Toshiba merupakan satu jenama yang cukup besar dalam industri teknologi Jepun.

Ia juga merupakan salah satu syarikat yang berjasa dalam menyelamatkan ekonomi negara Jepun pasca Perang Dunia ke-2.

Sudah memasuki 148 tahun dalam pasaran, jenama tersebut dikhabarkan bakal jatuh akibat skandal kewangan dan penyelewengan keuntungan.

Jenama perkakas elektronik yang dahulunya terkenal ini telah dikeluarkan daripada senarai Bursa Saham Tokyo secara rasmi pada 20 Disember 2023.

Ini sekaligus menandakan pengakhiran bagi perjalanan syarikat tersebut selama 74 tahun dalam pasaran saham Jepun.

Skandal Kewangan Toshiba 2015

Antara pencetus awal kepada kejatuhan empayar Toshiba adalah skandal kewangan yang didedahkan kepada umum pada tahun 2015.

Bukti menunjukkan bahawa mereka telah memanipulasi laporan keuntungan dengan nilai jutaan dolar.

Orang ramai mula hilang kepercayaan terhadap syarikat tersebut apabila media mendedahkan penyelewengan keuntungan dan krisis kewangan sebanyak US$1.59 bilion dalam tempoh tujuh tahun.

Tidak selepas itu, ketua pegawai operasi serta beberapa pegawai atasan Toshiba dilaporkan telah mengundurkan diri.

 

Pihak pengurusan telah melakukan beberapa usaha untuk menyelesaikan percanggahan ini, namun ia masih tidak dapat memulihkan keyakinan para pelabur.

Sebuah skandal lagi tersebar pada tahun 2020 apabila keputusan strategik dan tadbir urus syarikat dipertikaikan.

Siasatan yang dijalankan mendakwa bahawa Toshiba telah bersekongkol dengan Kementerian Perdagangan Jepun dan mengeksploitasi syarikat tersebut sebagai aset strategik bagi kepentingan negara.

Ini mengakibatkan ketegangan dengan pelabur asing.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila tercetusnya konflik antara Toshiba dan sebuah syarikat iaitu Westinghouse Electric.

Toshiba ditinggalkan dengan beban kewangan yang tidak tertanggung apabila terkuburnya perjanjian pembelian loji tenaga nuklear dengan Westinghouse Electric terkubur apabila syarikat dari Amerika Syarikat itu memfailkan muflis.

Bagi menjamin kelangsungan syarikat, Toshiba terpaksa menjual beberapa baris perniagaannya termasuk sistem media, telefon mudah alih serta unit cip memori.

Namun, usaha ini masih tidak mencukupi untuk menyelamatkan syarikat daripada muflis.

Pada tahun 2017, Toshiba berjaya membawa masuk modal sebanyak US$5.4 bilion daripada pelabur asing, namun konflik dalaman yang berterusan telah merencat kemajuan jenama tersebut.

Pada Jun 2022, Toshiba telah bersetuju untuk diambil alih oleh Japan Industrial Partners (JIP), iaitu sebuah konglomerat ekuiti persendirian Jepun.

JIP kini memegang sebahagian besar saham syarikat dengan harga pemerolehan sebanyak US$14 bilion.

Meskipun tindakan ini mendapat sokongan kerajaan tempatan, namun masa depan syarikat didapati masih tidak terjamin.

Masa depan Toshiba kini bergantung kepada usaha pemulihan JIP dalam mengembalikan reputasi syarikat tersebut.

Kes Toshiba ini menjadi pengajaran buat kita bahawa bisnes besar dengan pengalaman lebih 100 tahun sekalipun tidak dijamin ‘kebal’ dalam industri.

Sebaliknya, integriti serta reputasi syarikat perlu dijaga demi mengekalkan kepercayaan pelabur serta pelanggan.

Sumber : Reuters, BBC, aksoro.id

Baca Juga : Terpalit Skandal Ujian Keselamatan, Daihatsu Gantung Operasi Buat Sementara

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top