Baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan penamatan subsidi ayam berkuatkuasa 1 November 2023.Perkara ini telah diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
“Penamatan subsidi ayam adalah selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa yang dilaksanakan kerajaan.
Rasional bagi penamatan subsidi ayam secara pukal ini adalah bagi mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi dan warga asing,” katanya dalam satu sidang media.
Di samping itu, penamatan subsidi ini dilaksanakan selepas mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam telah mula stabil. Ini seterusnya menyumbang kepada harga pasaran semasa kini di bawah harga siling.
Lebih penting lagi, penamatan harga kawalan ayam ini juga dilihat bakal menyokong kemampanan industri pengeluaran ayam tempatan.
Mohamad Sabu berkata kerajaan telah mengeluarkan subsidi keseluruhan bernilai RM 3.8 bilion bagi menampun kos ayam dan telur sejak Februari 2022.
Dalam pada itu, kerajaan akan memastikan harga jualan bagi ayam yang akan diapungkan itu terus berada pada kadar berpatutan.
Meskipun begitu, kerajaan akan tetap meneruskan pemberian subsidi bagi telur ayam gred A, B dan C mengikut mekanisme sedia ada.
“Kalau ditarik subsidi itu..harga telur dijangka akan naik lebih kurang 10 sen, maka akan berlaku (kenaikan sebab) bila beli telur bukan sebiji, tetapi sepapan dan lebih kurang RM3 (kenaikan jika sepapan),” katanya.
Kerajaan Akan Giat Buat Pemantauan Selepas Hapus Subsidi Ayam
Mohamad berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi memastikan tiada aktiviti pengambilan untung secara berlebihan dan manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab di peringkat runcit.
Beliau berkata kerajaan juga akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan status bekalan dan harga ayam di ladang berada dalam keadaan stabil dan tidak membebankan rakyat serta tidak berlaku sebarang aktiviti pencatutan di sepanjang rantaian bekalan.
“Kerajaan juga akan terus fokus untuk memperkasa industri penternakan ayam menerusi bantuan insentif dari segi pembiayaan dana pusingan kepada penternak bersaiz kecil dan sederhana dan skim mikro kredit sebagai bantuan modal pusingan kepada penternak komuniti serta program transformasi reban ayam terbuka kepada reban ayam tertutup.
“Langkah ini akan memberi peningkatan dari segi akses bekalan secara terus daripada penternak komuniti kepada pemborong di pasaran,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2024 telah mengumumkan rancangan kerajaan untuk mengapungkan harga telur dan ayam setelah mendapati trend semasa menunjukkan bekalan bagi kedua-dua sumber makanan itu kini pada tahap yang stabil.
Beliau turut menyatakan pelaksanaan tersebut bakal memberi ruang kepada pasaran tempatan agar dapat berfungsi semula dengan bebas dalam memastikan keterjaminan bekalan ayam dan telur di pasaran.
Sumber : Astro Awani, Utusan Malaysia
Baca Juga : KPDN Dedah 60% Paket Minyak Masak Digunakan Oleh Peniaga Yang Tidak Layak