Bila sebut tentang jutawan China, pasti ramai yang membayangkan kekayaan pengasas Alibaba, Jack Ma atau Pony Ma yang mencetuskan empayar Tencent.

Namun, ada lagi seorang usahawan yang lebih kaya daripada mereka berdua iaitu Zhong Shanshan. Sekiranya Jack Ma dan Pony Ma menjana kekayaan menerusi teknologi, Zhong pula boleh jadi kaya dengan menjual air mineral!

Bagaimana Zhong mampu menjadi individu terkaya di China? Ayuh kita ikuti beberapa fakta menarik mengenai Zhong Shanshan, pengasas Nongfu Spring.

7 Fakta Menarik Zhong Shanshan, Pengasas Nongfu Spring Merangkap Orang Terkaya di China

Zhong Shanshan

1.Terinspirasi Dengan Kejayaan 500 Jutawan

Disebabkan kesempitan hidup, Zhong telah berhenti sekolah dan bekerja sebagai buruh.

Setelah mendapat kelulusan daripada Zheijang Radio & Television College, beliau mula berkhidmat sebagai wartawan akhbar sekitar 1980an.

Ketika bertugas untuk Zheijang Daily, Zhong telah menemubual lebih daripada 500 orang jutawan di China. Terinspirasi daripada kejayaan mereka yang bermula daripada bawah, Zhang berazam untuk mengubah nasib dan membuka bisnes sendiri.

2. Pernah Buat Pelbagai Kerja Sebelum Buka Bisnes Air Mineral

Selepas lima tahun bekerja sebagai wartawan, Zhong mula meneroka pelbagai bisnes antaranya membangunkan syarikat akhbar sendiri, menanam cendawan dan menjual langsir.

Pada 1993, Zhong mula menjual produk kesihatan berasaskan daging penyu bersama seorang rakan niaga. Beliau mendakwa bahawa supplemennya mampu menguatkan sistem pertahanan badan dan mengurangkan insomnia.

Bisnes tersebut meraih keuntungan yang agak besar. Akhirnya pada 1996, Zhong pun mula mengasaskan Nongfu Spring.

3. Zhong Bawa Perubahan Pada Industri Air Mineral di China

Zhong Shanshan

 

Bagi kita, air mineral bukanlah suatu produk yang baru. Tambahan pula, terdapat pelbagai jenis jenama yang boleh didapatkan di pasaran.

Namun lain pula ceritanya dengan rakyat China. Pada tahun 1999, Zhong Shanshan berhenti menapis mineral semulajadi daripada produk air botolnya.

Ini merupakan satu perkara yang baru bagi warga China kerana rakyat negara tersebut sudah biasa minum air suling walaupun kajian sains sudahpun membuktikan yang ia bukan satu pilihan yang baik.

Walaupun berdepan dengan pelbagai spekulasi berkenaan kualiti air, namun jualan Nongfu Spring terus meningkat saban tahun.

Zhong juga tidak berputus asa dan terus fokus untuk menekankan kelebihan air botol dengan kandungan mineral semulajadi untuk kesihatan.

Sumber : Bloomberg

Antara faktor lain yang turut membuatkan Nongfu Spring popular dalam kalangan warga China adalah lambakan kedai fizikalnya di pelbagai daerah.

Walaupun banyak bisnes kini beralih kepada perniagaan atas talian, Zhong berpendapat bahawa kedai fizikal tetap memainkan peranan penting.

“Syarikat internet terbesar bukanlah berasal dari China. Lihatlah apa yang Apple lakukan, mereka sanggup membuka banyak kedai fizikal. Ini adalah strategi utama mereka untuk lebih dekat dengan pelanggan,” jelas Zhong dalam satu temubual bersama Phoenix TV.

Pada masa yang sama, Zhong juga memfokuskan kepada perkembangan jenama Nongfu Spring dengan menawarkan variasi produk seperti minuman isotonik, jus buah-buahan, minuman berkarbonat, kopi dan teh.

Setakat ini, Nongfu Spring kekal sebagai pemegang pasaran terbesar bagi jualan air mineral dalam botol serta pasaran ketiga terbesar bagi jualan minuman berkarbonat di China.

4. Berjaya Atasi Kekayaan Jack Ma

Pada September 2021, Zhong menjadi tumpuan dunia apabila berjaya mengatasi kekayaan Jack Ma. Ini sekaligus menjadikan Zhong sebagai individu terkaya di China dengan harta kekayaan sebanyak US$63 bilion.

Selain memiliki Nongfu Spring, Zhong juga memiliki satu lagi perusahaan iaitu Beijing Wantai Biological Pharmacy iaitu syarikat farmaseutikal yang popular dengan penghasilan vaksin.

5. Lebih Selesa Hidup Low Profile

Tidak seperti jutawan lain yang gemar berbelanja mewah sehingga mendapat perhatian media, Zhong pula lebih selesa dengan kehidupan sederhana.

Berbanding Jack Ma yang memiliki sebuah hartanah bernilai US$23 juta di New York, Zhong memilih untuk tidak membelanjakan kekayaannya untuk membeli kediaman mewah.

Usahawan berusia 68 tahun ini sebaliknya memilih untuk hidup sederhana di sebuah apartmen yang terletak di Hangzhou.

6. Popular Dengan Gelaran Lone Wolf

Bukan sahaja tidak gemar populariti, malah Zhong Shanshan juga sering digelar sebagai Lone Wolf oleh orang China kerana beliau jarang tampil secara umum atau bertemu dengan media.

Selain itu, Zhong juga tidak gemar untuk libatkan diri dalam urusan politik dan jarang bergaul dengan kumpulan usahawan lain.

“Saya lebih suka menyendiri dan tidak mahu tahu apa yang rakan sekerja saya fikir atau lakukan,” jelas Zhong dalam satu temubual.

7. Bisnes Turut Disertai Oleh Keluarga

The China Daily melaporkan bahawa Zhong memiliki 3 orang anak, namun hanya seorang yang tersenarai sebagai pengarah bukan eksekutif dalam syarikat air mineralnya iaitu Zhong Shu Zi.

Pada masa yang sama, beberapa saudara terdekat Zhong turut memiliki syer dalam Nongfu Spring antaranya dua orang kakak Zhong, dan tiga orang iparnya.

Zhong Shanshan

Pada Januari 2021, Zhong dikhabarkan telah melepaskan jawatan dalam syarikat farmaseutikalnya atas alasan peribadi. Namun, beliau masih bertugas sebagai pengerusi Nongfu Spring dan merupakan pemegang syer terbesar syarikat tersebut.

Berdasarkan kisah kejayaan Zhong Shanshan, dapatlah kita simpulkan bahawa jutawan ini bijak melihat peluang dalam pasaran yang ramai belum terokai. Meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran, beliau tetap konsisten untuk menambah nilai serta mengukuhkan jenama.

Sikapnya yang besederhana dalam hidup dan tidak mudah berputus asa dalam membangunkan bisnes juga menjadikan Zhong sebagai seorang jutawan yang patut dicontohi.

Sumber : Bloomberg, Business Insider, Traders Fairs & Awards

Baca Juga : Miliki Kekayaan Sehingga US$120 Bilion, Ini 11 Waris Jutawan China Yang Bakal Terajui Bisnes Keluarga Bernilai USD1 Trillion

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top