Melihatkan kejayaan telekung Siti Khadijah pada hari ini, pasti anda tidak menyangka yang ia telah dibangunkan oleh seorang surirumah.

Pengasasnya, Puan Padzilah Enda Sulaiman sendiri tidak menyangka jenamanya mampu terjual di lebih 40 cawangan di Malaysia serta luar negara termasuk Kanada, Australia, Jepun dan Singapura.

Bagi menawarkan rangkaian telekung dan kelengkapan ibadah yang berkualiti tinggi, Siti Khadijah juga tidak ketinggalan untuk memasarkan produk mereka menerusi platform digital.

siti khadijah

Menerusi program CelcomDigi MY5G Bengkel Digital Usahawan yang berlangsung di Kota Bharu pada 11 September lalu, Siti Khadijah Group telah dipelawa untuk berkongsi impak platform digital terhadap jenama mereka.

Dalam sesi perkongsian tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Siti Khadijah Group, Mohammad Munzir Aminuddin telah menceritakan perjalanan jenama ini dalam mendigitalkan perniagaan.

Pada awalnya, mereka mulakan jualan secara online kerana keadaan yang mendesak pada waktu pandemik. Tanpa disangka, ia telah menjadi batu loncatan kepada jenama ini untuk menjana hasil yang lumayan.

Ingin tahu dengan lebih lanjut? Ayuh kita ikuti perkongsian daripada Siti Khadijah dalam sesi khas mereka menerusi program anjuran CelcomDigi ini.

Siti Khadijah Kongsi Detik Transformasi Digital Waktu Pandemik

Menurut Munzir, pada awal tahun 2020, syarikat mereka ada 350 pekerja di kilang dan butik. Namun, operasi perlu dihentikan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Memasuki bulan Mac tahun itu, stok mereka juga sedang banyak kerana bulan Ramadan dan Syawal hampir tiba dan permintaan biasanya tinggi menjelang dua bulan tersebut.

“Disebabkan keadaan yang memaksa, maka timbullah idea untuk mendigitalkan bisnes. Sebelum itu, kami sudah mula menjual di Marketplace, ada laman web dan platform media sosial sendiri namun tidak diusahakan sepenuhnya memandangkan kedai fizikal menjana hasil yang paling besar buat jenama mereka.

Dengan kata mudah, platform digital kami walaupun sudah wujud, namun sekadar ada sahaja,” jelas Munzir.

Disebabkan pandemik, mereka perlu fikirkan strategi untuk tingkatkan pasaran digital dari 10 peratus ke 100 peratus. Pada awalnya, mereka juga tidak meletakkan harapan yang tinggi pada peralihan ini.

Tambahan pula, badai pandemik yang sangat dahsyat ketika itu telah menggugat kedudukan banyak bisnes sehingga ada yang gulung tikar.

Pemilik bisnes termasuklah Siti Khadijah tidak dapat menjangka masa hadapan perniagaan masing-masing.

Semua Cawangan Mula Menjual di Facebook

siti khadijah

Walaupun kedai perlu ditutup pada tempoh PKP, namun operasi perlu dijalankan demi kelangsungan bisnes.

Jadi apa yang mereka buat adalah meminta semua pekerja untuk ke butik tetapi bukanlah untuk menjual kepada pelanggan seperti biasa.

Sebaliknya, setiap cawangan diminta untuk membuka Facebook Page. Dalam beberapa hari, jenama ini sudah ada 50 Facebook Page Siti Khadijah untuk mewakili setiap cawangan.

Setiap butik seterusnya diwajibkan untuk menjual melalui Facebook Live dan Facebook Ads. Setiap pekerja juga dilatih secara terperinci untuk mengendalikan jualan di platform tersebut.

Menurut Munzir, pada awalnya sesetengah pekerja agak kekok dan rasa sukar untuk belajar sehingga ada yang berhenti kerja. Namun, yang masih punya keinginan untuk belajar akhirnya dapat menjana pendapatan untuk butik dengan sangat baik.

“Alhamdulillah, kami berjaya capai hasil jualan 100 peratus secara online. Pada masa yang sama, hasil jualan produk Siti Khadijah juga dapat menyamai dengan hasil tahun 2019,” kongsi Munzir.

Sambutan Online Festival Siti Khadijah Buat Shopee Terkejut

Melihatkan sambutan jualan atas talian yang memberangsangkan, pihak pengurusan tertinggi juga turun padang ke gudang dan mengadakan Online Festival.

Ini adalah salah satu strategi untuk lariskan stok yang terlalu banyak ketika itu. Untuk merancakkan lagi jualan, Siti Khadijah turut mendapatkan slot di Buletin Utama TV3 supaya lebih ramai tahu tentang program jualan online yang mereka adakan.

Akui harga untuk mendapat liputan daripada stesen TV popular itu agak mahal walaupun durasinya yang singkat, namun pihak Siti Khadijah tidak menyesal kerana sebaik sahaja liputan selesai, pelanggan berpusu-pusu ke laman web mereka sehingga menyebabkan perkhidmatan website mereka tergendala.

Jualan tersebut bukan sahaja telah mendorong trafik yang sangat tinggi ke laman web mereka, malah platform Shopee yang menjual produk Siti Khadijah juga turut mendapat tempiasnya.

Munzir masih ingat lagi perbualan dengan pihak atasan Shopee pada ketika itu yang bertanya “Siti Khadijah ini jenama apa, ya? Sebab buat pertama kali kami lihat jenama tempatan berjaya mengatasi jualan Nestle selama beberapa hari ini.”

siti khadijah

“Selepas pandemik, kami melihat trend jualan butik semakin meningkat. Namun, kami tetap tidak meninggalkan e-commerce sebagai saluran untuk kami menjual,” kongsi Munzir.

Begitulah serba sedikit kisah pendigitalan bisnes Siti Khadijah yang pada awalnya hanya menggunakan saluran tersebut sebagai alternatif pada waktu pandemik. Namun, kini ia mampu memberi pulangan yang setaraf dengan jualan di butik.

Jadi, memang rugi sekiranya pemilik bisnes tidak memanfaatkan potensi platform digital untuk mencapai pelanggan dan melariskan lagi jualan.

Memetik ucapan daripada Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan CelcomDigi, Afizulazha Abdullah, pendigitalan bisnes mampu membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk bersaing dalam pasaran tempatan dan global.

Tambahan pula dengan adanya kemudahan teknologi 5G di Malaysia, perniagaan kini dapat dibina dengan lebih pantas dan kukuh secara atas talian.

Bagi meningkatkan kesedaran dan membantu pemilik bisnes meneroka solusi digital, program CelcomDigi MY5G Bengkel Digital Usahawan akan dilangsungkan di Kota Kinabalu dan Alor Setar pada November dan Disember akan datang.

Baca Juga : Memecah Norma Dunia Bisnes, 5 Jenama Tempatan Ini Rupanya Dibangunkan Oleh Surirumah

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top