Jika anda sering bersiar-siar di pusat membeli belah di Kuala Lumpur, anda pasti selalu terserempak dengan kedai buah bernama MBG.
Mungkin ada yang menganggap kedai buah ini berasal dari luar negara konsepnya yang lebih segar serta menjual aneka buah-buahan import.
Kalau nak tahu, MBG adalah jenama tempatan yang dibangunkan sejak tahun 1950an lagi.
Dari Petaling Street ke Pusat Membeli-Belah Terkemuka
MBG diasaskan oleh seorang usahawan berdarah Cina bernama Adnan Lee. Ketika datuknya berhijrah ke Tanah Melayu dari China pada 1950an, pelbagai kerja telah dilakukan untuk meneruskan hidup termasuklah mengangkut barangan menaiki beca.
Dia juga mempunyai tabiat untuk membelikan sesuatu buat isterinya daripada pasar sebelum pulang ke rumah.
Pada suatu hari, datuk Adnan dapati buah-buahan sering dijual pada harga yang lebih mahal berbanding kos asal. Ia juga mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pelanggan.
Ini telah mencetuskan idea kepada datuk Adnan untuk mula menjual buah di Petaling Street.
Adnan pula mula membantu keluarganya menjual buah seawal usia 18 tahun. Ketika itu, kedai buah milik keluarga tidaklah begitu besar dan tak mempunyai nama.
Sehinggalah pada tahun 2004, Adnan mendapat peluang untuk membuka sebuah kedai di NSK Selayang.
Ketika itu, dia dapati kedai dalam pusat membeli belah perlu ada nama brand, logo dan papan tanda untuk memudahkan pelanggan.
Adnan kemudiannya terdetik untuk memberi nama bisnes keluarganya MBG. Kalau nak tahu, MBG sebenarnya adalah akronim kepada Money Back Guarantee.
Dalam satu temubual bersama BFM, Adnan menyatakan bahawa idea untuk memberi nama bisnesnya tercetus daripada pengalamannya menjual buah kepada pelanggan.
“Bila pelanggan ingin beli buah, mereka pasti akan bertanya manis atau tidak buah ini?”
Daripada situ, MBG terinspirasi untuk memberi jaminan bahawa jika buah yang dibeli tidak manis, mereka akan memulangkan wang pelanggan.
Pada tahun berikutnya, pelanggan mencadangkan Adnan untuk membuka cawangan di pusat membeli-belah Avenue K yang terletak bersebelahan Menara Berkembar Petronas.
“Pengendali pusat membeli-belah sering mencari konsep baharu untuk dibawa masuk. Ini sangat bagus untuk usahawan kecil namun dengan konsep dan idea yang segar”, kongsi Adnan dalam satu temubual bersama The Edge.
Ternyata, percaturan Adnan untuk membuka kedai buah di dalam pusat membeli-belah ternyata mengena.
Sejak itu, jenama kedai buah ini sering mendapat permintaan untuk membuka cawangan di pusat membeli-belah khususnya di kawasan Lembah Klang.
Ini sesuai dengan gelagat pembeli yang kian berubah dari tahun ke tahun. Penduduk bandar yang sering berkunjung ke mall juga lebih selesa untuk membeli buah-buahan di mall berbanding di pasar basah.
Tambahan pula, pusat membeli-belah dilihat sebagai lokasi yang strategik kerana mudah untuk dikunjungi selepas waktu kerja.
Kini, pelanggan juga boleh mendapatkan buah-buahan daripada MBG di pusat membeli-belah terkemuka lain seperti Pavillion Bukit Jalil, The Gardens Mid Valley dan The Starling.
MBG Lihat Inflasi Sebagai Peluang
Meskipun rakyat Malaysia sering terbeban akibat inflasi, namun MBG bijak melihat ia sebagai peluang, bukan penghalang untuk bisnes berkembang.
Tambahan pula, jenama ini mesti mencari jalan untuk lariskan buah-buahan import yang rata-rata lebih mahal daripada buah-buahan tempatan dan merangkumi 65% daripada keseluruhan produk.
Jadi, apa yang MBG lakukan ialah mengubah kos bagi pakej buah mereka. Sebagai contoh, jika pelanggan boleh beli 7 biji epal dengan harga RM 10 beberapa tahun lalu, jenama ini akan menawarkan 6 biji epal pada harga yang sama.
Cara ini bukan sahaja membolehkan MBG untuk tawarkan produk pada harga yang berpatutan, malah ini juga boleh memberi keuntungan kepada bisnes mereka.
“Bila pelanggan boleh beli buah pada harga yang murah, mereka akan habiskan dengan lebih cepat. Ini akan membuatkan mereka kembali lagi ke kedai untuk ulangi pembelian. Cara ini nampaknya berkesan untuk tarik lebih ramai pelanggan ke kedai kami”, jelas Adnan.
Di samping itu, Adnan juga berpendapat bahawa bisnes keluarganya yang kini memasuki generasi ketiga ini juga semakin mendapat permintaan kerana kesedaran rakyat Malaysia yang semakin meningkat terhadap pemakanan sihat.
Lama-kelamaan, MBG mampu mengembangkan bisnes menerusi francais dan kini memiliki 34 buah cawangan di pusat membeli-belah sekitar lembah Klang.
Tidak hanya terhad di pusat membeli-belah, pelanggan juga boleh dapatkan buah-buahan segar dan berkualiti daripada MBG di lokasi lain seperti hospital dan stesen LRT.
Atas permintaan yang tinggi, jenama ini juga mampu membuka hub sendiri di Selayang untuk memudahkan orang ramai mendapatkan buah-buahan pada harga borong.
Ini juga selari dengan matlamat Adnan untuk membantu ramai usahawan kecil memulakan bisnes menjual buah-buahan segar.
Dengan idea yang segar, sesebuah bisnes sudah tentu dapat menyerlah dalam industri. Seperti MBG, mereka telah memberi suntikan segar kepada konsep jualan buah-buahan yang biasanya didapati di tepi jalan kepada pusat membeli-belah yang lebih selesa dan strategik lokasinya.
Sumber : Vulcan Post
Baca Juga : Kisah Tuuu Dia Pak Tam, Kedai Rojak Bawah Pokok Yang Kini Miliki 9 Cawangan Restoran