kod QR

Bagi yang selalu merantau ke Singapura, anda pasti sudah terbiasa membawa wang tunai SG Dollar (SGD) atau memohon transaksi antarabangsa daripada bank tempatan.

Kelaziman ini boleh menyukarkan urusan pembayaran dan menjejaskan pengalaman melancong ke negara tersebut.

Namun, anda tak perlu risau lagi. Kini, Bank Negara telah mengesahkan bahawa pembayaran rentas sempadan melalui kod QR iaitu DuitNow QR dengan Singapura (NETS QR) telah dilancarkan dan dapat dilaksanakan dengan mudah dan pantas.

Kod QR

Rakyat Malaysia yang melancong ke Singapura kini boleh membuat pembayaran segera dengan imbasan QR NETS Singapura yang dipaparkan di kedai-kedai yang tersedia, malah rakyat Singapura yang berada di Malaysia juga yang dapat memanfaatkan transaksi ini mengimbas kod QR dengan DuitNow.

Teknologi kod QR ini mampu melancarkan urusan pembayaran rentas sempadan dengan cekap dan pantas serta memberi kemudahan kepada pengembara yang kerap melancong ke Singapura dan Malaysia.

Dengan adanya kemudahan ini, pembayaran menjadi lebih mudah, senang dan selamat.

Menurut laman web Maybank, sekiranya anda melancong ke Singapura, anda boleh membuat transaksi dengan mudah menggunakan aplikasi MAE dengan mengimbas kod NETS QR. Selepas imbasan dilakukan, masukkan jumlah SGD yang perlu dibayar. Semak jumlah yang anda belanjakan dalam nilai SGD dan MYR dan sahkan pembayaran untuk lengkapkan transaksi.

Sekiranya perbelanjaan anda melebihi RM250 (anggaran SGD75.30), anda mungkin dikehendaki untuk sahkan transaksi terlebih dahulu. Akhir sekali, resit pengesahan pembayaran akan diberikan sebagai bukti bahawa transaksi telah berjaya dijalankan.

Untuk makluman, terdapat beberapa terma dan syarat yang telah diwujudkan oleh Maybank bagi transaksi DuitNow QR antarabangsa.

Pertama, had transaksi harian untuk transaksi DuitNow QR antarabangsa ialah RM1,000 atau setara dengan RM1,000 dalam mata wang asing, iaitu SGD301.18 buat masa ini. Walau bagaimanapun, anda boleh mengubah had harian kepada jumlah yang lebih rendah jika perlu.

Seterusnya, hanya Bank DBS dan UOB sahaja yang menyediakan DuitNow QR antarabangsa melalui SG QR di Singapura buat masa ini.

Berkenaan dengan pembayaran melalui kod QR ini, anda hanya boleh menggunakan akaun simpanan atau semasa sebagai sumber dana.

Aplikasi MAE anda juga perlu dikemaskini pada versi 9.4 atau ke atas untuk menikmati kemudahan ini. Pastikan juga anda mempunyai dana mencukupi dalam akaun untuk menikmati pengalaman pembayaran yang lancar dan pantas.

Laman web UOB Singapura turut menyediakan panduan yang sama bagi para pengguna tentang cara menggunakan aplikasi UOB untuk pembayaran melalui imbasan kod QR DuitNow semasa berada di Malaysia.

Untuk pengetahuan anda, Malaysia terlebih dahulu telah melaksanakan sistem pembayaran kod QR rentas sempadan bersama dengan dua negara lain iaitu Thailand dan Indonesia.

Kerjasama antara Bank Negara Malaysia dan Payment Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) telah mewujudkan inisiatif yang dikenali sebagai Projek Nexus yang bertujuan untuk menyambungkan sistem pembayaran kod QR di pelbagai negara di rantau Asia Tenggara.

Memetik Laporan Tahunan 2022, Bank Negara Malaysia mencatatkan bahawa hubungan pembayaran rentas sempadan telahpun diwujudkan dengan Singapura, Indonesia, dan Thailand.

Namun, sistem pembayaran kod QR rentas sempadan hanya tersedia untuk transaksi di Singapura sahaja buat masa ini.

Laporan Tahunan 2022 turut menyebut bahawa pembayaran dua hala ini juga bakal diwujudkan di Filipina pada masa akan datang.

Ini bakal memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia yang melancong ke negara-negara tersebut untuk membuat pembayaran secara online kepada perniagaan yang menggunakan kod QR dan sebaliknya.

Sumber: soyacincau.com

Baca juga: 7 Jenama Terkenal Yang Menggunakan Pemasaran SMS

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top