Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya juga menyumbang kepada pelepasan gas karbon ke atmosfera dengan hampir 90 peratus yang menyebabkan pencemaran alam dan mengganggu kualiti kehidupan.
Dalam pada itu, syarikat pengangkutan Swift mengumumkan kedatangan Volvo Trucks, lori elektrik yang pertama di Malaysia. Dalam usaha menerajui revolusi kelestarian dan masa depan yang lebih hijau, trak ini menjanjikan perjalanan yang berkesan tanpa meninggalkan kesan negatif ke atas alam sekitar.
Syarikat Swift Haulage Berhad merupakan penyedia logistik terpantas di Malaysia, yang telah konsisten disenaraikan sebagai peneraju dalam pengangkutan di pelabuhan utama Semenanjung Malaysia dalam hal volume unit bersamaan dua puluh kaki (TEU).
Syarikat ini menawarkan penyelesaian lengkap dalam bidang logistik, termasuk pengangkutan kontena, pengangkutan darat, pergudangan dan depoh kontena, serta perkhidmatan penghantaran barang. Swift Haulage juga diberi kehormatan sebagai pemegang lesen Pengendali Pengangkutan Multimodal (MTO) dan disahkan oleh PETRONAS.
Pengangkutan Mesra Alam & Jimat Tenaga
Volvo Trucks menyatakan bahawa trak elektrik mereka mempunyai pelepasan karbon yang rendah, setaraf dengan 47 unit kenderaan penumpang biasa. Bagaimanapun, bagi meningkatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV), kerjasama pelbagai pihak diperlukan untuk membina ekosistem bagi kenderaan sebegini.
Menurut Tengku Zafrul, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri , kerajaan mengakui rendahnya penggunaan kenderaan elektrik (EV) komersial seperti lori dan bas di Malaysia. Namun, beliau tetap memberi pujian kepada Volvo Trucks atas komitmen dan pelaburan mereka untuk menjadikan industri logistik tempatan lebih berdaya saing dan menyokong agenda sifar karbon dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2023).
Melalui perkongsian teknologi oleh Volvo Trucks, pengetahuan tentang EV komersial di Malaysia dijangka akan terus berkembang, membuka peluang untuk pertumbuhan industri EV di pasaran EV ASEAN yang bernilai RM2.7 bilion hingga 2027. Ini akan meningkatkan rantaian bekalan EV industri kecil dan sederhana dalam negara serta mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swift Haulage Berhad, Loo Yong Hui juga berkata, kemampanan sentiasa menjadi keutamaan bagi Swift. Beliau juga mengumumkan bahawa Swift akan menjadi syarikat pengangkutan pertama di Malaysia yang menerima dan menggabungkan trak elektrik dalam armada mereka.
Tambah beliau, mereka yakin bahawa teknologi ini akan mengubah industri automotif pada masa akan datang yang bukan sahaja lebih cerah, malah lebih efisien serta lebih mesra alam.
Tiga Model Volvo Trucks Yang Mesra Pemandu
Volvo Trucks telah mengumumkan pelancaran tiga model trak elektrik terbaru mereka, iaitu Volvo FM, FH dan FMX. Setiap model direka khas untuk pelbagai kegunaan dan segmen yang berbeza dengan variasi pilihan gandar. Kenderaan ini juga menawarkan pilihan bateri dengan kapasiti sehingga 540kWh yang membolehkan jarak perjalanan sejauh 300km.
Untuk proses pengecasan, trak elektrik ini menyokong pengecasan AC 43kW yang memerlukan sekitar 10 jam untuk pengecasan penuh dari kosong. Terdapat juga pengecasan DC 250kW yang memungkinkan pengecasan penuh dalam masa kurang dari 2 jam.
Keputusan ujian bebas menunjukkan bahawa trak elektrik Volvo FH menggunakan 50% kurang tenaga berbanding trak yang menggunakan enjin diesel, Volvo FH dalam situasi pemanduan yang sama. Dengan ini, kos pengangkutan dapat dikurangkan dengan ketara.
Di sebalik itu, trak elektrik ini amat sesuai untuk pemanduan jarak jauh kerana ciri enjinnya yang senyap dan bebas dari getaran di dalam kabin. Sekaligus, ini dapat membuatkan pemandu lebih peka terhadap persekitaran sekitar dan tidak menjejaskan emosi ketika memandu.
Paling menarik mengenai trak elektrik ini ialah ianya lebih mesra alam, tidak melepaskan ekzos dan memberi impak rendah terhadap iklim menerusi penggunaan tenaga elektrik yang boleh dikitar semula.
Trak elektrik Volvo akan menerima pengiktirafan MyHIJAU sebagai bukti prestasi keselamatan, kualiti, dan prestasinya mengikut standard yang ditetapkan oleh MGTC di Malaysia. Pengiktirafan ini juga memberi manfaat kepada syarikat yang membeli trak elektrik Volvo melalui program insentif cukai teknologi hijau seperti Green Investment Technology Allowance (GITA).
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai trak elektrik Volvo, jangan lepaskan peluang untuk melawati laman web Volvo Truck Malaysia.
Sumber: SoyaCincau