli-belah, kredit e-dompet, pelaburan dan sebagainya.
Inisiatif dalam melestarikan alam sekitar oleh Grab ini wajar dipuji. Selain mempromosikan budaya kitar semula, pengguna juga dapat nikmati ganjaran yang bermanfaat buat mereka.