Jenama bekas plastik dan produk kelengkapan dapur ikonik, Tupperware melihat pasaran di Malaysia sebagai antara keutamaan kepada syarikat untuk bersaing di peringkat global, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tupperware Brands Corporation Miguel Fernandez.

Beliau berkata berdasarkan kepada jualan bersih, Malaysia merupakan pasaran kelima terbesar bagi jenama Tupperware selepas Brazil, Mexico, Amerika Syarikat dan China.

Bukan itu sahaja, malah Tupperware juga menyediakan peluang perniagaan kepada 35,000 keluarga di Malaysia menerusi jualan produk inovatif jenama tersebut.

“Malaysia adalah salah satu daripada lima negara teratas bagi jualan kami, dan kami bergantung kepada lima negara teratas untuk menyokong pertumbuhan kami. Justeru, jelas sekali Malaysia adalah pasaran utama bagi kami,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.

Fernandez ditemui ketika berada di Malaysia sempena program ‘Jelajah Dunia’ Tupperware 2023. Dalam program ini, beliau serta Ketua Pegawai Komersil Tupperware Hector Lezama melawat pasaran terbesar Tupperware di seluruh dunia.

“Kami merancang untuk terus menghasilkan dan melancarkan lebih banyak produk menarik untuk menarik lebih ramai pengguna Tupperware. Dengan segala yang telah kami lancarkan dan berita baik bahawa kami telah menyusun semula hutang kami, saya percaya kami akan menjadi jenama terkemuka bagi tempoh 75 tahun akan datang,” ulas Fernandez.

 

Pada awal tahun ini, Tupperware menjadi tumpuan berita global ekoran isu kekurangan tunai. Namun, pengeluar bekas plastik dan produk kelengkapan dapur itu baru-baru ini telah mengumumkan kejayaan dalam penstrukturan semula hutang mereka sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan syarikat secara berterusan.

Penstrukturan semula hutang ini dijangka dapat mampu meningkatkan fleksibiliti kewangan kepada syarikat untuk meneruskan usaha pemulihannya dan menyediakan pengurangan atau peruntukan semula kira-kira US$150 juta faedah tunai dan yuran, serta melanjutkan tempoh matang kemudahan hutang tertentu, seperti yang dinyatakan oleh syarikat tersebut dalam satu kenyataan yang dikeluarkan awal bulan ini.

“Kami dapat menyusun semula hutang kami dan meneruskan perniagaan kami, termasuk Jelajah Dunia ini. Kami sedang melawat negara-negara yang paling penting (kepada kami), yang mana kami akan membawa banyak berita baik kepada Pasukan Jualan kami. Kami sedang merancakkan semula Pasukan Jualan kami di seluruh dunia,” katanya.

Tupperware

Menyentuh tentang piawaian kualiti dan fungsi produk, Fernandez berkata Tupperware membuat penyumberan luar pengeluaran barangnya kepada kemudahan pihak ketiga di Malaysia. Pihak ini akan menyediakan acuan dan panduan tentang bahan terbaik di kilang pembuatan.

“Kami menghasilkan pelbagai jenis kategori produk. Jadi, kelebihan kami dalam industri kami adalah acuan yang sangat khusus.Jika lebih banyak acuan berada di kilang yang sama, maka ia tidak akan membantu pengeluaran. Adalah lebih baik untuk meletakkan banyak acuan di banyak negara, supaya mereka boleh menghasilkan pada masa yang sama untuk memenuhi permintaan pengguna.

“Sebahagian produk dikeluarkan di Malaysia tetapi sebahagian lain adalah diimport disebabkan faktor acuan. Kadang-kadang kami hanya mempunyai satu mesin yang menghasilkan satu produk tertentu dan mesin itu membekalkan permintaan di seluruh dunia,” katanya.

Tupperware mempunyai kilang pembuatan di Belgium, Brazil, Korea Selatan, Mexico, China, India, Portugal, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat.

Fernandez berkata Tupperware mengeluarkan produknya mengikut geografi untuk memenuhi keperluan pasaran tempatan.

Ini juga termasuk pelancaran produk edisi terhad bagi setiap acara atau peristiwa penting bermusim serta perayaan penting bagi pengguna setiap negara.

Tupperware

Pada masa yang sama, Fernandez turut mendedahkan dua strategi berbeza yang diambil oleh syarikat Tupperware bagi menarik pelanggan daripada generasi muda iaitu menerusi teknologi dan inovasi produk.

Menurutnya, untuk menarik minat generasi baharu, kumpulan itu terus melabur dalam alatan digital.

“Daripada menggunakan kaedah tradisional kami, jenis perniagaan bersemuka, generasi muda ini berinteraksi antara satu sama lain melalui telefon bimbit dan apa yang kami cuba lakukan ialah membina instrumen supaya mereka boleh menjual dan mengiklankan produk melalui alatan digital. Jadi, itulah cara terbaik untuk menarik dan mengekalkan pelanggan melalui teknologi.

“Kami juga mengeluarkan produk yang diterima dengan baik dalam kalangan generasi muda iaitu pengisar mudah alih. Kami baru sahaja melancarkannya ke pasaran Malaysia, tetapi ia telahpun ditawarkan di negara lain dan terus mendapat maklum balas positif daripada generasi muda,” katanya.

Sumber : Bernama 

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top