Bagi yang sering membeli-belah di pasar raya seperti Lotus’s, AEON Big atau MYDIN, anda pasti perasan yang susun atur barangnya lebih kurang sama.

Kalau anda nak tahu, sebenarnya susun atur ini bukanlah kebetulan. Sebaliknya, ia disusun sebegitu untuk membuatkan pelanggan berbelanja lebih. Ya, walaupun perkara ini nampak kecil, namun ia mampu memberi impak kepada keuntungan sesebuah pasar raya.

Nak tahu beberapa taktik yang pasar raya sering gunakan untuk memancing pembelian pelanggan? Ayuh kita semak satu persatu.

Taktik Pasar Raya

8 Taktik Pasar Raya Yang Mendorong Pelanggan Berbelanja Lebih

1. Meletakkan Makanan Lazat di Pintu Masuk

Biasanya apabila anda masuk ke pasar raya, sudah pasti aroma enak daripada hidangan roti yang dibakar segar atau ayam goreng akan menyapa anda. Sebenarnya ada sebab mengapa pasar raya meletakkan makanan lazat di pintu masuk.

Dari sudut psikologi, bau yang enak ini boleh meningkatkan selera, menaikkan nafsu dan seterusnya mendorong pelanggan untuk berbelanja lebih.

2. Kedudukan Produk Berdasarkan Harga

Mungkin anda sendiri tak perasan yang kebiasaannya produk yang lebih mahal akan diletakkan pada aras mata supaya mudah dilihat pelanggan. Sementara itu, produk yang lebih murah akan diletakkan pada bahagian yang lebih tinggi atau lebih rendah.

3. Kemudahan Troli

Pasti ramai tak tahu yang kemudahan troli sudah diperkenalkan sejak tahun 1938! Ia bukan sahaja bertujuan untuk memudahkan pelanggan membeli barang tanpa perlu mengangkat barangan berat, malah ia juga menggalakkan pelanggan berbelanja lebih.

Sebuah kajian mendapati troli bersaiz lebih besar dapat mendorong pelanggan untuk berbelanja 19 peratus lebih banyak.

4. Meletakkan Barang Keperluan di Bahagian Belakang

Jika pasar raya meletakkan hidangan enak di pintu masuk, barangan keperluan penting seperti sayur dan ayam akan diletakkan di bahagian belakang. Ini juga bukanlah satu perkara yang kebetulan.

Lagipun, jika barangan penting ini diletakkan di bahagian hadapan, pasar raya pasti akan rugi kerana pelanggan akan beli yang perlu sahaja dan akan segera balik.

Dengan meletakkan barangan keperluan di bahagian belakang, pelanggan perlu berjalan dalam pasar raya sambil melihat produk-produk lain. Sambil berjalan, biasanya pelanggan akan membeli barangan yang mereka ternampak.

Taktik Pasar Raya

5. Decoy Effect (Jualan Kombo)

Walaupun pelanggan merasakan jualan kombo dapat membantu mereka berjimat, namun ia sebenarnya dibuat agar pembeli berbelanja lebih dari sepatutnya. Sebagai contoh, sebotol air dijual pada harga RM 6 dan pek kombo dijual pada harga RM 10 untuk dua botol.

Dari sudut psikologi, pelanggan mungkin akan rasa mereka dapat jimat sebanyak RM 2, namun mereka lupa yang taktik ini menyebabkan mereka berbelanja lebih daripada yang diperlukan.

Pada masa yang sama, taktik ini juga dapat membantu peniaga menjual produk dalam kuantiti yang lebih banyak pada satu masa.

Taktik pasar raya ini juga dikenali sebagai Decoy Effect dan sangat popular sehinggakan jenama besar seperti Starbucks dan Apple turut menggunakannya.

6. Meletakkan Gula-Gula dan Snek Berhampiran Kaunter Pembayaran

Rak coklat dan gula-gula berhampiran kaunter boleh menjadi laluan berbahaya buat ibu bapa yang membawa anak kecil membeli-belah. Di sinilah biasanya drama akan berlaku apabila anak-anak meminta snek dan manisan daripada ibu bapa.

Disebabkan kaunter pembayaran adalah destinasi terakhir pelanggan, biasanya mereka akan menghabiskan banyak masa untuk beratur. Jadi, ia adalah lokasi yang tepat untuk pihak pasar raya meletakkan snek kegemaran kanak-kanak.

7. Promosi Produk

Mungkin anda tak tahu yang sesetengah pasar raya membuat promosi mengikut harga biasa. Contohnya, sebotol sos cili harganya RM 8. Pada waktu promosi ia akan diiklankan pada harga RM 9 dengan promosi diskaun sebanyak RM 10%. Jadi, harganya akan menurun kepada RM 8, iaitu harga asalnya.

Pelanggan juga tidak akan berfikir panjang untuk membeli kerana menganggap barangan tersebut berbaloi untuk dibeli ketika waktu promosi. Tambahan pula, kajian menunjukkan secara purata seseorang hanya boleh mengingat 4 hingga 5 harga barang sahaja. Jadi, kemungkinan besar pelanggan tak akan ingat harga produk yang ada di pasaran.

8. Muzik Yang Menenangkan

Biasanya pasar raya juga akan memasang muzik yang tenang. Ini juga boleh memberi kesan kepada mood seseorang. Bunyi muzik yang menenangkan boleh membuatkan pelanggan rasa lebih santai. Jadi mereka tak akan luangkan lebih masa dalam pasar raya dan tidak tergesa-gesa untuk membeli. Hasilnya, mereka akan berbelanja lebih!

Taktik Pasar Raya

Begitulah antara taktik pasar raya sering gunakan untuk pancing pelanggan berbelanja dengan lebih banyak.

Dari sekecil susunan barang mengikut ketinggian di rak sehinggalah jualan promosi, semuanya dirangka untuk meningkatkan kadar pembelian dari pelanggan.

Sebagai pengguna, anda perlulah berhati-hati dan berfikir secara masak-masak terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk membeli produk di pasar raya terutamanya yang mahal.

Sumber : illuminasi.com

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top