Para usahawan masa kini perlu melengkapkan diri dengan ilmu pendigitalan perniagaan untuk terus bersaing dalam bisnes. Pada era ini, usahawan wanita juga tidak terkecuali untuk melibatkan diri dalam industri perniagaan kecil dan sederhana (PKS). Meskipun berskala sederhana, namun ia mampu memberikan impak yang besar dalam merancakkan ekonomi negara.
Justeru, bagi membantu para wanita yang bergelar usahawan untuk transformasikan bisnes ke platform digital, 14 pelatih yang terdiri daripada pakar industri serta ahli akademik telah dipilih oleh APWINC-Ideas Malaysia untuk menyertai program latihan Training of Trainers on Digital Skills And E-Business.
Berlangsung di Grand Ballroom Hanra Hall, Seoul Dragon City, Seoul, Korea Selatan, matlamat bagi program ini adalah untuk melatih pakar dalam industri untuk menyalurkan ilmu mengenai e-niaga dan pendigitalan perniagaan kepada usahawan wanita tempatan.
Program anjuran Asia Pacific Women’s Information Network Centre (APWINC) dan Sookmyung Women’s University ini berlangsung selama 6 hari iaitu daripada 4 Julai hingga 11 Julai 2023.
Acara yang turut dianjurkan Asean Korean Cooporative Fund ini diterajui oleh DESB Training sebagai institusi perlaksanaan yang bekerjasama dengan Universiti Malaysia Kelantan di bawah kelolaan Puan Aspiyati Jusoh sebagai ketua perunding.
Pasukan delegasi dari Malaysia yang diketuai oleh Profesor Dr Nik Maheran ini telah berlepas ke Korea Selatan pada 2 Julai 2023.
Hari pertama program ini dimulakan dengan perkongsian matlamat serta aktiviti teras yang akan melibatkan semua peserta. Para peserta yang terdiri daripada lebih 200 usahawan dan akademik dari 10 negara ASEAN juga diberikan pencerahan mengenai hala tuju program ini yang bakal memperkasakan kapasiti e-niaga dalam kalangan usahawan wanita ASEAN serta menguatkan hubungan perdagangan serantau antara ASEAN dan Korea Selatan.
Pada hari berikutnya, wakil peserta dari Malaysia diberi peluang untuk berkongsi model bisnes untuk transformasikan perniagaan IKS tempatan menggunakan platform atas talian. Bagi pasukan Malaysia, pembentangan bagi model bisnes ini diwakili oleh Dr Noorshella dan Dr Wan Marhaini.
Dalam program Training of Trainers, Dr Hasyiya dan Puan Farah pula berpeluang untuk kongsikan laman UNIK19 Cybermall serta perkembangan semasa platform ini kepada semua hadirin.
Selain dunia e-commerce, para peserta juga diberikan pendedahan mengenai penggunaan Canva bagi tujuan pemasaran. Dr Afiqah dan Dr Raihani telah mewakili pasukan dari Malaysia untuk membentangkan penggunaan platform tersebut untuk hasilkan poster dan kandungan media sosial.
Menerusi program Training of Trainers, Web Impian Sdn Bhd juga berkesempatan untuk berkongsikan produk pemasaran SMS mereka iaitu SMS Niaga.
Sebelum berganjak ke hari terakhir program, para peserta diberi peluang untuk melawat sekitar Sookmyung Women’s University iaitu universiti wanita swasta pertama yang berada di bawah naungan diraja dan telah bertapak sejak tahun 1906 di Korea Selatan.
Pada hari terakhir program, pasukan Malaysia telah diwakili oleh Dr Syamsuriana untuk promosikan platform UNIK19 sebagai platform bagi memperkenalkan produk IKS yang dibangunkan oleh usahawan wanita tempatan.
Bagi menutup program, semua peserta dianugerahkan dengan sijil penyertaan sebagai tanda penglibatan mereka sepanjang acara Training of Trainers. Para peserta juga diraikan dengan majlis makan malam atau Farewell Dinner pada hari terakhir program.
Perancangan Selepas Program Training of Trainers
Tidak hanya terpilih untuk menghadiri program latihan di Korea Selatan, malah para peserta yang mewakili Malaysia bakal memberikan komitmen untuk melatih para usahawan wanita terutamanya di Kelantan dalam jangka masa lima tahun.
Sekembalinya para pelatih dari program Training of Trainers, mereka akan bertemu semula pada bulan Ogos bagi mengadakan pembentangan untuk menyusun semula modul dan memperkemas rancangan bagi menarik usahawan wanita menyertai program latihan ini.
Untuk makluman, para pelatih akan membimbing seramai 242 usahawan wanita tempatan dalam bidang pendigitalan perniagaan serta kemahiran e-niaga. Berdasarkan perancangan, 20 orang usahawan wanita terbaik daripada keseluruhan peserta program ini akan dipilih untuk mewakili Malaysia bagi melanjutkan latihan di Korea Selatan pada tahun 2024.
Diharap supaya program Training of Trainers dapat menjadi pemangkin kepada pemerkasaan bisnes PKS yang diterajui oleh usahawan wanita. Sama-sama kita nantikan perkembangan daripada projek ini pada masa akan datang.