Lancar Dendeng Nyet Berapi , Khairul Aming Sasar Jualan RM 1 Juta Terpantas di TikTok Shop
Khairul Aming merupakan personaliti yang tidak asing lagi di media sosial. Beliau terkenal dengan perkongsian video resepi masakan serta menjadi inspirasi ramai anak muda.
Selain dikenali sebagai content creator, Khairul Aming juga merupakan seorang usahawan bagi produk Sambal Nyet Berapi.
Setelah terjualnya 3 juta botol sambal setakat ini, Khairul melebarkan lagi sayap perniagaannya dengan memperkenalkan produk terbaru iaitu Dendeng Nyet Berapi.
Produk tersebut akan mula dijual secara rasmi pada 2 Februari secara ekslusif melalui TikTok Shop. Khairul berkata Dendeng Nyet Berapi akan dijual sebanyak 80,000 unit pada harga RM 14.99 setiap satu.
Pelanggan pula berpeluang untuk membeli sehingga 6 paket dendeng setiap seorang.
Selari dengan perasmian produk tersebut, usahawan daripada Kelantan ini juga akan cuba untuk menyasarkan menjadi produk pertama tempatan yang mencapai jualan RM 1 juta terpantas di TikTok Shop Malaysia.
Sebelum ini, produk Sambal Nyet juga pernah mencipta sejarah apabila terjual sebanyak 13,000 botol dalam masa 2 minit.
Disebabkan itu, ramai yang merasakan tidak mustahil Khairul dapat memegang rekod ini pada jualan 2.2 kelak. Tambahan pula, beliau kini juga memfokuskan 60% jualan produknya daripada TikTok Shop, dan baki 40% adalah daripada platform lain.
Kenapa Pilih Dendeng Nyet Berapi Sebagai Produk Kedua?
Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa Khairul Aming memilih dendeng daging sebagai produk kedua?
Ini mungkin disebabkan ada sesetengah penggemar yang mengharapkan beliau keluarkan produk sambal lain seperti sambal hijau atau sambal belacan.
Dalam satu perkongsian di media sosial, Khairul berkata beliau memilih dendeng daging supaya ia dapat melengkapi produk pertamanya iaitu sambal.
Beliau juga tidak mahu lancarkan produk sambal yang boleh ‘bersaing’ sesama sendiri.
“Sebagai contoh, kalau beli phone, ada jual casing. Kalau beli burger, ada pilihan untuk tambah fries atau minuman. Jadi sama juga, kita juga nakkan produk kedua yang mampu melengkapi produk yang pertama,” jelas Khairul.
Dendeng Nyet Berapi
Berat : 180g
Harga : Rm 14.99
Kuantiti : 80,000 unitDalam video ni kita buat full explanation mengenai purchase limit, level kepedasan, dan juga info yang lain kenapa kita pilih dendeng sebagai produk kedua. Jumpa you guys hari jumaat ni! 😃 pic.twitter.com/bQxTNAGtxm
— Khairulaming (@khairulaming) January 31, 2024
Beliau juga berkata produk ini juga merupakan jawapannya kepada permintaan pelanggan.
“Kita dengar feedback dan permintaan pelanggan. Mereka nakkan produk yang ready-to-eat, yang tak pedas macam Sambal Nyet serta dijual dalam pek kecil agar mudah untuk dibawa ketika merantau dan tidak mudah pecah.
Berat Dendeng Nyet Berapi ini juga cuma 8 gram iaitu 90% lebih ringan berbanding Sambal Nyet. Ia juga bukan sahaja lebih mudah untuk dikendalikan oleh staff kita, malah beratnya yang ringan membuatkan ia mudah untuk dikirim kepada pelanggan. Pelanggan juga dapat kurangkan kos penghantaran.”
Pasti ramai yang tidak sabar untuk mencuba produk terbaru daripada Khairul Aming ini. Ayuh sama-sama kita nantikan kemunculannya pada 2 Februari ini.
Sumber : Twitter Khairul Aming, Astro Awani
Baca Juga : Ilmu dan Skill Itu Penting! Khairul Aming Kongsi Rahsia Nak Jadi Content Creator Berkualiti