Guru merupakan kerjaya yang mulia. Tanpa mereka, generasi baharu takkan mampu diasah dengan adab serta ilmu untuk menempuh kehidupan. Namun, tuah dalam bidang perniagaan tidak mengenal sesiapa.

Ditambah pula dengan minat yang mendalam, ada juga para guru yang bertukar kerjaya sebagai usahawan untuk tumpukan perhatian sepenuhnya pada bisnes.

Dalam senarai yang bakal kami kongsikan ini, mungkin anda sendiri tidak menyangka ada usahawan popular yang berpengalaman mengajar di sekolah. Jadi, ayuh kita lihat lima jenama terkenal yang dibangunkan oleh bekas guru.

5 Jenama Terkenal Yang Dibangunkan Oleh Bekas Guru

1. Ariani

Jenama tudung serta pakaian muslimah yang popular di Malaysia ini diasaskan oleh Datin Farah Haryani Muhammad Philip, seorang bekas guru yang berpengalaman mengajar subjek Bahasa Inggeris.

Meskipun cintakan kerjaya sebagai guru, namun Datin Farah akui sukar untuk bertemu dengan suami akibat komitmen kerja. Oleh sebab itu, beliau nekad untuk berhenti selepas berkhidmat selama 5 tahun di sekolah untuk fokus pada keluarga.

Apabila memulai kehidupan sebagai surirumah, muncul pula idea untuk mulakan bisnes demi membantu perniagaan suami, Datuk Muhamad Faroz Mohamed Jakel.

Tambahan pula, Datin Farah akui beliau sudah biasa bekerja dan tidak boleh duduk diam di rumah.

Kini, Ariani terkenal sebagai jenama pakaian dan tudung muslimah ekslusif pilihan ramai wanita.

Menampilkan wajah-wajah popular sebagai duta seperti Lisa Surihani, Uyaina Arshad dan Bella Dally, Ariani kini semakin mendapat sambutan ramai dan mempunyai hampir 30 buah cawangan di serata Malaysia.

2. Pamoga

Siapa tak kenal dengan Dato Seri Vida? Produk Pamoganya pernah menjadi tular di kalangan rakyat Malaysia sehingga ratusan ribu botol terjual di pasaran. Selain itu, produk lain seperti QuPuteh, Milenia dan wangian QuPuteh turut mendapat permintaan yang tinggi.

 

Terkenal dengan penampilannya yang sedondon dan lengkap dengan mahkota dan aksesori mewah, pasti ramai yang tak sangka Dato Seri Vida pernah mengajar di sekolah Cina selama 12 tahun sebelum bergelar jutawan.

Sebelum bergelar jutawan, pengusaha produk kecantikan dan supplemen kesihatan yang berasal dari Machang, Kelantan ini juga pernah bekerja di kilang, restoran makanan segera dan kedai pokok bonsai.

Kini, beliau bukan sahaja terkenal sebagai pengasas produk Vida Beauty, malah beliau turut aktif dalam bidang nyanyian dan lakonan. Wanita berusia 52 tahun dengan penampilan bergaya ini juga pernah menaja beberapa program hiburan televisyen popular.

 

 

 

3. Hasnuri

Diasaskan oleh Hasbullah Awang iaitu seorang bekas guru serta isterinya, Nuriah Zakaria, Hasnuri merupakan jenama pakaian Muslimah yang tidak asing lagi.

Menawarkan baju kurung yang ekslusif dengan harga mampu milik, Hasnuri berjaya mencatatkan jualan sebanyak puluhan juta ringgit sejak mula beroperasi pada tahun 2014.

Akui fasa awal permulaan bisnes bukanlah mudah, Nuriah pada mulanya membuat bisnes sambil menjaga anak-anak di butik kecil dan bergantung kepada hasil jualan yang tidak seberapa.

Namun pada tahun berikutnya, perniagaan mereka semakin serius sehingga memerlukan Hasbullah untuk berhenti bekerja sebagai seorang guru. Ketika itu, Hasnuri sedang giat menyertai ekspo keusahawanan besar termasuk di Singapura dan Brunei.

Meskipun pernah diduga dengan bermacam-macam cabaran untuk kembangkan bisnes, jenama Hasnuri kian kukuh setelah menyertai program usahawan anjuran Datuk Wira Azizan Osman.

Berkat usaha serta ketekunan suami isteri ini, jenama Hasnuri semakin mendapat perhatian ramai. Pada tahun 2020, hasil jualan pakaian muslimah mereka telah mencecah sebanyak RM 40 juta!

bekas guru

Bukan itu sahaja, malah Hasnuri turut memberi peluang kepada orang ramai yang ingin menjana pendapatan sampingan menerusi jualan pakaian Hasnuri sehingga ada yang berjaya mencapai hasil jualan sehingga 6 angka sebulan!

4. Suri Lokcing

Berpengalaman selama 20 tahun sebagai guru sains, Puan Suzilawati Hamzah mengambil langkah berani untuk membuka bisnes sate ikan atau lokcing pada tahun 2015. Tambahan pula, sudah menjadi impian beliau untuk berhenti bekerja sebelum usia pencen dan mahu berniaga sendiri.

bekas guru

Idea untuk membina jenama Suri Lokcing pada tahun 2015 tercetus kerana Puan Suzilawati sendiri gemar membeli sate ikan setiap kali ketika mengambil anak dari sekolah. Namun, beliau dapati makanan tersebut sukar untuk dijumpai di tempat lain.

Menyedari kurangnya pengalaman dalam bidang perniagaan, beliau telah menyertai banyak kelas anjuran agensi kerajaan seperti FAMA, MARDI, MARA, LKIM untuk mantapkan lagi kualiti produk. Selain itu, Puan Suzilawati juga banyak menimba ilmu bisnes serta pemasaran dengan Datuk Wira Azizan Osman.

Bergelar jutawan selepas 5 tahun berbisnes, jenama Lokcing Suri kini menjadi pilihan ramai sambil menawarkan produk lain seperti aiskrim dan keropok lekor.

5. Froogurtz

Pasti anda tidak sangka pemilik jenama frozen yogurt nombor satu di Kelantan ini rupanya seorang bekas guru vokal!

Terpaksa berhenti sebagai guru akibat pandemik Covid-19, tuah nampaknya menyebelahi Mohamad Hafizuddin Che Soh apabila bisnes frozen yogurtnya mencecah keuntungan sehingga RM 100,000 sebulan!

Beliau yang pernah berkhidmat di salah satu sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur ini cukup terharu dengan sambutan hangat yang diterima daripada orang ramai sehinggakan ada yang sanggup datang dari jauh untuk mencuba yogurt beku yang dihasilkan menggunakan resepinya sendiri.

bekas guru

Froogurtz yang beroperasi sejak tahun 2020 kini bukan sahaja boleh didapati di Pantai Timur, malah telah membuka cawangan di beberapa negeri lain seperti Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

bekas guru

Para usahawan yang pernah berkhidmat sebagai guru ini membuktikan bahawa dunia perniagaan boleh menjadi titik perubahan kepada karier seseorang. Kewibawaan sebagai seorang guru juga telah sedikit sebanyak menjadi asas untuk mereka menceburi bidang perniagaan secara lebih profesional.

Dengan minat yang mendalam serta kesungguhan untuk membangunkan jenama sendiri, bisnes mereka semakin berkembang saban tahun dan kini dikenali ramai.

Daripada menjadi seorang pengajar, ada yang kini bergelar jutawan dan mampu menggajikan puluhan staf serta membuka banyak cawangan di serata Malaysia. Kisah daripada 5 bekas guru ini boleh dijadikan inspirasi kepada semua agar tidak gentar untuk membuat perubahan demi menggapai cita-cita.

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top