Tujuh tahun lalu, hidup Ariff Luqman Peter Lisut boleh dikatakan hampir sempurna. Dia adalah seorang pemilik bisnes yang berjaya, mempunyai rumah yang selesa dan memandu kereta import.
Namun, semua nikmat ini hilang sekelip mata apabila dia terpaksa tinggal di dalam kereta sejak lebih setahun lalu.
Kehidupan pemuda yang mesra disapa sebagai Ariff Peter ini terjadi selepas dia terjebak dalam penipuan pelaburan mata wang digital kira-kira dua tahun lepas. Akibatnya, Ariff terpaksa menanggung hutang lebih RM 1 juta.
Berkongsi pengalaman pahitnya, Ariff akui kesilapannya kerana terlalu percaya kepada pelaburan tersebut yang menggunakannya sebagai duta untuk menarik orang ramai melabur dengan alasan dia sudah berjaya dalam perniagaan.
Ariff berkata niatnya hanya ingin membantu orang ramai, namun dia sendiri tidak menyangka semua individu bersama dalam pelaburan itu menghilangkan diri. Bukan itu sahaja, malah Ariff turut ditinggalkan untuk berdepan dengan mangsa-mangsa yang telah ditipu.
“Saya mahu teruskan kehidupan dengan selesa dan selamat, jadi saya ambil tanggungjawab bayar wang mangsa dengan jual semua aset saya, cuma yang tinggal hanya Proton Wira ini saja yang digunakan untuk bekerja dan tidur.
“Walaupun jual semua aset, ia tidak cukup bayar hutang, malah saya melakukan pelbagai kerja untuk lunaskan bakinya. Sebab itu saya tidak sewa rumah atau bilik kerana tanggungan saya terlalu berat,” katanya.
Ariff yang juga merupakan bakat baharu dalam industri muzik tanah air reda melepaskan semua asetnya termasuk perniagaan penternakan lembu, dua buah rumah dan tiga buah kereta demi membayar semula wang mangsa.
Kerana tidak mahu terbeban menyewa bilik, Ariff juga memutuskan untuk tinggal di dalam sebuah kereta Proton Wira di samping melakukan pelbagai kerja termasuk khidmat penghantaran barang, pembersihan, sanitasi premis dan rumah serta menulis lirik.
Pada masa yang sama, pemuda berusia 27 tahun ini turut menerima tempahan menghasilkan poster perniagaan, copywriting dan pelbagai kandungan video.
Baru-baru ini, Ariff turut berkongsikan kisahnya di platform media sosial X.
Jangan malu untuk buat benda betul dan nak perbetulkan keadaan. Aku mengaku salah aku terlalu percaya sangat orang sehingga bebankan orang-orang lain pula. Masa tu, aku diberitahu program-program ini boleh bantu orang masa pkp. Jadi aku setuju jadi muka depan. Last2 sebaliknya. pic.twitter.com/DEb9ywqdmz
— Ariff Peter (@ariffpeter_) September 25, 2023
Atas kecekalannya, hutang Ariff kini berbaki RM 100,000. Walaupun dia kini sudah mendapat pekerjaan tetap dengan gaji bulanan yang agak lumayan, dia masih meneruskan semua kerja sampingan untuk menyelesaikan baki hutang dan tidur dalam kereta.
“Tiga bulan pertama sukar biasakan diri, tetapi sekarang, saya sudah biasa dan selesa, asalkan dapat tidur dan berlindung dari hujan dan panas, saya sudah bersyukur.
“Saya tidur di mana-mana dan sejak kerja tetap sebulan lalu, saya tidur dekat pejabat setiap Isnin hingga Jumaat dan waktu malam, saya sambung kerja sampingan, manakala hujung minggu buat kerja muzik di studio rakan.
“Apa saja kerja boleh dilakukan akan saya buat asalkan dapat wang halal. Kira-kira 90 peratus daripada gaji serta hasil kerja sampingan digunakan untuk membayar hutang,” luah Ariff.
Rezeki Bertambah Selepas Kisah Ariff Peter Tular di Media Sosial
Pernah berkongsi kisahnya di TikTok, Ariff menegaskan bahawa ia bukanlah untuk meraih simpati atau sumbangan. Sebaliknya, dia memanfaatkan akaun media sosial untuk mendapatkan peluang kerja.
“Tujuan saya mahu iklankan perkhidmatan dan harap netizen beri peluang dengan mendapatkan khidmat yang saya tawarkan.
“Saya buat kerja bukan minta sumbangan dan sejak tular di TikTok, saya dapat banyak job dan yakin dapat selesaikan baki hutang dalam masa terdekat ini,” katanya.
Pemuda ini juga tidak malu untuk hidup begini. Menurutnya, dia lebih malu sekiranya mahu hidup bermewahan hasil penderitaan orang lain.
@ariffpeter 1 tahun homeless 😔
Ariff juga bersyukur kerana sejak kisahnya tular di media sosial, hampir setiap hari dia dihubungi orang ramai untuk mendapat khidmat daripadanya.
“Syukur kepada Tuhan. Malah, sekarang kurang rasa sakit kepala, tidak seperti sebelum ini. Dulu saya memang betul-betul ‘koyak’ dan pernah kemurungan.
“Saya berpegang pada prinsip ‘orang akan sokong kita asalkan kita jujur serta berterus-terang’. Terima kasih sekali lagi untuk peluang dan sokongan, Insya-Allah semua akan selesai dalam masa terdekat, malah hidup akan lebih tenang (tanpa bebanan hutang),” jelas Ariff.
Kisah Ariff dapat menjadi pengajaran buat semua agar berhati-hati dalam apa juga bentuk pelaburan. Lebih penting lagi, Ariff turut mengajar kita untuk tidak berputus asa dalam menghadapi dugaan.
Sumber : Harian Metro