Sejak dilanda pandemik Covid-19, ramai usahawan kecil menghadapi kerumitan dalam mencapai pendapatan yang cukup. Banyak di antara mereka terpaksa mengambil keputusan untuk menutup perniagaan mereka kerana tidak dapat lagi menanggung kos yang diperlukan.

Keadaan ini menjadi satu cabaran besar bagi usahawan-usahawan kecil yang berusaha keras untuk bertahan dalam keadaan yang tidak menentu ini.

Bagi membantu usahawan kecil, kerajaan telah menyediakan satu program Inisiatif Pendapatan Rakyat bagi mereka yang memerlukan pendapatan yang lebih.

Mesin Layan Diri

Mesin Layan Diri Disediakan Bagi Membantu Pendapatan

Insiatif Pendapatan Rakyat (IPR) telah melancarkan satu inisiatif iaitu program mesin layan diri untuk  membantu golongan B40 dan usahawan kecil bagi meningkatkan pendapatan mereka. Mesin layan diri ini memberi peluang kepada usahawan untuk menawarkan jualan makanan dengan harga yang berpatutan serendah RM2.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan 100 buah mesin layan diri akan ditempatkan di beberapa lokasi yang mendapat permintaan tinggi seperti stesen transit aliran ringan (LRT) di kawasan Lembah Klang.

Rafizi Ramli turut memaklumkan bahawa pihak kementerian juga ada sasarkan 50 peratus mesin layan diri itu ditempatkan di beberapa universiti awam dan negeri lain seperti Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Sabah.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi itu telah melancarkan mesin layan diri (IPR) pertama yang ditempatkan di Fakulti Sains dan Kesihatan, UiTM Kampus Puncak Alam, Selangor. Beliau juga menjelaskan bahawa selain meningkatkan pendapatan golongan sasaran, mesin layan diri tersebut juga mendorong persaingan harga yang lebih baik di kalangan peniaga.

Beliau juga menekankan bahawa pihak mereka akan memantau penjualan dan prestasi pelanggan secara berterusan di setiap lokasi untuk memastikan peserta yang terlibat dalam program dapat menikmati keuntungan yang memuaskan.

Menerusi Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah komponen Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN), peserta program akan diberikan mesin layan diri di lokasi yang terpilih serta menerima bayaran sewaan bulanan secara langsung kepada penyedia mesin layan diri. Jumlah bayaran tersebut berbeza-beza antara RM600 hingga RM800 bergantung kepada jenis mesin yang diberikan.

Inisiatif Membantu Seorang Usahawan Menjana Keuntungan

Salah seorang peserta yang merupakan pekerja swasta, Amiruddin Ahmad Abdul Jalil, 28 mampu menjana keuntungan lebih RM2,000 dalam sebulan dengan hanya menjual makanan seperti nasi, mi, sandwich dan kuih pada harga antara RM2 hingga RM5.

Menurut Amiruddin, mesin layan diri yang dia usahakan di KL Sentral itu biasanya mampu mengumpul hasil yang agak lumayan iaitu sebanyak RM 2,5000 sebulan. Pada sesetengah bulan, dia juga mampu meraih hasil jualan di luar jangkaan iaitu antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan.

Bukan itu sahaja, malah Amiruddin juga terharu dengan sokongan yang diberikan oleh kerajaan terhadap peserta program ini. Antara manfaat yang dinikmati oleh peserta program keusahawanan ini adalah pengecualian bayaran sewa selama dua tahun dan tanggungan kos elektrik oleh pemilik tapak atau rakan strategik.

Sebagai peserta usahawan mesin layan diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), dia berasa lega kerana inisiatif ini membantunya menambah pendapatan sampingan secara berkesan memandangkan kos sara hidup ketika ini tinggi.

Dalam masa yang sama, ia juga membuatkan Amiruddin berani untuk menyertai program tanpa memerlukannya untuk mengabaikan kerja sepenuh masa di bandar.

Mesin Layan Diri (IPR)

Inisiatif itu salah satu platform yang bagus dan bermanfaat untuk golongan yang berpendapatan rendah (B40) untuk meningkatkan taraf hidup yang lebih baik. Malah, ia juga memberi pilihan kepada orang ramai untuk membeli makanan sedia dimakan pada harga yang berpatutan.

Inisiatif perniagaan ini juga bukan sahaja memberi keuntungan kepada peserta, malah kerajaan dapat mendidik para usahawan itu untuk menganalisis sendiri aktiviti pelanggan dan membuat jangkaan keperluan mereka dalam menambah atau mengurangkan produk jualan. Ini secara tidak langsung membolehkan usahawan mempelajari selok belok perniagaan secara lebih mendalam.

Dengan melaksanakan inisiatif ini, diharapkan golongan B40 dan usahawan kecil dapat mengurangkan beban kos sara hidup mereka yang berat dan pada masa yang sama, meraih keuntungan yang lebih baik melalui perniagaan mereka.

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top