Pertumbuhan syarikat startup atau syarikat permulaan mampu memberikan impak positif terhadap perkembangan ekonomi negara.

Oleh itu, banyak badan kerajaan di seluruh dunia menggalakkan lebih ramai lagi rakyatnya terlibat dalam bisnes dengan memberi insentif serta menyokong syarikat startup.

Berdasarkan pengumuman terbaharu dari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau menyasarkan negara untuk mewujudkan kira-kira 5,000 syarikat startup menjelang tahun 2025.

Bagi merealisasikan sasaran untuk meningkatkan keterlibatan startup tempatan dan memperkukuh ekosistem, pelbagai inisiatif akan diperkenalkan pada waktu terdekat.

Tidak hanya itu, malah Malaysia turut menyasarkan untuk berada dalam kalangan 20 negara utama ekosistem syarikat startup global menjelang tahun 2023. Pada masa yang sama, ibu negara Kuala Lumpur pula akan dibangunkan sebagai hab syarikat startup dan digital serantau.

Perdana menteri berkata demikian dalam satu kenyataan sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang pertama bagi tahun 2023.

startup

Ulas perdana menteri, setakat ini terdapat sekurang-kurangnya 14 buah agensi yang terlibat dalam ekosistem syarikat startup merangkumi aspek pembiayaan, pembangunan produk, pemasaran dan kepakaran.

Untuk makluman, sasaran ini adalah kesinambungan daripada perancangan MOSTI dibawah pelan ‘Malaysia Startup Ecosystem Roadmap 2021-2030’ yang menyasarkan untuk mencipta lebih 5000 syarikat pemula, selain 5 syarikat gergasi bertaraf unicorn.

MED4IRN dianggotai barisan Menteri selaku Pengerusi Kluster dan inisiatif ekonomi digital serta ahli lantikan yang terdiri dari wakil sektor swasta, industri, akademia, kumpulan pemikir dan pertubuhan masyarakat sivil yang telah dipilih melalui permohonan terbuka.

Majlis itu akan berperanan dalam mempercepat pelaksanaan inisiatif terkait agenda transformasi digital negara.

Kata perdana menteri, kerajaan juga akan melaksanakan inisiatif ‘single window’ untuk menyelaras dan menyusun semula fungsi, terutamanya berkaitan kerjasama merentasi agensi dan penggiat dalam ekosistem syarikat pemula sebagai panduan dalam penggubalan dasar dan membuat keputusan.

Dalam mesyuarat tersebut, majlis turut bersetuju untuk mempercepatkan pelaksanaan Projek Pembangunan Identiti Digital Nasional (IDN) di bawah Jabatan Pendaftaran Negara.

IDN adalah suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri secara digital dengan merujuk kepada sumber tunggal yang sahih berdasarkan ciri-ciri biometrik individu.

Ini membuktikan komitmen kerajaan dalam mempertingkatkan program pendigitalan sektor awam bagi memastikan kemajuan digital yang mapan.

Sumber : FMT

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top