Bila anda membeli-belah di pasar raya, anda pasti perasa yang sesetengah barangan diletakkan pada harga yang berakhir dengan 99 sen, contohnya RM 5.99. Apa kepentingan 99 sen itu dan kenapa tak digenapkan sahaja kepada RM 6? Lagipun, pembeli tetap akan membayar dengan harga tersebut.

Harga yang sudah digenapkan bukan sahaja mudah untuk dikira, malah ia juga selaras dengan tindakan kerajaan Malaysai yang sudah pun memansuhkan penggunaan duit syiling 1 sen beberapa tahun lepas.

Sebenarnya terdapat alasan psikologi di sebalik taktik meletakkan harga dengan 99 sen pada penghujungnya! Kalau nak tahu mengapa jom kita sama-sama semak taktik di sebalik harga 99 sen ini.

Nombor Depan Lebih Menonjol Berbanding Belakang

Seorang penganalisa pengguna iaitu Julie Ramhold pula berpendapat bahawa pelanggan cenderung untuk menyemak harga pada bahagian hadapan sahaja. “Ini disebabkan oleh tabiat kita yang membaca dari kiri ke kanan, kita akan kurang ambil berat pada nombor belakang berbanding yang hadapan. Cara ini juga sering digunakan oleh pelanggan yang ingin bandingkan harga produk sekilas lalu di rak barangan,” ujar Julie.

Menurut penulis buku ‘Coupon Crazy : The Science, The Savings and the Stories Behind America’s Extreme Obsession’ iaitu Mary Potter Kenyon, tetapan harga sebegini juga boleh mendorong pelanggan untuk menggenapkan harga produk berdasarkan nilai digit hadapan sahaja.

“Bila kita nampak produk berharga $9.99, otak kita akan membayangkan harganya adalah 9 dollar dan beberapa sen sahaja. Namun hakikatnya, harga sebenar produk itu adalah satu sen kurang daripada 10 dollar,” ulas Mary mengenai taktik penentuan harga yang popular ini.

99 sen

Pada tahun 2018, satu laporan yang diterbitkan oleh jurnal Marketing Letter telah mengkaji dakwaan bahawa kebanyakan pengguna hanya memberi perhatian kepada unit ringgit (atau unit matawang lain) dan tidak terlalu mengambil berat mengenai jumlah sen dalam sesebuah harga produk.

Sebuah kajian daripada Baylor Universiti pula mendapati manusia yang mempunyai pemikiran analitik (analytical thinking) membuatkan mereka lebih cenderung dengan harga yang berakhir dengan 99 sen berbanding manusia yang mempunyai keupayaan pemikiran holistik (holistic thinking).

Pemikiran analitik melibatkan pemahaman sesuatu sistem dengan memikirkan setiap bahagiannya dan bagaimana setiap bahagian boleh memberikan kesan pada skala yang besar.

Pada masa yang sama, pemikiran holisik pula melibatkan pemahaman pada pola yang lebih besar.

Namun, kedua-dua cara pemikiran ini ada kelebihannya tersendiri dan mungkin boleh memberi manfaat kepada seseorang individu.

Jadi, bagaimanakah jenis-jenis pemikiran ini dapat mempengaruhi seseorang dalam membuat keputusan ketika membeli produk?

Berikut merupakan beberapa dapatan menarik daripada penyelidikan yang dibuat oleh Baylor University :

  1. Seseorang dengan pemikiran analitik akan melihat harga RM 9.99 dan akan menekankan nombor pertama (unit ringgit sahaja) kerana nombor tersebut dianggap akan memberikan kesan besar dalam menentukan harga sesebuah barangan. Fenomena ini juga dikenali sebagai left digit effect.
  2. Individu dengan pemikiran holistik pula akan melihat semua digit yang tertera pada tanda harga secara keseluruhan. Oleh itu, golongan ini sama sekali tidak akan terkesan dengan teknik pemasaran yang menggunakan harga berakhir dengan 99 sen.

Dengan dapatan-dapatan ini, para penyelidik bagi kajian ini menyimpulkan bahawa tak kiralah apa cara pemikiran sekalipun yang dimiliki oleh seseorang, taktik harga 99 sen ini mungkin kurang memberi kesan apabila pengguna barada dalam keadaan tertekan akibat ramai orang beratur di kaunter pembayaran.

Selain itu, faktor persekitaran seperti gangguan muzik latarbelakang atau pujukan penjual ketika demonstrasi produk juga boleh mempengaruhi keputusan seseorang ketika membeli.

Walau bagaimana pun, kajian ini cukup bermanfaat bagi peniaga untuk kenalpasti gelagat pelanggan ketika membuat keputusan dalam membeli sesuatu produk.

Sebagai pengguna, adalah perkara biasa sekiranya kita terjerumus dalam taktik penentuan harga ini. Untuk mengatasinya pada masa akan datang, pastikan anda ambil sedikit masa dan buatlah perbandingan dengan baik ketika membuat keputusan untuk membeli.

Sumber : phys.org, rd.com

Baca Juga : Kenapa Banyak Kedai Yang Tawarkan Diskaun Pada Hari Rabu?

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top