Tiga wanita rakyat Malaysia berjaya memasuki senarai Forbes 50 Over 50 : Asia 2024. Senarai yang menampilkan 50 wanita yang cemerlang di seluruh Asia Pasifik dalam pelbagai bidang membuktikan bahawa usia selepas 50 adalah era keemasan baharu.

Tiga wanita tempatan yang tersenarai adalah pengarah eksekutif Sekreteriat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria, peguam Ambiga Sreevenasan serta pengarah filem serta pengasas bagi Current Pictures Tunku Mona Riza Tunku Khalid.

Memetik Forbes, wanita yang tersenarai berasal daripada 14 buah negara serta wilayah dan membabitkan puluhan sektor pekerjaan termasuk dalam bidang fesyen, kewangan, farmasi dan sebagainya.

Sta Maria yang berumur 65 tahun telah dilantik sebagai pengarah eksekutif Sekreteriat APEC pada 2019 dan sekaligus menjadi wanita pertama yang mengetuai badan penasihat ekonomi antara kerajaan dengan 21 anggota itu.

Forbes 50 over 50

Beliau juga pernah menggalas jawatan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha, Setiausaha Agung dan Perunding Perdagangan Utama bagi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Sebelum ini, beliau juga pernah mewakili rantau ini di Forum Ekonomi Dunia serta menjadi pengarah bukan eksekutif bagi RHB Bank.

Sementara itu, Sreenevasan, 67 merupakan peguam terkemuka Malaysia dan peguam bela hak asasi manusia yang pernah menerima Pingat Ruth Bader Ginsburg serta Anugerah Gandhi Memorial Trust Public Service.

Forbes 50 over 50

Beliau yang memegang kelulusan ijazah undang-undang dari Universiti Exeter, United Kingdom, kini berkhidmat sebagai Presiden di Pure Life Society, iaitu sebuah rumah kebajikan bagi anak yatim serta golongan kurang berkemampuan.

Satu-satunya wanita Melayu dalam senarai, Tunku Mona Riza, 57 pula pernah memenangi anugerah Most Promising Director di Festival Filem Malaysia 2017 menerusi karyanya ‘Redha’.

Diambil daripada kisah benar, filem tersebut menggambarkan cabaran membesarkan kanak-kanak autisme serta tercalon untuk Filem Bahasa Asing Terbaik di Anugerah Akademi ke-89.

Forbes 50 over 50

Filem yang diterbitkan pada tahun lalu iaitu ‘Rain Town’ merupakan filem berbahasa Cina pertama Malaysia yang diarahkan oleh pengarah wanita Melayu.

Turut tersenarai dalam Forbes 50 Over 50 : Asia 2024 adalah penyanyi terkenal dari Australia, Kylie Minogue, aktivitis alam sekitar India yang berusia 112 tahun, Saalumarada Thimmaka serta pelakon Indonesia, Christine Hakim.

Sumber : Forbes

Baca Juga : Dari Pemilik Syarikat Minyak ke Perintis Coklat, Ini 25 Keluarga Terkaya di Dunia 2023

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top